*NAMPAKNYA jika segala-galanya berjalan lancar, akan ada satu lagi parti politik baharu untuk turut merancakkan pilihan raya umum ke-14.

Seperti yang dilaporkan media dua hari lalu, Datuk Seri Shafie Apdal hadir di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Putrajaya, dipercayai bagi mendaftarkan parti politik baharu.

Ini bukan memeranjatkan, malah telah dijangka, sebab bekas Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Semporna itu sebelum ini pernah memberitahu akan melancarkan sebuah parti tempatan yang berpangkalan di Sabah.

Batu-baru ini RoS telah meluluskan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan oleh bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semua pihak jangan hanya ghairah mendaftarkan parti baharu; tumpukan juga usaha pendaftaran pengundi @ pemilih baharu. Banyak pengundi lebih bagus dari hanya banyak parti.

*SELAIN suka menubuhkan parti politik, kita juga sejak dulu terkenal suka sangat menubuhkan apa yang dikatakan ‘pasukan khas’ untuk kononnya menyelesaikan masalah besar.

Tidak kira politik atau bukan politik, pantang ada sesuatu yang tidak kena, pasti ditubuhkan jawatankuasa khas atau pasukan khas untuk menyiasat.

Terkini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat sindiket kereta klon yang terbongkar dan membuktikan ada penyelewengan ketara dalam sesetengah agensi kerajaan.

Seperti yang dilaporkan media, sindiket berkenaan mengaut untung RM berjuta-juta dengan mengubah lebih 100 kenderaan mewah yang dilupuskan di Singapura, dan dijual di negara kita.

Apa pun perihal kenderaan klon bukanlah benda baharu. Ini cerita lama dan sudah diketahui umum. Ertinya, kita menubuhkan satu pasukan khas baru untuk menangani benda lama.

*TERBUKTI kenderaan klon dari Singapura itu didaftar secara sah menggunakan sistem pendaftaran dokumen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ini pun patut tubuh satu pasukan khas untuk siasat!

Setakat ini seorang kerani JPJ dan suaminya seorang ejen kereta lusuh dari Singapura telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.

Suspek dikatakan menerima komisen antara RM2,000 dan RM5,000 bagi setiap kenderaan dijual. Bayangkan kalau semua 100 kenderaan klon itu berjaya dijual, kerani JPJ dan suaminya boleh untung RM beratus ribu.

Tetapi, ini pun cerita lama. Ini adalah ulang tayang filem lama yang telah jemu kita tonton. Tanyalah siapa sahaja, bagi mereka cerita macam ini bukan luar biasa di JPJ. Sekurang-kurangnya itu persepsi umum.

*HARAP kali ini bukan acah-acah. Semua orang menunggu sejauh mana pasukan khas yang ditubuhkan Jabatan Kastam akan berjaya mengesan dan menghancurkan sindiket kenderaan klon yang telah lama berakar umbi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad menegaskan pihaknya memandang serius pembongkaran sindiket klon-mengelon ‘bangkai’ kenderaan mewah dari Kota Singa itu.

Kata beliau, seperti yang dilaporkan media: “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu ini. Kita akan pastikan mereka yang bersekongkol dalam sindiket seumpama ini dihadapkan ke mahkamah.”

Kata-kata macam ini pun sudah kerap sangat didengar. Cuma berbeza orang yang bercakap dan berbeza kementerian atau jabatan.

Contoh, setiap kali ada aduan ayam naik harga pun pihak berkuasa akan kata “kita tidak akan berkompromi dengan peniaga yang cekik darah!” Tetapi harga ayam naik juga!

*AKHIR kalam, belum apa-apa sudah terasa panasnya apabila Kumpulan Baju Kuning berhasrat untuk mengadakan perhimpunan BERSIH 5.0 November depan.

Maria Chin Abdullah mengakui dia mula bimbang keselamatan dirinya berikutan ada kata-kata daripada Mohamad Ali Baharom, atau Ali Tinju yang akan menjadikan Pengerusi BERSIH 2.0 itu dalam keadaan “kaki di atas kepala di bawah.”

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ali Tinju yang merupakan pemimpin Gerakan Merah itu telah pun dipanggil polis untuk dirakamkan kenyataan mengenai perkara tersebut.

Kata Khalid, Ali Tinju telah memberi kerjasama sepenuhnya, “jadi lepas diambil keterangan kita bebaskan dia...sama juga Macam Jeff Ooi. Jadi jangan tuduh polis tidak adil.”

Sementara itu Kumpulan Baju Merah pula berazam untuk sama berhimpun dan tidak gentar berdepan dengan si baju kuning pada hari tersebut.

Pemimpin Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang juga ketua bahagian Umno Sungai Besar berkata, ratusan ribu pengikut kumpulannya tidak teragak-agak untuk bertembung dengan peserta BERSIH.

Pada saya boleh sahaja merah, kuning dan lain-lain warna berhimpun, asalkan semuanya dilakukan secara aman. Kita kena percaya pada kewibawaan polis untuk mengawal keadaan.

- TOK PERAK