*ALKISAH banjir besar yang melanda Pulau Pinang dua minggu lalu telah membuka banyak mata, minda dan kalbu.

Seluruh negara melihat bagai-mana Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menelefon Putrajaya awal subuh, bernada sebak memohon belas ihsan pucuk pimpinan membantu negerinya yang dilanda musibah.

Betapa secara spontan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan membantu dengan menghantar pasukan beruniform pusat ke sana.

Walaupun semua tahu wujud sikap saling tidak sebulu sebelum ini antara negeri dan Pusat, ben-cana alam telah mengendurkan ketegangan politik mereka.

*HATTA Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pun turun ke Pulau Mutiara untuk melihat sendiri mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan.

Guan Eng sendiri menyambut ketibaan pemimpin No.1 itu. Najib mengumumkan bantuan RM1 bilion untuk melaksanakan 13 projek mitigasi banjir di negeri itu.

“Sebagai Kerajaan Pusat kita bertanggungjawab untuk mem-bantu mana-mana negeri yang dilanda bencana, walaupun negeri pembangkang,” kata PM.

Beliau menambah: “Ini soal kemanusiaan, jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu ini...” Terharu juga mendengar dan melihat keikhlasan Putrajaya.

*TETAPI biasalah, walaupun pucuk pimpinan ikhlas, ada sahaja macai-macai yang bernada sinis terhadap bantuan Pusat kepada negeri.

Seorang pemimpin MCA yang juga timbalan menteri menyindir dengan menyebut walaupun Guan Eng dianggap Tokong, tetapi tidak dapat melawan kekuasaan tuhan. Pemimpin MCA itu kemudian meminta maaf.

Seorang menteri yang juga pemimpin Umno juga sinis dengan mengatakan apabila Sabah dilanda musibah, tidak ada pemimpin negeri yang menangis merayu bantuan Pusat.

Boleh jadi macai-macai terse-but berasa cemburu kerana Pusat terlalu bermurah dengan negeri pembangkang. Boleh jadi juga macai-macai tersebut sengaja hendak membodek PM.

Apa pun kita harus berpegang kepada pendirian PM bahawa adalah tanggungjawab Pusat untuk membantu negeri-negeri, termasuk negeri pembangkang.

*SELAIN suara sinis, ada juga pihak bernada negatif terhadap kebaikan dan keikhlasan yang dilakukan semasa banjir di negeri nasi kandar itu.

Bilal Surau Taman Free School di Georgetown, Sapno Tukijo, 50, mendapat pujian ramai setelah mempelawa masyarakat Cina bukan Islam menumpang di suraunya.

Najib pun memuji keikhlasan bilal berkenaan yang membantu orang bukan seagama yang berdepan dengan kecemasan bencana. Islam menggalakkan itu.

Tetapi ada pula sesetengah ustaz tidak bersetuju dengan sikap ikhlas Sapno. Dalam akaun FB ustaz tersebut menulis: “...situasi itu tidak sepatutnya berlaku dan ia tidak boleh dikategorikan sebagai darurat kerana masih ada ikhtiar lain untuk keperluan mereka.”

Demikianlah, ada yang terbuka mata, terbuka hati. Ada juga yang terbuka mata, tertutup hati.

*BUKALAH mata, bukalah hati, dan terimalah  hakikat bahawa banjir Pulau Pinang memerlukan semua pihak bertindak segera dalam beberapa perkara:

Pertama, PM mengingatkan kerajaan DAP Pulau Pinang meneliti dengan serius projek-projek di lereng bukit bagi mengelak banjir.

Kedua, PM juga mengingatkan pemaju supaya tidak hanya menge-jar keuntungan semata-mata sehingga dilihat mengabaikan aspek perlindungan kepada alam sekitar.

Ketiga, Sahabat Alam Malay-sia (SAM) mahu kerajaan negeri mengarahkan pemaju meng-hentikan semua projek di lereng bukit yang dijalankan ketika ini.

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, perkara itu bagi membolehkan kerajaan negeri menerusi pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan tanah menjalankan siasatan dan pemantauan serius berhubung tahap risiko serta ancaman tanah runtuh. Mudah-mudahan semua pihak betul-betul terbuka.

*AKHIR kalam, simpati saya pada seorang wanita berusia 36 tahun yang mukanya bengkak gara-gara guna produk kecantikan yang dibeli secara online.

Menurutnya dia telah beberapa kali guna produk sama sebelum ini, tidak ada masalah. Wajahnya bertambah cerah dan gebu. Tetapi minggu sudah dia beli produk sama, dan setelah menggunakannya ada kesan negatif. Wajahnya menjadi merah, kulit berasa sakit dan gatal. Dia tidak boleh tidur, terganggu kegiatan harian.

Seorang doktor pakar mem-beritahu ramai wanita datang ke kliniknya mengadu masalah sama. Doktor tersebut menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah menggunakan produk kecantikan yang tidak mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan.

Maka teringat saya laporan media tidak lama dulu mengenai seorang wanita yang menemui pakar kecantikan untuk rawatan mencantikkan payudara.

Tidak tahu di mana silapnya, setelah beberapa ketika mendapat rawatan, payudaranya semakin teruk...sebelah kecil, sebelah besar!