*SESETENGAH pihak, termasuk beberapa anggota Kabinet dan kepimpinan Umno, menganggapnya sebagai ‘mengarut’. Ada pula pihak yang awal-awal mendakwanya sebagai satu kebenaran.

Apa pun set ketiga saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang kini tersebar di seluruh dunia, menghangatkan lagi kontroversi 1MDB.

Apabila menteri dan pemimpin Umno membuat pelbagai kenyataan mengenai saman DOJ, rakyat jelata yang selama ini ‘buat dhek’, kini mula membuka mata dan minda, walaupun ramai semakin bertambah keliru.

Maka, supaya benda ini tidak digembar-gemburkan dan menambahkan kekeliruan, ada baiknya kerajaan, khasnya Perdana Menteri berbuat sesuatu. Sekiranya dibiarkan berlalu begitu sahaja isu ini dibimbangi akan menjadi bom jangka yang apabila meletup nanti akan lebih memudaratkan.

*APAKAH benar saman DOJ ini sesuatu yang ‘mengarut’? Menurut kata menteri, tuduhan dan fakta dalam saman berkenaan tidak ada asas, tidak ada bukti. Tetapi fakta dan perincian yang difailkan menyebut angka-angka berserta dokumen-dokumen sokongan, jelas dan nyata.Mereka tidak akan menyaman kalau tiada bukti kukuh.

Tambahan pula tindakan DOJ di beberapa negara sebelum ini – termasuk di Singapura – membuktikan tuduhan mereka betul, dan beberapa orang yang terlibat telah dihukum, malah ada bank yang ditutup.

Memang, kita boleh sahaja kata DOJ, tidak ada asas, mengarut, kitar semula fakta lama, hendak menjatuhkan kerajaan, atau apa-apa sahaja. Tetapi jangan berlapang dada dan menganggap saman DOJ itu hanya acah-acah.

*KEDUTAAN AS di Kuala Lumpur menegaskan saman DOJ bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Kata jurucakap kedutaan, seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini: “Matlamatnya adalah untuk mendapatkan semula aset dan mengembalikannya demi faedah rakyat negara yang terjejas.”

Kenyataan kedutaan itu adalah sebagai respons kepada dakwaan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, bahawa saman DOJ adalah tindakan pre-emptive menjelang pilihan raya umum akan datang untuk menukar kerajaan yang kini diterajui oleh orang Islam.

Orang-orang kita yang hebat lagi bijaksana mungkin ada persepsi dan sentimen tersendiri mengenai saman tersebut. Tetapi setakat ini DOJ dilihat bertindak bukan atas sentimen, sebaliknya ada angka dan data.

Dan, angka-angka tersebut, seperti yang diketahui umum kini, bukan sedikit malah RM bilion-bilion.

*OLEH sebab menteri dan pemimpin Umno masing-masing bersemangat memberi komen, akhirnya tidak secara langsung telah memberi beberapa pengetahuan dan istilah baharu kepada umum.

Selain DOJ, istilah baharu yang muncul dari isu ini ialah ‘kleptokrasi’, atau bahasa mudahnya penipuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Satu lagi istilah yang muncul ialah ‘MO1’. Mula-mula dulu orang berteka-teki dan berspekulasi mengenai siapa MO1 yang disebut dalam saman DOJ itu.

Tetapi, teka-teki itu dijawab sendiri oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan. Menteri itu memberitahu, MO1 adalah merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pendek kata dalam kontroversi DOJ, menteri dan pemimpin Umno sendiri yang telah secara sukarela mendedahkan benda yang sepatutnya rahsia.

*SELAIN DOJ, satu lagi isu yang tidak kurang hangat sejak awal puasa ialah Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV). Ada kemelut dalaman yang sengit, lagi menyakitkan hati.

Baik Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, dan CEO Datuk Zakaria Arshad, masing-masing tidak sebulu dan saling tuduh-menuduh.

Akibatnya, Isa mengarahkan Zakaria – dan tiga lagi pegawai kanan – digantung tugas, sementara audit dalaman dilakukan untuk apa yang dikatakan satu penyelewengan.

Keduanya telah dipanggil SPRM untuk membantu siasatan. Isa dan isterinya telah ke pejabat badan antirasuah itu, dan memberi keterangan selama empat jam.

Baik audit dalaman dan siasatan SPRM, masing-masing belum diketahui keputusannya, dan Zakaria masih digantung tugas. Isa nampaknya lebih baik; setelah dengan rela hati melepaskan jawatan di FGV, beliau diberi jawatan baharu – mungkin lebih baik – sebagai bos di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

*MAKA ramai yang mengerutkan kening dan musykil, gerangan apa Isa cepat sangat dapat jawatan baharu, walaupun hasil siasatan SPRM belum diketahui?

Hatta mantan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar pun berasa amat terkejut dengan pelantikan mendadak Isa. Syed Hamid berkata, perpindahan Isa dari ladang ke pengangkutan boleh mencetuskan kontroversi baharu.

Tetapi Isa tenang sahaja berkata, seperti yang dilaporkan media: “Dah PM suruh saya ke sana (SPAD), saya ikut sahajalah...” Sedapnya!

*AKHIR kalam, setelah sebulan berpuasa, Ramadan al-Mubarak menutup tirai, dan fajar Syawal bersinar. Kepada seluruh pembaca beragama Islam, saya mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir & batin.