*SEKARANG musim tangkap. Tiap-tiap hari ada sahaja orang kena tangkap, tidak kira orang biasa atau orang luar biasa.

Lepas tangkap mereka yang berkenaan akan dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.

Sekarang juga musim beku akaun bank. Beberapa individu telah dibekukan akaun. Apa guna duit bertimbun dalam bank, sekiranya akaun dibekukan?

Ada orang banyak akaun bank, tetapi tidak ada duit untuk dikeluarkan. Ada orang banyak akaun bank, banyak duit – RM juta-juta-juta – tetapi tidak boleh keluarkan duit.

Maka ada orang kata, tindakan tangkap, siasat dan beku akaun ini adalah balas dendam politik Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun M kata tidak ada balas dendam. “Dulu dia orang pun tutup akaun bank saya, tetapi saya tidak bising...”

Ada orang ada akaun bank, ada duit, tetapi mula tidak lena tidur, tidak lalu makan, gelisah sepanjang masa, sambil bertanya: Siapa selepas ini?

*SEBULAN sudah berlalu, semuanya masih seperti dulu! Saya bercakap mengenai GST sifar yang mula dikuatkuasakan 1 Jun lalu. Tentu sekali pengumuman kerajaan untuk memansuhkan cukai barangan & perkhidmatan itu disambut penuh semangat oleh semua. Sebab mereka menjangka tanpa GST harga barang akan turun.

Tetapi sekarang harga kebanyakan barang keperluan utama tidak berubah, itulah yang dirasakan oleh kebanyakan pengguna.

Harga makanan dan minuman di restoran dan gerai-gerai, masih macam dulu. Baik roti canai, nasi lemak, tose, mi goreng, teh tarik, kopi-o, semua masih macam dulu. Tidak turun walau setengah sen pun.

*MAKA ada yang teringat kembali cerita menarik apabila GST hendak diperkenalkan oleh kerajaan (BN) kira-kira empat tahun dulu.

Ada seorang anggota Kabinet yang pagi petang siang malam tidak habis-habis membuat kenyataan untuk meyakinkan rakyat tentang kebaikan cukai ini.

Kata beliau: “Apabila GST dilaksanakan harga barang akan menjadi lebih murah. Saya ulangi, dengan GST pasti harga barang akan lebih murah...”

Ternyata dia tidak bercakap betul. GST telah menjadikan harga barang lebih mahal.

Sekarang kerajaan baru mansuhkan GST, tetapi barang tetap tidak turun harga. GST atau tanpa GST harga tetap naik. Maka betullah kata orang bahawa GST ialah ‘geram sampai tua’.

*TINJAUAN yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna baru-baru ini mendapati sejak GST sifar 1 Jun, 968 aduan telah diterima mengenai harga barang.

Dalam tempoh sama 1,023 lagi aduan telah diterima memberitahu bahawa harga barang lebih tinggi setelah GST sifar. Separuh daripada aduan adalah mengenai harga makanan dan minuman, dengan 42 peratus menyebut dengan jelas nama restoran dan kafeteria yang tidak menurunkan harga.

Maka berkatalah menteri berkenaan, Saifuddin Nasution Ismail mengingat peniaga supaya “beretika”, sambil memberi amaran “tindakan tegas akan diambil.” Macam pernah dengar amaran sama sebelum ini!

*PENIAGA ada alasan sendiri kenapa mereka tidak turunkan harga walaupun sudah tidak ada GST. Kata seorang penjual nasi lemak di R&R Seremban: “Harga cili kering tidak turun, telur masih harga lama. Bawang, ikan bilis, kacang tanah semua tak turun harga. Macam mana kita nak turunkan harga jualan kita?”

Ini pula kata seorang tauke restoran nasi kandar di Kuala Lumpur: “Tak ada GST pun kita tak boleh senang-senang turun harga di restoran kita. Daging, ayam, rempah, mana ada turun harga?”

Dia menambah: “Tak lama lagi elektrik naik harga. Gaji pekerja tiap-tiap tahun naik...”

Sebagai pengguna, cerita peniaga seperti ini kita sudah dengar sebelum ini. Cerita lama diulang tayang. Masalah tidak selesai juga. Ada GST atau GST sifar, pusing macam mana pun, pengguna juga yang kena!

*AKHIR kalam, dalam masa terdekat kita akan menyaksikan satu pilihan raya kecil, kerana kekoso-ngan kerusi Dun Sungai Kandis di Selangor, berikutan kematian Mat Shuhaimi Shafiei.

Pakatan Harapan telah bersetuju calon daripada PKR akan diletakkan untuk PRK tersebut, seperti yang dijelaskan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir. Ada mana-mana parti lain, termasuk Umno, berhasrat untuk meletakkan calon?

*TOK PERAK