*ADA sesetengah pihak merasa bimbang kedudukan agama Islam, kedaulatan raja-raja serta hak orang Melayu dipertikaikan oleh kerajaan Malaysia baharu.

Kelompok ini memperlekeh PH kerana dalam tempoh 100 hari gagal berbuat sesuatu untuk menguatkan Islam dan meningkatkan kedaulatan raja-raja Melayu.

Malah, ada andaian bahawa Islam akan dipinggirkan, Kristian dimartabatkan, dan Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri.

Tempoh 100 hari telah berlalu, ternyata apa yang dibimbangkan tidak terjadi. Kedudukan Islam dan kedaulatan raja-raja masih kekal seperti biasa.

Dan perdana menteri masih orang Melayu...

*ALKISAH ada kelompok dalam Umno beranggapan orang Melayu perlu bersatu semula untuk meletakkan Islam, raja-raja dan hak Melayu pada tempat yang sewajarnya.

Maka telah dicanangkan konon hendak diadakan program ‘Himpunan Melayu Bangkit’ (HMB) di Kampung Gajah, Pasir Salak pada 1 September, jam 8 malam.

Pengerusi penganjur program berkenaan, Dr Faizal Tajuddin menjangka 10,000 orang me­nyertai himpunan tersebut.

Setelah parti terbesar Melayu tersungkur pada PRU14 molek juga diadakan himpunan seperti ini. Sekurang-kurangnya untuk menilai semula dan menginsafi kenapa orang Melayu sendiri menolak Umno.

*NIAT memang bagus, tetapi awal-awal lagi HMB telah disabotaj, mungkin oleh puak-puak dalam Umno juga.

Seperti yang dilaporkan media, ada pihak yang mengedarkan poster di laman sosial memberitahu bahawa himpunan tersebut bertujuan menyingkirkan bekas presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada parti.

Pihak penganjur menafikan poster mensabotaj itu. Dr Faizal yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Pasir salak berkata, perbuatan sabotaj dilakukan oleh pihak tertentu yang bimbang terhadap kebangkitan orang Melayu.

Maka, timbul soalan, siapa agaknya yang bimbang terhadap kebangkitan Melayu? Tidak ada siapa pun yang bimbang sekiranya Melayu hendak bangkit.

Hatta, tidak siapa bimbang sedikit pun sekiranya Umno yang tersungkur itu dapat bangun semula, untuk membela Melayu.

*HAKIKATNYA ialah Umno sendiri yang perlu dibangkitkan semula. Parti itu patut dirombak.

Buang pemimpin-pemimpin yang lapuk, ganti dengan wajah yang lebih berseri, lagi membawa rezeki, bukan membuang rezeki.

Seperti yang diakui dan disuarakan sendiri oleh veteran parti, Najib tidak patut dikekalkan dalam Umno.

Sekarang semakin ramai mengakui Najib adalah penyebab utama Umno ditolak.

Jadi, sekiranya HMB hanya bertujuan mengagungkan semula Najib, maka lebih baik batalkan sahaja program berkenaan. Jangan membuang masa dan tenaga.

Ini bukan soal tidak mengenang jasa Najib; ini soal hendak membangkitkan semula keyakinan terhadap Umno. Lagi pun jasa Najib telah berbayar, malah terlebih bayar!

*RAMAI beranggapan pembatalan projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) boleh ‘membunuh’ ekonomi di kawasan Pantai Timur terutama negeri Kelantan.

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Shiekh Ahmad Dasuki Shiekh Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ekonomi rakyat Kelantan akan terus ketinggalan berbanding Pahang dan Terengganu.

“Satu kerugian yang cukup besar buat rakyat Kelantan apabila projek mega yang mempunyai hubung kait dengan masa depan negeri Kelantan telah dibatalkan...”

Sebagai anak jati Pantai Timur, saya pun terkilan dengan pembatalan ECRL. Saya harap kerajaan PH fikir sekali lagi, dan tidak tergesa-gesa batalkan projek berkenaan.

*AKHIR kalam, sudah lebih seminggu Equanimity tersadai di Pelabuhan Klang, tetapi semuanya masih samar-samar siapa akhirnya akan mendapat keuntungan dari kapal mewah itu.

Jutawan Jho Low yang dikatakan pemilik kepal bernilai RM1 bilion itu sehingga kini masih tidak berani menampakkan diri untuk menuntut hartanya itu.

Pihak peguam yang mewakili jutawan dalam buruan itu bagaimana pun mengatakan Malaysia tidak boleh dengan mudah menjual atau melelong kepal tersebut.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimana pun bertegas, pemilik kapal tersebut perlu hadir dan menunjukkan bukti sekiranya hendakkan kapal berkenaan.

Demikianlah, sekiranya sejak awal sudah tidak betul, semuanya akan menjadi tidak beres. Tidak tahu sekarang siapa lebih berkuasa, Jho Low atau 1MDB?

Bimbang pula kot-kot kapal mewah itu akan berkarat begitu sahaja...