*UMNO genap 71 tahun Khamis lalu. Kalau diibaratkan hayat manusia usia tersebut sudah lanjut, dan jauh melewati tahap warga emas.

Manusia pada usia tersebut – empat tahun lagi mencecah tiga suku abad – tentulah sudah banyak makan garam, kaya dengan pengalaman, tabah menghadapi dugaan, kental dalam perjuangan...

Tetapi pada usia tersebut juga mungkin seseorang itu mula lenguh sendi-sendi, pandangan kabur, urat-urat kendur, serba-serbi tidak selesa, hatta mula nyanyuk bercakap entah apa-apa.

Harap-harap parti terbesar orang Melayu itu tidak diserang sindrom orang tua. Sepatah kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden parti:

“Umno yang mencapai usia 71 tahun, akan kekal relevan untuk semua rakyat Malaysia.” Amin.

*MENOLEH ke belakang sejak tujuh dekad lalu, Umno yang lahir di Johor Bahru tahun 1946, menjadi tulang belakang dan peneraju utama pemerintahan tidak putus-putus sejak negara mencapai kemerdekaan.

Satu fakta membanggakan ialah parti itu sudah bertahan sejak sekian lama. Tetapi masa berlalu, zaman berubah, nilai pun tidak seperti dulu-dulu lagi.

Maka, selalu orang membezakan Umno tahun 1946 dengan Umno pasca merdeka dan pasca pembangunan. Dia orang kata pemimpin-pemimpin dulu berjuang betul-betul untuk parti, untuk orang Melayu.

Dulu mereka sanggup naik sampan, atau mengayuh basikal untuk berjumpa rakyat. Sekarang pemimpin peringkat kampung pun pakai kereta mewah, malah ada yang naik helikopter.

*DULU orang menolak dicalonkan jadi ketua Umno, hendak mencari calon pilihan raya susah. Berbeza betul keadaan sekarang; semua berebut hendak jadi ketua dan calon.

Hendak jadi ketua cawangan pun bertumbuk, tekan-menekan, gaduh semacam. Hendak jadi ketua bahagian kena tabur duit, bawa penyokong melancong, malah ajak umrah.

Umno dulu-dulu tidak berduit, Umno sekarang semua dikaitkan politik duit. Sebab itu timbul persepsi berjuang bukan untuk parti, tetapi untuk besarkan perut dan tembolok sendiri.

Persepsi negatif seperti ini tidak semestinya betul, tetapi sekiranya tidak dibendung boleh meruntuhkan parti. Dalam sejarah dunia moden ada parti yang usianya 100 tahun pun akhirnya jatuh juga. Umno baru 71 tahun belum sampai tiga suku abad pun.

*BERALIH  ke Pas pula. Agaknya berapa harga batang tubuh seorang Adun Pas? Kalau mengikut Datuk Iskandar Samad, tiada jumlah wang dapat membeli mana-mana YB parti Islam itu.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu dipetik sebagai berkata: “Nilai wakil rakyat Pas tidak menyamai apa jua jumlah wang yang mahu dihamburkan oleh mana-mana pihak.”

Ini ekoran ketetapan parti itu pada muktamar akhir bulan lalu – dan telah dipersetujui Majlis Syura – untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Beliau yang juga Exco kanan di Selangor menegaskan semua Adun parti itu tidak boleh dibeli untuk menggulingkan kerajaan negeri.

Kenapa tiba-tiba timbul cakap-cakap mengenai jual-beli Adun? Apakah sudah ada pihak yang sudi membeli? Pada ketika semua tertekan dan susah akibat RM merudum, pihak mana yang banyak duit untuk membeli orang?

*ALKISAH konon Pakatan Harapan (Harapan) sudah mempunyai calon perdana menteri sebagai persediaan gabungan itu menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, seperti yang disiarkan media: “Kami memang ada (calon untuk perdana menteri), akan umumkan pada masa yang sesuai.”

Dalam pada itu ada cakap-cakap bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan dinamakan sebagai calon perdana menteri Harapan, manakala Azmin timbalannya.

PRU14 pun tidak tahu bila, tetapi ada pihak tidak sabar-sabar hendak menjadi perdana menteri. Sepatutnya tumpukan dahulu usaha dan tenaga untuk memperkukuh parti supaya boleh menang PRU14.

Apabila sudah menang nanti baru fikir siapa hendak jadi PM, TPM, menteri itu, menteri ini. Jangan jadi ‘Saudagar Mimpi’, sebaliknya apa juga matlamat mesti berasaskan realiti, bukan fantasi.

*AKHIR kalam, menurut Ahmad Zahid, Jabatan Sukarelawan Rela (Rela) mengesan seorang individu menjual pangkat kehormat Rela dengan harga RM10,000 hingga RM30,000.

Individu yang “tidak sangat berpengaruh”  itu juga didapati menjual sijil dan kad Rela yang tidak dikeluarkan Ibu Pejabat Rela.

 Setakat ini tidak kurang 20 kes telah dilaporkan.

Almaklumlah, di tempat kita semua benda boleh dijual beli...

- TOK PERAK