*PUSAT bandar Kuala Lumpur sesak. Baik yang hendak masuk atau yang hendak keluar, kenderaan merangkak seperti kura-kura di setiap laluan.

Ada tiga sebab mengapa suasana begitu sesak, hingga mengendalakan banyak urusan hari itu:

Pertama, hujan mencurah sejak pagi – sekejap lebat, sekejap renyai – menyebabkan jalan licin dan pemandu lebih berhati-hati takut tersenggol punggung.

Kedua, hari Jumaat memang menjadi kebiasaan kesesakan terjadi sejak tengah hari hingga lewat petang.

Ketiga, PAU. Bukan pau kaya atau pau kacang merah, tetapi Perhimpunan Agung Umno. Setiap kali PAU laluan ke pusat bandar @ PWTC pasti sesak.

*SAMA ada yang cinta Umno atau yang benci Umno, PAU pasti akan diikuti dengan teliti oleh setiap orang, termasuk yang bukan Melayu.

Hatta orang DAP, Pas, PKR dan lain-lain parti pembangkang pun hendak tahu juga apa yang berlaku dan didebatkan selama tiga hari di PWTC.

Itu tanda parti terbesar Melayu itu memang menjadi perhatian kawan atau lawan...juga wartawan.

Suka atau tidak suka PAU di PWTC menjadikan surat khabar laris seperti pau kaya dan pau kacang merah.

*BAIK pemimpin tertinggi, ketua-sayap, pembentang, pembahas dan semua perwakilan, semuanya mengakui Umno kini berada pada era yang amat mendebarkan.

Isu-isu yang dibangkitkan semua berkait rapat dengan rakyat. Diakui juga parti-parti pembangkang kini semakin sengit memerangi dominasi Umno dalam kerajaan, dan berazam memecahkan dominasi tersebut.

Kalau dengar perbahasan di PWTC, macam belum pernah parti itu berdepan dengan pahit dan getir seperti sekarang...

*TETAPI seperti biasanya dalam mana-mana PAU, tidak kira segetir mana dugaan yang datang, sehebat mana musuh di hadapan, pasti ada penawar dan azimatnya,

Dalam PAU semangat dibarakan, azam diperkukuh dan keberanian serta ketegasan diserlahkan. Seperti kata-kata Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak:

“Umno adalah sebenar dan sesungguhnya parti ‘berkaromah’ untuk seluruh rakyat Malaysia. Kalau digantung kita tinggi, biar dicincang kita lumat, namun menyerah tidak sekali-kali...”

Meremang bulu roma!

*MENGENAI  PRU14, perwaki-lan diberitahu pilihan raya kali ini adalah paling mendebarkan, ibu segala pilihan raya. BN, khasnya Umno tiada pilihan kecuali pastikan kemenangan.

Sepatah kata presiden dengan penuh semangat, dan dalam tepu-kan bergemuruh: “Perang kali ini kita gempur habis-habisan.” Tambah Presiden lagi: “Pilihan raya ini pasti mendapat menang, dan Putrajaya tetap kita pertahankan!”

Perang macam sudah dekat sangat. Seluruh rakyat kini menunggu bila gendang perang akan dipalu. Pemalu ada di tangan Najib.

*BUKAN orang politik sahaja yang menjadi tarikan pada PAU, tetapi kali ini artis dan selebriti juga menjadi tumpuan.

Salah satu selebriti ialah Azwan Ali yang menjadi tumpuan kamera apabila dia datang ke PWTC dibawa oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

“Alhamdulillah... terima kasih, hasrat saya untuk jadikan diva (Azwan) sebagai wakil calon saya untuk saya bertanding di kerusi Bukit Antarabangsa akhirnya jadi kenyataan.

“Ini selepas beliau bersetuju dan beliau tunjukkan harapan supaya Bukit Antarabangsa dapat ditawan dengan kalahkan Azmin Ali,” kata Jamal seperti yang dipetik media.

Nampaknya Jamal yakin benar dia akan dipilih parti sebagai calon PRU14!

*DUA  lagi  artis yang dibangkit-kan perwakilan pada PAU kali ini ialah Datuk Sheila Majid, dan Fathia. Ada yang menegur penyanyi terse-but kerana kenyataan dibuat Sheila dalam media sosial.

Sheila bertweet: “Harga makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi, ramai tidak ada kerja... kerajaan patut fokus untuk membawa negara ke landasan yang betul...”

Puteri Umno Khaidhirah Abu Zahar pula menghentam aktres Fathia Latif kerana artis berkenaan menulis dalam media sosial, menyatakan simpati dan sokongan terhadap Tun Mahathir.

Kata Khaidhirah: “Sekiranya Fathia hendak berjuang untuk rakyat, turunlah ke gelanggang seperti Puteri Umno, jangan mencampuri urusan kerajaan menggunakan telefon pintar...”

Bukan tidak boleh menegur atau menghentam artis atau mana-mana selebriti. Tetapi pada perhimpunan yang besar seperti PAU, sepatutnya bangkitkan isu yang lebih besar dan berisi, bukan benda-benda remeh.

*AKHIR kalam, dulu, kini dan selamanya, Umno tetap di situ. Tetap sama.

TOK PERAK