*BERSYUKUR kita kerana diberi kesempatan untuk sekali lagi menemui Ramadan al-Mubarak. Semoga kita berupaya meningkatkan amalan dan ketakwaan untuk meraih sebanyak-banyak pahala.

Dalam suasana ekonomi yang mendung – RM jatuh, ramai kena berhenti kerja, tiada sumber pendapatan, harga barang terus naik dan lain-lain kekangan hidup – puasa kali ini sepatutnya betul-betul menginsafkan kita.

Duit tidak ada, jadi kita kena berkira betul untuk berbelanja. Jangan terlalu menurut nafsu ketika berkunjung ke bazar Ramadan. Usah mengasak kompleks membeli-belah untuk meraikan jualan raya. Pendek kata elakkan pembaziran.

Sebaliknya banyakkan amalan dan tingkatkan ibadat pagi petang, siang malam, termasuk tiga suku malam. Penuhkan masa terluang dengan membaca, memahami dan menghayati al-Quran.

Mudah-mudahan dengan ekonomi merudum dan serba-serbi susah, kita betul-betul dapat merasakan, menghayati dan menginsafi al-Mubarak. Selamat berpuasa.

*SAMA ada bulan puasa atau bulan biasa, orang kita selalu tertipu dalam pelbagai skim pelaburan cepat kaya. Terkini beribu-ribu orang Islam di negara ini dikatakan tertipu dengan apa yang dikatakan pelaburan di Arab Saudi.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia menerima banyak aduan daripada mangsa yang diperdaya untuk melabur dalam skim pajak hotel di Makkah, yang kononnya menjanjikan pulangan pelaburan tertinggi.

Dalam masa dua bulan ini persatuan menerima 30 aduan daripada mangsa yang kerugian RM beratus ribu. Sebenarnya skim seperti ini telah berjalan sejak 2005. Berpuluh ribu menjadi mangsa dengan keseluruhan kerugian lebih RM14,000,000.

Walaupun telah banyak kali dinasihatkan dan diberi amaran oleh pihak berkuasa, orang kita masih tidak serik dan tidak kedekut melaburkan duit kerana janji pulangan dalam masa singkat.

Oleh sebab telah dinasihatkan, tetapi tetap berdegil, maka biarlah mereka menanggung akibatnya...

*LEBIH tiga dekad berlalu, setelah macam-macam usaha dilakukan – dan RM berbilion dicurahkan – Proton masih dalam keadaan tidak bermaya untuk meneruskan hayatnya.

Maka bagaikan tidak dapat dielakkan lagi, syarikat pembuat kereta nasional diasaskan  Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983 itu terpaksa dijual kepada orang luar.

Seperti yang dilaporkan media, Syarikat DRB-Hicom akan menjual 49.9 peratus ekuiti dalam Proton Holdings kepada syarikat pembuat kereta China, Kumpulan Zhejiang Geely Holding.

Proton yang bermasalah itu juga dikatakan akan menjual semua kepentingannya dalam syarikat pembuat kereta sport British, Lotus kepada Geely dan Etika Automotive Sdn Bhd.

Memanglah, seperti yang ditegaskan oleh kerajaan, kita masih menguasai dan menjadi pemegang saham terbesar dalam Proton yang seperti telah digadaikan itu.

Tetapi dengan menjual 49.9 peratus itu, kita hanya lebih besar 0.1 peratus dari syarikat China. Terimalah hakikat bahawa dengan kelebihan tidak sampai satu peratus, itu bukan besar namanya. Itu ciput.

*APA pun Proton bukanlah satu-satunya syarikat pembuat kereta di planet bumi yang dijual hidup-hidup kepada gergasi dari negara komunis itu.

Seperti yang diketahui sebelum ini syarikat kereta tersohor dunia - Geely Automobile Hong Kong dan Kumpulan Kereta Volvo Sweden – telah dikuasai syarikat China berkenaan.

Maka harapan kita ialah menerusi pembelian Geely ini, kereta nasional akan mendapat pasaran yang lebih luas, dan mana-mana skru yang selama ini longgar boleh diketatkan.

Harap-harap sangat nama Proton itu dikekalkan dan tidak ditukar kepada nama lain. Teringat kata-kata hikmat Hang Tuah: “Tak kan Melayu hilang di dunia...”

 Tetapi kata-kata hikmat itu bukanlah jaminan bahawa Proton akan kekal di dunia.

*ANGGOTA Parlimen Seputeh Teresa Kok tidak setuju dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mencadangkan wanita berpakaian comot bagi mengelakkan gangguan.

YB DAP berkenaan meminta Ku Nan menjaga mulutnya daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggores hati wanita.

“Dia selalu bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu,” kata Teresa.

“Saya cuma bergurau tetapi pembangkang putar belit kata-kata saya. Mereka cari fasal.” Ku Nan membuat kenyataan ‘comot’ itu ketika menjawab kebimbangan seorang wanita mengenai keselamatan di tempat awam, semasa dialog TN50 pada 17 Mei.

Secara peribadi saya tidak nampak apa luar biasanya kenyataan Ku Nan.

Hatta kalau dia tidak bergurau pun saya tidak fikir kenyataan itu satu penghinaan. Janganlah terlalu emo.

*AKHIR kalam, berita duka awal Ramadan, 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak ditamatkan pengajian @ buang sekolah kerana kesalahan membuli enam pelajar junior.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka boleh merayu untuk belajar di tempat lain, tetapi tertakluk kepada beberapa syarat. Itulah, sudah diberi peluang belajar di tempat baik, cuba pula jadi samseng. Maka terimalah akibatnya...