WALAUPUN telah diatur sebelum berlepas dari Kuala Lumpur, kami gagal menemui Recep Tayyip Erdoğan pada masa dan tarikh yang ditetapkan.

Sekumpulan kira-kira sepuluh wartawan kanan dari Asia Tenggara menunggu lebih enam jam di bangunan Parlimen Turki di Ankara, namun presiden tidak kunjung tiba.

Kami diberitahu Erdoğan dan anggota parlimennya sedang sibuk bersidang untuk meluluskan undang-undang melanjutkan tempoh darurat berikutan kudeta 15 Julai yang gagal itu.

Tetapi kami bertemu dengan  pemimpin-pemimpin parti pembangkang Turki, juga dengan pegawai tinggi yang mewakili Erdoğan dari parti pemerintah AK.

Pendek kata untuk menulis berita kami memperoleh hampir semua fakta dan angka yang diperlukan. Tidak sia-sia menunggu dari Zohor hingga lepas Maghrib.

Cuma tidak dapat ditanyakan sekian banyak soalan yang telah dirancang awal untuk presiden. Dan yang lebih penting kecewalah hasrat untuk berselfie dengan Erdoğan...

* LAWATAN media yang diatur oleh Jabatan Penerangan & Akhbar Kerajaan Turki ini memang meletihkan, terutama bagi beberapa wartawan tua seperti saya.

Setiap hari ada tiga atau empat pertemuan, taklimat dan sidang media oleh pemimpin politik, ketua-ketua jabatan, akademia dan mereka yang cedera dalam serangan pemberontak ketika cubaan rampasan kuasa.

Mereka tidak bercakap bahasa Inggeris dan kami tidak faham bahasa Turki. Setiap acara dengan media mesti ada penterjemah.

Kita tanya dalam bahasa Inggeris penterjemah jelaskan dalam bahasa Turki. Jawapan dalam bahasa Turki diterjemahkan pula dalam bahasa Inggeris.

Maka acara yang sepatutnya boleh selesai dalam masa setengah jam berlarutan hingga berjam. Kami dijemput sebelah pagi dan hanya dihantar balik ke hotel lewat malam.

Maka tidak ada peluang langsung untuk ‘nyoping’. Kerana kepenatan dan tergesa-gesa menyiapkan berita kami tidak berkesempatan juga untuk menjamu mata dan menikmati keindahan malam baik di Ankara mahu pun di Istanbul. Teringat lirik dalam lagu Fauziah Latif , Teratai Layu Di Tasik Madu...

* WALAUPUN semua mengeluh, menguap dan gelisah dengan acara dan tugasan yang berjam-jam, peribadi ada baik juga terjemahan dua bahasa itu.

Almaklumlah si tukang terjemah adalah gadis-gadis manis - kulit putih melepak, pipi licin 'pulus-mulus', hidung mancung, mata melirik manja.

Senyuman manis mesra, suara pun memikat manja. Maka dengan itu terjemahan yang panjang berjela pun terasa amat melegakan dan segera melekat di hati setiap perkataan yang diucapkan.

Walaupun tidak berpeluang melihat bunga-bunga di luar yang jelas beraneka warna, sekurang-kurangnya sekuntum dua bunga di acara media dapat menghilangkan rasa mengantuk, dan menyamankan perasaan. Demikian adanya!

* TERASA benar RM kita semakin kecil nilainya berbanding Lira Turki. Dua tahun dulu ketika pertama kali ke negara dua benua ini duit kita masih kukuh dan saya tidak mengira sangat untuk berbelanja.

Kali ini Lira lebih kukuh berbanding RM. Masuk ke pasar besar di Istanbul saya rasa betapa 'ciput' dan 'sempoi'nya duit kita.

Usahkan hendak membeli karpet atau barang kemas yang ribu-ribu Lira, hendak membeli selendang dan ‘balkava’ untuk oleh-oleh isteri pun terasa tidak cukup duit. Sayu betul sanubari.

Dalam kesayuan timbul juga marah apabila membaca berita online bahawa di KL SPRM membongkar seorang pegawai awam yang menyimpan RM juta-juta-juta wang tunai di rumahnya.

Di Turki saya rasa tak cukup duit untuk makan; di KL ada orang duit tak habis makan. Cehhh!

* AKHIR kalam, rupanya hilang juga kempunan untuk bertemu dan berselfie dengan Erdoğan. Kami terserempak dengan beliau di satu simpang dalam kesibukan Istanbul. Hmmm...