WALAUPUN belum diumumkan namanya, sudah pun dipastikan sebuah lagi parti politik baharu akan ditubuhkan. Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin beliau akan mendaftarkan parti tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurut mantan TPM itu satu mesyuarat mengenai perkara tersebut telah diadakan di kediaman bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri bekas MB Kedah Datuk Seri Mukhriz dan bekas pemimpin Wanita Umno Langkawi Anina.

Sepatah kata Muhyiddin dalam FB beliau: “Saya akan menyerahkan permohonan untuk mendaftarkan parti baharu ini dalam masa terdekat. Sama-samalah kita berdoa ia akan diluluskan...kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.”

Walaupun belum diluluskan, sudah boleh diagak nama dan wajah-wajah yang akan meneraju dan menganggotai parti baharu ini nanti. Pasti ini akan mewarnai lagi PRU14 nanti.

*SEMENTARA PRU14 masih jauh dan belum diketahui tarikhnya, orang kita semenjak dua menjak ini sudah sibuk bercakap mengenai pilihan raya negeri @ PRN.

Mula-mula heboh fasal PRN Pulau Pinang yang hendak diadakan konon untuk menguji sama ada penduduk negeri itu masih suka kepada kerajaan pimpinan Lim Guan Eng.

Ini gara-gara ketua menteri yang hendak dibicarakan berhubung satu tuduhan rasuah. Tetapi setelah riuh-rendah akhirnya LGE akur dengan rakan-rakan parti yang bersekongkol dengannya bahawa PRN itu tidak perlu diadakan.

Orang politik mudah sahaja hendak mengadakan pilihan raya untuk menguji kekuatan, sedangkan yang akan menanggung biaya pilihan raya tersebut – pasti RM juta-juta – adalah rakyat. Maka ada baiknya cadangan PRN Pulau Pinang itu tidak menjadi kenyataan.

*REDA isu PRN Pulau Pinang, kini sibuk pula desakan supaya diadakan PRN Terengganu. Politik di negeri Penyu itu tidak habis-habis dilanda gelora, dan kerajaan negeri bagaikan dilambung ombak.

Mantan MB Datuk Seri Ahmad Said yang tidak pernah sebulu dengan MB sekarang Ahmad Razif Abdul Rahman mahu Dun dibubarkan, dan mencabar Razif meletakkan jawatan.

Razif bertegas tidak akan melepaskan jawatan. MB kata dia ada penyokong. Bekas MB pun kata dia ada penyokong, “kalau berani pecat saya dari parti, kita tengok siapa kuat...”

Oleh sebab ‘ghocoh’ orang politik, duit rakyat pula hendak digunakan untuk menguji kekuatan melalui PRN. Cukup-cukuplah cakap mengenai PRN, tunggu PRU14 nanti. Hentikanlah gaduh politik.

Ini bukan masa menguji kehandalan peribadi. Ini masa menunaikan tanggungjawab kepada rakyat! Rakyat bawahan mengeluh dan tersepit setiap hari sebab barang keperluan harian naik melambung.

Ikan kembung yang menjadi makanan rakyat biasa harganya melonjak hingga RM12 sekilo. Tenggiri, parang, bawal, sotong, ketam rakyat biasa tidak mampu lagi. Ketika rakyat mengeluh serba-serbi naik orang politik sibuk bergaduh untuk tunjuk siapa kuat. Cukup-cukuplah!

*KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kes ditutup, dan tidak perlu menyiasat Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Tan Sri Abu Kasim Mohamad dan Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Beliau memberitahu media tuduhan konon tiga Tan Sri berkenaan berpakat untuk menjatuhkan PM Najib dan Kerajaan Malaysia yang sah hanyalah bersifat andaian, jadi tidak perlu disiasat.

Pelbagai pihak, termasuk pengamal undang-undang, berpendapat tuduhan ke atas bekas penjawat awam kanan itu amat berat. Sekiranya tuduhan tersebut palsu, yang membuat tuduhan perlu disiasat.

Si pembuat tuduhan, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun memberitahu wartawan: “Kami bersyukur dan gembira kerana berjaya mematahkan satu cubaan untuk gulingkan Najib dan kami komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab kami ini.”

Dari cakap beliau, Azwan yakin benar konspirasi tiga Tan Sri itu. Maka polis patut siasat Azwan untuk memastikan tuduhan beliau bukan andaian. Mana boleh tutup kes begitu saja!

*AKHIR kalam, pelik tetapi benar. Walaupun Syawal sudah berakhir, tetapi raya masih ada! Kalau mengikut takwim bulan Syawal berakhir Khamis lalu, dan sekarang kita berada di bulan Zulkaedah.

Tetapi saya menerima undangan rumah terbuka Aidilfitri pada hari ini yang diadakan oleh sebuah syarikat korporat. Malah, esok hari Ahad bersamaan 4 Zulkaedah pun ada pihak mengundang ke Malam Mesra Aidilfitri untuk makan ketupat dan rendang.

Demikianlah mewahnya orang Islam di Malaysia, jamuan raya dibuat melampaui batas Syawal. Agaknya ini yang dia orang kata raya sakan.