HUBUNGAN  Malaysia-Korea Utara nampaknya semakin tidak selesa dengan Kuala Lumpur memanggil pulang dutanya di Pyongyang.

Semuanya gara-gara kecelu-paran Korea Utara menuduh negara kita sebagai ‘tidak mesra’ berhubung kes pembunuhan Kim-Jong-nam, 13 Februari lalu. Korea Utara tidak puas hati dengan cara kita mengendalikan kes tersebut.

Kita ada undang-undang, jadi kita perlu mengikut undang-undang kita, dan bukan mengikut telunjuk mana-mana pihak.

Negara berkenaan boleh menuduh apa sahaja, tetapi kita perlu mengikut peraturan kita. Kita perlu menunjukkan ketegasan walaupun itu bererti mengorbankan hubungan diplomatik.

Pembunuhan di KLIA2 itu setakat ini menimbulkan banyak misteri. Menjadi tanggungjawab kita merungkai misteri tersebut, mengikut cara kita.

*SEORANG ahli akademik mencipta istilah baharu untuk menggambarkan wakil rakyat atau pemimpin yang hanya mengejar populariti tetapi membelakangkan perjuangan untuk rakyat.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik & Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib menyifatkan wakil rakyat jenis ini sebagai ‘YB Kencing Tikus’.

“Selepas ini rakyat jangan pilih wakil rakyat yang bukan-bukan. Ia boleh jadi seperti kencing tikus, kita tidak mahu golongan wakil rakyat ‘kencing tikus’ duduk di dewan,” katanya ketika menjadi pembicara pada Wacana Sinar Harian Siri 45 bertajuk Politik: Perjuangan Atau Populariti.

Perhatikan keliling kita, dan fikirkan secara mendalam apakah si kencing tikus ini masih hendak dipangkah pada PRU akan datang?

*ARAKIAN perihal kencing ini bukan luar biasa dalam politik. Sebelum ada istilah ‘YB Kencing Tikus’, menjadi lumrah dalam permainan politik masing-masing saling tekan-menekan untuk mencari kedudukan.

Dia orang kata dalam politik tidak ada kawan kekal, juga tidak ada musuh kekal. Musuh ketat hari ini, esok atau lusa boleh jadi sahabat baik. Boleh tidur sebantal.

Sebaliknya kawan akrab hari ini, esok atau lusa boleh jadi musuh ketat. Hari ini bersalaman dan berpelukan, esok atau lusa saling kencing-mengencing. Seperti di-akui, politik ‘kencing kawan’ berlaku setiap masa.

Selain ‘kencing tikus’ dan ‘kencing kawan’, banyak pula orang politik, termasuk para YB mengalami satu lagi gejala kencing, iaitu kencing manis.

Seperti yang diketahui umum, kadar kencing manis di negara kita adalah antara yang tertinggi di dunia. Jaga diet, kawal berat badan, dan wujudkan persekitaran yang sihat untuk Malaysia.

*BERCAKAP mengenai berat badan, ada macam-macam cara orang menggunakan kemudahan sebagai individu berkedudukan tinggi.  

Seorang pengurus besar kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dikatakan berbelanja RM80,000 untuk mencantikkan tubuh.

Seperti yang dilaporkan media, pegawai lelaki berusia 41 tahun itu menghadapi masalah obesiti, dan berbelanja besar untuk rawatan kecantikan kulit dan program pelangsingan.

Tentulah tidak salah menyertai program membuang lemak dan melicinkan kulit. Apa yang menjadi kesalahan ialah apabila RM80,000 itu dikatakan diselewengkan dari kemudahan kad kredit syarikat.

Seperti yang disiarkan, kad kredit korporat itu hanyalah untuk kegunaan rasmi termasuk pembelian tiket kapal terbang, penginapan, keraian dan belanja mesyuarat seperti yang dinyatakan dalam Prosedur Operasi Standard syarikat tersebut.

Moral cerita: boleh langsingkan tubuh, boleh licinkan kulit, tetapi guna duit sendiri. Pegawai sendo itu – tidak disebut Datuk atau bukan Datuk – telah ditahan SPRM.

*SYABAS kepada Pemuda BN Wilayah Persekutuan yang akan memberi bantuan petrol percuma kepada penunggang motosikal di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya setiap awal bulan bermula April ini.

Seperti yang dikatakan oleh ketuanya, Datuk Mohd Razlan Mohammad Rafii, setiap awal bulan mulai April ini, 117,000 penunggang motosikal – tanpa mengira parti dan politik – disasar menerima bantuan sepanjang program itu berlangsung.

Mesti banyak duit yang diperlukan untuk Program Isi Minyak Motor Percuma ini. Kepada mat motor jom ramai-ramai isi minyak percuma ihsan Pemuda BN WP. Dia orang bagi kita ambil; tak perlu tahu dari mana dia dapat duit belanja minyak percuma.

*AKHIR kalam, walaupun tidak sehebat PRU14, pertandingan merebut jawatan presiden FAM sentiasa menjadi berita hangat, terutama dalam kalangan peminat bola sepak negara.

Dua calon - Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa – sudah memulakan kempen. Tidak ada serang-menyerang, tetapi saling sindir-menyindir.

Kedua-dua tokoh ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Secara peribadi bagi saya siapa pun yang akan menang nanti tidaklah berapa penting.

Sebab apa yang lebih penting ialah presiden baharu nanti mesti dapat meningkatkan mutu bola sepak kita. Tidak guna kita hanya menang sorak, tetapi bola sepak kita ‘pi mai, pi mai dok tang tu!’