*SEPERTI yang dilaporkan, seorang bekas pengerusi dan bekas setiausaha masjid di Bukit Cina, Melaka direman empat hari kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM116,000 dalam urusan jual beli tanah wakaf milik masjid berkenaan pada 2012 lalu.

Suspek berusia 61 dan 40 tahun itu dipercayai telah menjual tanah wakaf milik masjid kepada seorang lelaki bukan Islam yang tidak layak untuk memiliki tanah berkenaan.

Mereka difahamkan menerima rasuah dengan menjual tanah yang telah diamanahkan kepada mereka untuk kepentingan diri sendiri. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Moral cerita: Tidak kira yang duduk di kerusi korporat, kerusi penjawat awam, hatta kerusi AJK masjid, rasuah sentiasa menggoda mereka yang lemah.

*BERCAKAP mengenai masjid, saya berpeluang menghadiri ‘Konvensyen Imarah Masjid Serantau’ yang diadakan di sebuah hotel lima bintang di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Acara sehari suntuk yang serba-serbi mewah itu, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia @ Jakim dengan penajaan Bank Islam dan Surau Wakaf Ahmad Dawje Dadabhoy, sepatutnya dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir, tetapi beliau menghantar wakil.

Kira-kira 300 orang hadir, antaranya wakil-wakil AJK dan pegawai masjid, juga pengerusi masjid dari Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Arakian, dengan venue serba indah dan selesa, almaklumlah di ballroom hotel lima bintang, makanan sedap – sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang – harap-harap semua masjid dan surau kita betul-betul berubah mulai sekarang. Barulah berbaloi penajaan RM puluh-puluh ribu untuk konvensyen berkenaan.

*MASIH mengenai konvensyen masjid, beberapa kertas kerja daripada mereka yang pakar hal-hal masjid telah dibentangkan. Juga telah diadakan forum mengenai pengurusan masjid.

Antara kertas kerja menarik ialah mengenai Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Mohd Aderi Che Nor.

Kertas kerja tersebut, dipersembahkan selama sejam, memperincikan kaedah dan pendekatan untuk mewujudkan masjid dan surau yang baik, kalau boleh bertaraf lima bintang, macam hotel.

Ada 568 indikator yang diguna pakai untuk mengaudit masjid dan surau seluruh negara. Sekiranya perincian SPMM ini betul-betul berkesan, masjid dan surau kita – tidak kira di kota mahu pun di desa – pasti sempurna, dan berbintang-bintang.

Tetapi hakikatnya, seperti yang dijelaskan, hanya lebih kurang 30 peratus masjid dan surau kita menepati SPMM. Ertinya 70 peratus @ sebahagian besar masjid dan surau kita masih di tahap tidak berbintang...

*SEPERTI yang diberitahu dalam konvensyen berkenaan, kita ada 6,800 masjid dan 17,000 surau di seluruh negara yang dibiayai oleh kerajaan. Ada beribu lagi yang berdiri sendiri.

Maka adalah menyedihkan – sebenarnya memalukan! – hanya 30 peratus dari jumlah tersebut yang mematuhi dan menepati SPMM; 70 peratus lagi 'hancai-bocai' @ haprak.

Sebab itulah kebanyakan masjid dan surau kita berkeadaan daif. Tandas tidak boleh digunakan, pintu tandas ghaib entah ke mana, tandas kotor seperti tempat kumbahan, paip bocor, paip tersumbat, sampah tidak terurus, rumput dan lalang menutupi laluan.

Sekiranya masjid dan surau hendak dijadikan penanda aras kesucian dan kehebatan Islam, ternyata orang Islam di tempat kita akan dipandang dan dicap sebagai pengotor lagi selekeh.

Maka tidak hairan jika kita diperlekeh dan 'dilawakkan' oleh orang bukan Islam.

Jom kita bersihkan dan tinggikan taraf masjid dan surau kita. Barulah Islam sebagai agama rasmi – dan umatnya – akan dipandang tinggi.

*AKHIR kalam, terkini mengenai 1MDB. TRX City Sdn Bhd mengumumkan perjanjian penjualan saham antara SSA Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC) terbatal berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Dalam pada itu Pengerusi 1MDB, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, mengesahkan projek Bandar Malaysia masih berlangsung seperti biasa. Katanya, seperti yang disiarkan media: “Projek masih jalan, tak ada hal, (projek) masih jalan.” Beliau yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan enggan menjawab sebarang soalan lanjut daripada wartawan.

Mungkin bagi sesetengah orang pembatalan berkenaan ‘tidak ada hal’. Tetapi bagi orang lain pula projek mega itu ‘ada banyak hal’.

- TOK PERAK