*RAMAI berasa lega dan berharap pengerusi baharu Felda, Tan Sri Shahrir Samad berupaya melakukan sesuatu untuk memperbaiki lembaga tersebut yang sebelum ini dilihat tak tentu hala.

Tumpuan umum sekarang ialah apakah formula Shahrir untuk memulihkan imej Felda yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini begitu teruk, haprak dan sentiasa dilihat dari sudut negatif.

Semua orang tahu tujuan asal penubuhan lembaga tersebut amat murni. Sayang sekali pentadbir dan pengurusan yang tidak profesional, ditambah pula dengan campur tangan politik, menjadikan yang asal murni itu akhirnya penuh dengan najis dan seribu satu kebusukan.

Maka menjadi cabaran pengerusi baharu itu untuk menyapu segala najis dan kebusukan itu.

*AWAL-awal lagi Shahrir telah menunjukkan ketegasan dan kesungguhan. Dia mengakui ada beberapa yang tidak betul, dan perlu dibetulkan.

Beliau mengarahkan semua ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), sebuah anak syarikat Felda, meletakkan jawatan, untuk membolehkan satu penyusunan semula.

Beliau berdiplomasi dan berlapik kata apabila memberitahu bahawa yang telah melepaskan jawatan pun boleh dilantik semula menduduki lembaga.

Tetapi, alang-alang tegas biarlah tegas betul-betul. Kalau hendak rombak dan susun semula FIC, ambillah mereka yang betul-betul layak; yang tidak layak jangan diambil semula.

Apa gunanya merombak dan menyusun semula sekiranya yang telah diketahui tidak molek itu diambil semula? Jangan ulangi haprak dan najis yang mengotorkan itu.

*SHAHRIR mengakui, seperti yang dilaporkan media, antara lok-lak @ cacamerba dan kelemahan urus tadbir dalam FIC berpunca daripada apa yang disebutnya sebagai ‘aset bermasalah’.

Maka beliau memutuskan untuk menjual sebuah hotel milik Felda di London, “kerana hotel itu tidak memberi pulangan besar selain tidak mempunyai sebarang nilai sentimental kepada rakyat Malaysia.”

Menurut beliau dengan penjualan hartanah di ibu kota Inggeris itu akan membawa pulangan antara RM500 juta hingga RM1 bilion kepada Felda.

Semoga dengan perolehan penjualan hotel, ditambah dengan laba dari penjualan 185,150,000 unit pegangan saham Maybank, akan membolehkan Felda yang nazak itu bernafas kembali.

*MAKA berkatalah Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, mengenai tindakan menjual hotel Felda di London itu: “Saya menyokong!”

Tambah menteri itu, seperti yang disiarkan Malaysiakini: “Felda patut memberi perhatian kepada perniagaan teras (iaitu) perladangan kelapa sawit mereka.”

Kenapa baru sekarang ada menteri yang sedar dan berani bercakap seperti itu. Sepatutnya dulu-dulu lagi telah ditekankan bahawa tumpuan Felda mesti pada ladang, bukan berniaga hotel.

Patut ditanya – dan diselidik – sekarang siapakah orangnya yang memberi idea ‘bernas’ untuk lembaga perladangan itu buka hotel?

Selidik juga sekiranya ada agenda tersembunyi di sebalik idea ‘bergeliga’ itu. Manalah tahu kot-kot ada yang memperoleh keuntungan peribadi dalam isu hotel berkenaan.

*SALAH satu benda yang amat menyayat hati dan menggores perasaan peneroka Felda – juga menyakitkan hati orang ramai – ialah saham Felda Global Venture (FGV).

Apabila syarikat tersebut hendak disenaraikan pada 2012 kerajaan mempromosi saham tersebut kepada orang ramai, terutama peneroka Felda.

Ketika itu diuar-uarkan bahawa siapa yang beli saham ini akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda, boleh jadi kaya dengan mudah.

Pihak pembangkang memberi peringatan kepada peneroka supaya berhati-hati sebab saham tertakluk kepada pasaran, sekejap naik sekejap turun.

Kerajaan tidak memberi penjelasan terperinci sebaliknya menyalahkan pembangkang yang dikatakan cuba menakut-nakutkan peneroka.

Peneroka yang sebahagian besarnya tidak begitu faham tentang saham, berebut-rebut membeli saham FGV yang ketika mula disenaraikan berharga RM4.55.

Ternyata kini mimpi untuk menjadi kaya bertukar menjadi papa. Saham FGV sekarang nilainya sekitar RM1.70, susut lebih separuh dari harga asal. Ada peneroka melaburkan semua simpanan untuk membeli saham, dan sekarang menangis sehingga kering air mata.

Mereka tidak tahu saham, terpesona dengan janji-janji manis kerajaan. FGV satu tragedi, dan bagi sebahagian besar peneroka yang membeli saham berkenaan, mereka hingga saat ini menganggap kerajaan berbohong.

*AKHIR kalam, secara kebetulan kerusi Pengerusi Felda yang sebelum ini diduduki oleh anak Samad, kini diganti oleh anak Samad juga. Tetapi Shahrir bukan adik-beradik dengan Tan Sri Isa Samad.

Anak Samad yang dulu melaksanakan pelbagai usaha untuk mencemerlangkan Felda, walaupun ternyata sesetengahnya tidak berapa cemerlang, ada yang malap, malah ada yang terus gelap.

Maka menjadi tanggungjawab anak Samad yang sekarang memberi cahaya kepada kemalapan. Mudah-mudahan di hujung terowong Felda yang gelap, berliku dan penuh duri, ada sinar baharu.