TIDAK kira ekonomi merudum atau ringgit menjunam, dalam hal raya orang kita tetap hebat. Hingga ke penghujung Syawal orang kita masih tidak puas-puas berjamu raya.

Hari ini saya menerima empat undangan ke rumah terbuka di sekitar KL.

Esok (Ahad) dan lusa (Isnin) hari terakhir Syawal ada banyak lagi rumah terbuka diadakan di merata lokasi. Pemimpin politik, NGO, korporat dan individu bagaikan tidak cukup hari untuk berjamu.

Malah, ada juga yang menjemput makan-makan rumah terbuka pada hari Selasa. Biasa kita mendengar ‘terlajak laris’. Kali ini ‘terlajak raya’.

KATA PM Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan akan mengkaji secara mendalam permintaan masyarakat India Muslim di negara ini supaya diiktiraf sebagai Bumiputera.

Permintaan tersebut dibuat oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan India Muslim (Permim) yang menuntut tiga perkara:

Mewartakan India Muslim sebagai Bumiputera, menubuhkan satu mercu tanda India Muslim di KL atau Putrajaya, dan melantik seorang pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan kebajikan kira-kira sejuta masyarakat India Muslim di seluruh negara.

Permintaan sudah dibuat, tuntutan pun telah disenaraikan. Maka terpulang kepada Najib, sama ada akan memenuhi permintaan tersebut. Apa pandangan tokoh-tokoh Bumiputera lain?

TANPA mengira status Bumiputera atau tidak, masyarakat India Muslim, atau lebih mesra dengan panggilan ‘mamak’ (ertinya pakcik) ternyata telah memberi banyak sumbangan kepada negara.

Contoh: mereka adalah penyedia makanan yang telah diiktiraf sejak sekian lama. Seperti yang diketahui ada lebih kurang 10,000 orang mereka menjadi ahli Persatuan Pemilik Restoran Muslim (Presma).

Secara peribadi saya biasa sangat dengan makanan mamak, khasnya nasi kandar. Sejak berkelana di KL lebih empat dekad, selera saya beralih dari nasi emak, kepada nasi mamak.

Zaman anak teruna dulu, dua restoran nasi kandar di JTAR – Yaseen dan Kudu – adalah ‘stesen’ saya hampir setiap hari. Sampai sekarang paling tidak pun sebulan sekali saya akan singgah di stesen ini untuk nasi kandar kari kepala ikan bawal dan ayam masak kicap.

AGAKNYA siapa individu yang mempunyai otak paling bergeliga dan idea paling bernas mencadangkan Felda Investment Corporation (FIC) membeli sebuah hotel di luar negara?

Hotel tersebut, terletak di Kensington, London, dibeli pada harga RM330 juta. Perniagaan hotel tersebut tidak menguntungkan, almaklumlah Felda sepatutnya menguruskan ladang, bukan hotel.

Apa pun, Suruhanjaya Pence-gahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat dan akan melakukan tangkapan berhubung kes hotel di London itu.

Seperti yang dilaporkan media agensi antirasuah itu telah mengambil keterangan daripada empat pegawai kanan FIC berhubung pembelian hotel berkenaan.

Orang ramai, khasnya lebih beribu-ribu warga Felda kini menunggu sambil berharap si otak bergeliga di sebalik pembelian hotel RM330 juta itu dikenal pasti, ditangkap, dan dihukum.

SAMA-SAMA keras dan masing-masing bertegas, tidak mahu mengalah. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tetap dengan keputusan bahawa DAP mesti mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata surat rasmi mengenai arahan tersebut, seperti yang diminta oleh parti itu, telah dihantar Isnin lalu.

DAP pun menegaskan untuk tidak mengadakan pemilihan semula CEC. Setiausaha Agung, Lim Guan Eng berkata, arahan yang dikeluarkan ROS adalah berdasarkan berita palsu.

Menurut Guan Eng, parti itu ingin bertemu dengan ROS terlebih dahulu sebelum mengadakan pemilihan semula. Tanpa pertemuan itu, arahan ROS adalah mengarut untuk dipatuhi.

Maka kisah bunga ros dengan orang ‘di alam percintaan’ (DAP) nampaknya akan menjadi lebih panjang. Kita tengok sejauh mana episod cinta ini akan berterusan...

AKHIR kalam, sejarah terlakar untuk membuktikan satu lagi ‘Malaysia Boleh’ di persada dunia. Cheong Jun Hoong mencatat rekod sebagai penerjun pertama negara menjadi juara dunia.

Atlet kelahiran Batu Gajah, Perak itu disahkan sebagai juara dalam acara 10 meter platform individu wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest.

Dia memenangi emas pada Kejohanan Dunia, malah mengetepikan dua calon pilihan dari China iaitu juara 2013, Si Yajie dan rakan senegaranya yang juga juara Olimpik, Ren Qian.

Syabas buat Jun Hoong! Semoga ini menjadi pembakar semangat untuk atlet-atlet kita yang lain.