*KATA Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim layak mengambil alih jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Idris yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United berkata, TMJ telah membuktikan kecekapan mengurus dan mentadbir pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga merangkul gelaran Liga Super sebanyak tiga musim berturut-turut.

Tetapi ada orang berhujah, mengendali dan mentadbir hanya satu pasukan – JDT – berbeza dengan mengurus sekian banyak pasukan dalam FAM. Lebih-lebih lagi ada banyak isu dan kontroversi dalam badan induk bola sepak negara itu.

Apa pun, saya sokong cadangan Idris, memandangkan sudah sampai masanya kepimpinan FAM ditukar. Itu pun kalau betul-betul Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan anggota baharu FAM pertengahan tahun depan.

Mana tahu, pada saat-saat akhir ada pula pihak yang memujuk Tengku Abdullah bertanding semula. Sudah banyak kali beliau menyatakan hasrat untuk berundur, tetapi ada sahaja pihak yang memujuknya.

*SEPERTI semua orang tahu jawatan  No 1 FAM memang berprestij. Antaranya, terbang ke sana-sini – merata dunia – duduk kelas pertama. Duduk di stadium untuk menonton bola pun kelas pertama.

Pendek kata, semuanya No 1 dan kelas pertama. Cuma kedudukan bola sepak kita tidak pernah No 1, tidak pernah kelas pertama. Semua orang tahu ranking kita di tangga dunia, adalah antara yang tercorot.

Kita ada kemudahan dan prasarana bola sepak bertaraf dunia. Kerajaan berbelanja RM berjuta – mungkin berbilion – untuk membina stadium kelas pertama, di seluruh negara. Tetapi kedudukan boleh sepak kita masih di kelas ayam.

Isu kelas pertama dan kelas ayam inilah yang patut ditangani oleh sesiapa juga yang akan menjadi orang No 1 FAM selepas pemilihan baharu nanti.

       *TMJ sudah ada yang mencadangkan untuk jawatan berprestij itu. Harap-harap putera dari negeri Johor itu bukan satu-satunya calon untuk bertanding jawatan penting itu.

Semoga ada mana-mana pihak lagi yang akan mencalonkan individu atau tokoh-tokoh lain bagi merebut kerusi No 1. Lagi banyak calon yang dicadangkan, lagi meriah pertandingan itu.

Sesiapa sahaja yang layak – tidak kira orang istana, orang politik, tokoh korporat, atau sesiapa sahaja – boleh dicalonkan, asal sahaja mereka memang betul-betul layak menjadi ketua bola kita.

Apa yang penting bukan status atau kedudukan calon, tetapi kredibiliti dan keupayaan memimpin yang mentadbir. Pada hemat saya FAM perlu orang yang betul-betul tahu tentang bola.

       *LARI dari bola, kita bercakap mengenai ulat. Agensi berita luar negara melaporkan mengenai ‘megalopygide’ iaitu sejenis ulat bulu mempunyai bentuk seperti rambut dan berwarna kuning terang.

Serangga bahaya ini boleh dijumpai di pokok oak, elms, plum liar serta di pokok bunga di taman-taman seperti bunga ros dan Ivy, banyak didapati di kawasan timur Amerika Syarikat di antara Carolina Utara dan Florida, kawasan selatan dan di bahagian Amerika Tengah. Ulat ini cantik, tetapi berbahaya. Jika tersentuh ia akan menyebabkan kulit anda berasa sakit seperti tulang.

“Malah, ada juga sehingga menyebabkan nekrosis kulit yang teruk yang amat menyesakkan. Kesan lain pula adalah bengkak, mual, sakit kepala, ruam, lepuh, sakit dada, kebas dan kesukaran bernafas,” kata laporan itu.

Di tempat kita, akhbar melaporkan kes dua ‘ulat parkir’ masing-masing didenda RM650 dan RM700 oleh Mahkamah Trafik di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendesak dan mengarahkan pemandu meletakkan kenderaan tanpa kuasa sah. Ada banyak lagi ulat seperti ini di tempat kita.

Kesimpulannya, sama ada di luar mahu pun di dalam negara, ulat memang makhluk perosak.

       *AKHIR kalam, NGO Sahabat Alam Malaysia (SAMM), meminta pihak berwajib memandang berat mengenai artis-artis yang menghadapi masalah moral, dan melarang mereka dari membuat persembahan di TV.

Penyelaras SAMM Faisal Zainal mengingatkan: “Secara tidak langsung segala tindak-tanduk selebriti (yang tidak bermoral) pasti menjadi ikutan anak muda masa kini.”

Dulu-dulu, zaman Tan Sri Mohamed Rahmat menjadi Menteri Penerangan, beberapa artis yang ada masalah moral digam oleh RTM.

“Kini kelihatan Kementerian Penerangan terlalu bertolak ansur dengan selebriti yang ada masalah moral dan pernah terlibat dengan kes jenayah.”

Fikir-fikirkanlah...