*SATU lagi penyelewengan telah didedahkan. Lim Guan Eng memberitahu Parlimen bahawa kerajaan BN telah ‘merompak’ duit bayaran balik GST.

Menurut Menteri Kewangan itu, wang yang lesap itu – jumlahnya RM18 bilion! – ialah bayaran yang sepatutnya dikembalikan semula kepada peniaga.

YB Bagan Datuk @ Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan Lim, dan memberitahu duit yang hilang itu mungkin masih ada di dalam akaun yang disatukan (consolidated account) milik kerajaan.

Lim mencadangkan siasatan dalaman diadakan untuk merungkai ‘rompakan’ tersebut, dan mengenal pasti siapakah sebenar ‘perompak’ dalam kerajaan lama itu.

*PRIHAL duit RM18 bilion yang ghaib itu, Khairy Jamaluddin tidak berpuas hati dengan hanya diadakan siasatan dalaman.

Maka seperti yang dilaporkan media, YB (Umno) Rembau itu telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Inkuiri (siasatan) dalaman tidak memadai untuk tuduhan serius ini; saya mahu membawa perkara ini bagi kepentingan awam,” tegas beliau.

Laporan telah dibuat, harap-harap siasatan segera dilakukan, secara telus. Semua orang hendak tahu mengapa duit GST yang RM18 bilion itu main-main nyorok-nyorok?

*ISU skandal 1MDB dan kapal mewah RM1 bilion milik Jho Low pun belum selesai, kini timbul pula ‘rompakan’ RM18 bilion.

Tuduhan di Parlimen itu memang sesuatu yang amat serius. Maka semua pihak bersetuju siasatan perlu dilakukan secara serius juga. Bukan acah-acah, bukan main-main.

Siasatan yang telus akan akhirnya menampakkan kebenaran. Sekiranya memang ada penyelewengan, mereka yang terlibat – tidak kira kedudukan dan bulu – mesti dihukum.

Hatta, sekiranya tuduhan kehilangan RM18 bilion itu tidak benar, maka pihak yang membuat tuduhan juga perlu dihukum. Dalam 100 hari kerajaan PH, juta-juta, bilion-bilion dan trilion, semua telah didedahkan. Malaysia baharu memang penuh 1,001 debaran...

*SIAPA ingin bertaruh sekiranya Datuk Bung Moktar Radin betul-betul jadi bertinju dengan Willie Mongin?

Saya siang-siang pilih Bung! Tengok bentuk tubuh, lengan dan penumbuknya saya yakin dia menang. Saya sanggup bertaruh sebiji durian Musang King.

Seperti yang diketahui Bung yang mula-mula mencabar Willie dengan berkata: “Kalau betul-betul berani, mari lawan saya!”

Willie pula membalas, dalam media sosial: “Jika dia bertegas mahu bergaduh, saya terima cabarannya untuk satu lawan satu di gelanggang. Belum cuba belum tahu...Cuma beritahu tarikh dan masa...”

Hatta, sekiranya tiada venue untuk bertarung, Sinar Harian sedia menawarkan gelanggang. Masuk percuma!

*PERIHAL gaduh Bung-Willie, maka teringat saya adegan dalam sebuah filem P Ramlee, apabila Labu dan Labi bergaduh gara-gara berebut anak dara bernama Manisah.

Keduanya, mengepal kertas dan berkata: “Ini kepala bapak engkau, ini kepala bapak aku...kalau berani pijak.” Lalu keduanya saling memijak kertas ‘kepala bapak’.

Ada pun mesej daripada insiden dalam filem tersebut ialah : baik Labu mahu pun Labi, kedua-duanya bodoh...

*PERIHAL pertengkaran mulut dua YB tersebut sebenarnya bermula dalam Dewan Rakyat. Willie (Puncak Borneo) menegur Bung (Kinabatangan) yang suka menggunakan perkataan kesat.

Adalah sesuatu yang malang – lagi amat memalukan! – apabila kata-kata kesat kini menjadi trademark dalam persidangan Dewan Rakyat kita.

Perkataan-perkataan seperti ‘kepala bapak’, ‘samseng’, ‘p...mak’, ‘F...you’ dengan sengaja, dan secara bangga, dihamburkan dalam Dewan yang mulia.

Para YB dipilih untuk mewakili rakyat, membincangkan dan memperjuangkan hal-hal rakyat di Parlimen, bukan untuk bergaduh dan mencarut.

Rakyat, khasnya pengundi, sebenarnya sudah bosan, malah meluat dengan gelagat YB yang hanya pandai memaki-hamun dan mencarut.

Ingatlah, Dewan Rakyat bukan warung tepi longkang, maka yang bergelar YB – tidak kira pembangkang atau kerajaan – janganlah melongkangkan diri!

*AKHIR kalam, hanya beberapa hari lagi genaplah 100 hari PH memerintah. Tamatlah tempoh berbulan madu, dan mulakan langkah sebenar untuk Malaysia Baharu...

TOK PERAK