*MELIHAT di atas kertas, manifesto Harapan yang dilancarkan dua hari lalu nampaknya menjanjikan banyak harapan kepada rakyat. Seperti yang dijelaskan manifesto setebal 138 halaman itu antara lain, memperincikan rancangan pakatan pembangkang menangani kenaikan kos sara hidup, sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada PRU14.

Tawaran paling popular – dan dinanti-nanti oleh rakyat – adalah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang dilihat amat membebankan.

Ada lagi yang menarik, termasuk rancangan mengurangkan cukai eksais bagi mereka yang membeli kereta pertama, untuk kereta di bawah 1600cc dan bagi pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.

Pendek kata, manifesto Harapan memang memberi harapan.

*BELUM apa-apa sudah ada cakap-cakap sumbang. Sementara harapan berbunga bagi sesetengah orang, ada pula pihak bernada negatif terhadap manifesto 138 halaman itu. Macam-macam sindiran dan cemuhan daripada pemimpin dan macai-macai parti lawan mengenai manifesto yang baru dilancarkan itu. Tak masuk akal. Mengarut. Janji-janji kosong. Haprak.

Apa pun parti pimpinan Tun Mahathir itu dilihat menang kerana menjadi yang pertama melancarkan manifesto. Dulu menjadi parti pertama yang menyenaraikan calon PM dan TPM, sekarang menjadi pendahulu dalam manifesto.

Kita tunggu parti-parti lain pula melancarkan manifesto masing-masing, dalam masa terdekat ini. Kita hendak tengok apa manifesto BN, apa pula manifesto Pas, DAP dan lain-lain. Bagi saya, lagi banyak manifesto, lagi banyak harapan...

*APABILA manifesto keluar, bahang pilihan raya pun menjadi bertambah hangat. Sana-sini majlis dan acara mendekati rakyat @ pengundi diadakan. Mana-mana YB yang selama ini tidak pernah masuk kampung kini tersipu-sipu masuk hingga ke desa terpencil untuk bersalaman dengan rakyat jelata.

Pemimpin yang lima tahun dulu menghabiskan hujung minggu di padang golf, kini lupa sukan mewah itu, dan pakai kain pelekat dan kopiah lembik untuk bersolat subuh dan makan pagi bersama rakyat di kawasan masing-masing. Berwajah sedih @ toya, jalan pun tidak mendongak, batuk pun tidak penuh gaya...macam orang takut jer.

*HATTA mana-mana mem yang selama ini asyik mengajak suami bercuti di luar negara – dan membeli macam-macam barang mewah, termasuk kasut dan beg tangan – kini pantang ada masa akan balik kawasan untuk bersama rakyat.

Musim-musim begini rakyat melihat pelbagai kerenah wakil-wakil mereka yang selama ini menghilang diri. Ada yang datang menghulur duit, hadir majlis kahwin, derma anak berkhatan.

Hatta, ada juga yang datang untuk menyuapkan makanan kepada warga tua, atau memberi susu, memeluk dan mengendong bayi. Inilah musim wakil rakyat – tanpa mengira parti – menunjukkan keprihatinan luar biasa, hatta kepada anjing kurap di kawasan mereka.

*BERTAMBAH panas bahang PRU14, apabila tidak fasa-fasal muncul kapal mewah The Equanimity, di pulau peranginan Bali, Indonesia.Kapal berharga hampir RM1 bilion itu, milik laksawan Malaysia, Jho Low, ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia bagi membantu siasatan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) dalam kes 1MDB.

Mantan menteri Tan Sri Rafidah Aziz menyoal mengapa pihak berkuasa kita sukar sangat untuk mengesan kapal mewah tersebut, sedangkan beliau boleh melihat sendiri kapal tersebut ketika bercuti di Phuket, Thailand.

Sebenarnya, bukan setakat kapal mewah, pihak berkuasa kita selalu gagal mengesan benda-benda besar yang lain. Almaklumlah kita hanya suka menyiasat dan mengesan benda-benda kecil – termasuk memastikan alat sulit atau jantina seseorang – sehingga kita tidak nampak benda-benda lain yang lebih besar.

Perihal kapal Jho Low itu ada yang mengatakan perkara itu sengaja dibangkitkan untuk memberi gambaran buruk kepada Datuk Seri Najib Razak menjelang PRU14. Apa hal pula? Ada kena-mengena ke? Bukankah Peguam Negara telah mengesahkan PM kita bebas dan bersih dari skandal 1MDB!

*AKHIR kalam, setelah empat hari kering dan gelisah, kebanyakan kawasan di negeri Selangor telah mendapat bekalan air seperti biasa.Betapa deritanya hidup tanpa air. Paip menitis terlalu perlahan, sedangkan air kencing, air besar dan air-air lain, keluar seperti biasa tidak dapat disekat-sekat. Bilik mandi hancing sepanjang hari!

Kegiatan harian semua terhenti. Hatta mandi – termasuk yang wajib – pun. Sudah beberapa kali Selangor hadapi masalah kering dan hancing. Apakah ini juga gara-gara PRU14?