*TEKA-TEKI sudah terjawab. Apa yang dinanti-nanti selama ini, akhirnya tiba. Parlimen sah dibubarkan hari ini! Laluan untuk PRU14 sudah terbuka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pembubaran Parlimen menasihatkan semua ketua menteri dan menteri besar, berkunjung ke istana.

Mereka perlu mengadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri supaya pilihan raya umum negeri dapat diadakan secara serentak.

Dengan pengumuman penting Perdana Menteri itu, debaran dan kegelisahan selama setahun dua ini sudah reda; sekurang-kurang-kurangnya sudah diketahui bila PRU14 akan diadakan.

Tetapi bagi sesetengah pihak, pembubaran Parlimen sebenarnya menjadikan keadaan lebih mendebarkan, sebab mereka kini menunggu-nunggu siapa akan menjadi calon.

*SETELAH Parlimen bubar kini semua hendak tahu apa yang akan BN tawarkan untuk rakyat. Seperti mana yang telah diberitahu, petang ini BN akan mendedahkan manifesto untuk PRU14.

Perdana Menteri akan mengumumkan manifesto berkenaan secara terus menerus menerusi TV.

Beberapa manifesto yang mendahului BN sebelum ini, telah menyenaraikan sekian banyak manisan dan gula-gula untuk memenangi hati rakyat.

Antara janji manis yang dinyatakan dalam manifesto mereka ialah menghapuskan GST, sekiranya mereka menang pilihan raya kali ini.

Maka BN yang telah memerintah sejak sekian lama, tentu sekali akan menyenaraikan lebih banyak item dalam manifesto yang akan dilancarkan. Tungguuu...

*PERANG baru bermula, tetapi Bersatu telah menerima serangan bom dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, atau nama manjanya RoS.

Khamis lalu parti bunga pimpinan mantan PM Tun Mahathir Mohamad dan mantan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibubarkan sementara, selama 30 hari.

Kata Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim, sekiranya gagal memenuhi beberapa tuntutan yang dikehendaki, parti itu akan dibatalkan pendaftarannya.

Apakah parti baharu yang menjadi tonggak Pakatan Harapan itu akan membuat rayuan, dan mengemukakan dokumen yang diminta Cik RoS seperti Notis Sek 14 (2) bertarikh 28 Februari 2018?

Atau, apakah parti itu akan dibiarkan berkubur sebelum berperang?

*DATUK Azalina Othman Said berkata pembubaran Bersatu tidak ada kaitan dengan kerajaan, dan tidak ada niat Kerajaan Pusat untuk melakukan sabotaj.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, keputusan RoS adalah kerana kegagalan parti tersebut untuk mematuhi undang-undang.

Dari segi undang-undang apa yang dibuat oleh Ros memang tidak ada kaitan dengan kerajaan, dan memang tidak ada unsur sabotaj.

Tetapi, apa yang jelas Bersatu tidak dapat menggunakan logonya untuk PRU14. Pendek kata bunga telah layu sebelum berkembang penuh.

*APA pun ramai yang percaya bahawa bom RoS itu tidak akan melemahkan – malah lebih menguatkan – semangat ahli-ahli Bersatu.

Calon-calon parti itu masih boleh terus bertanding pada pilihan raya akan datang, walaupun tidak boleh menggunakan logo bunga yang diuar-uarkan sebelum ini.

Lagi pun bukan Bersatu sahaja tidak menggunakan logo sendiri, parti lain yang lebih lama pun memutuskan untuk tidak menggunakan logo asal.

DAP memberi tahu parti itu tidak akan menggunakan logo roket pada PRU14, sebaliknya menggunakan satu logo bersama Pakatan Harapan (PH).

Inilah pertama kali sejak menyertai pilihan raya parti berkenaan tidak menggunakan roket, dan ini boleh dikira satu sejarah.

Seperti yang dikatakan oleh Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng: “Ini (tanpa logo roket) bukanlah satu keputusan mudah, tapi DAP bersetuju untuk guna loga bersama.”

Pendek kata komponen PH sanggup ketepikan logo parti, guna hanya satu logo, dan dengan hanya satu matlamat...untuk menguasai Putrajaya.

*AKHIR kalam, dengan pembubaran Parlimen, perang PRU14 menjadi semakin hangat dalam kalangan parti-parti yang bertanding.

Selama beberapa minggu ini segala jentera akan digerakkan. Senapang, peluru, peluru berpandu, bom, hatta lastik dan lain-lain perkakasan akan diturunkan.

Kubu pun dibina di sana-sini. Panglima dan wira-wira hebat akan turun padang, saling tangkis-menangkis, serang-menyerang, dan saling berbalas tuduhan dan tohmahan.

Tetapi, jangan terlampau bersemangat, hingga terlepas cakap yang bukan-bukan. Jangan sebarkan fitnah, jangan serang peribadi.

Ingat, Akta Anti Berita Tidak Benar, baru diluluskan!

*TOK PERAK