*KES rasuah sebuah agensi air di Sabah belum tamat, malah makin berkembang. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 19 lagi pegawai kanan agensi berkenaan untuk disiasat.

Kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mereka yang ditahan ialah jurutera berusia antara 29 hingga 59 tahun yang berjawatan Ketua Bahagian dan Daerah agensi berkenaan.

Turut dirampas dalam operasi kali ini ialah wang tunai RM4.2 juta, juga membekukan akaun bank RM3.6 juta milik suspek-suspek.

Siasatan awal mendapati Ketua Bahagian dan Daerah berkenaan telah membuat kutipan antara 27 hingga 30 peratus daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan projek. Mudah betul mereka mendapat duit haram!

Seperti yang diketahui umum 4 Oktober lalu dua pegawai atasan agensi berkenaan telah ditangkap berhubung rasuah satu projek air bernilai lebih RM3 bilion.

SPRM berjaya mengesan harta penyelewengan bernilai hampir RM200 juta, termasuk wang tunai RM52 juta yang disimpan dalam almari di rumah suspek. Begitu banyak duit haram dalam rumah.

Kita bercakap mengenai 'hotdog' haram, sedangkan di keliling kita ada benda haram yang lebih berbahaya dan menjolok mata serta menggores perasaan!

*MENGENAI hotdog, menurut Datuk Seri Jamil Khir Baharom, nama sesuatu makanan tidak penting. Kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, apa yang lebih penting ialah bahan yang digunakan untuk membuatnya.

Beliau mengulas mengenai kekeliruan yang timbul mengenai isu sijil halal rangkaian kedai roti pretzel Untie’s Anne yang menjadi viral di internet.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan Untie’s Anne menukar nama salah satu hidangannya, ‘pretzel dog’ kepada ‘pretzel sausage’ supaya memudahkan memperoleh sijil halal.

Semua orang tahu ‘dog’ ertinya anjing. Memang kedengaran tidak sedap lagi mengelirukan sekiranya orang Islam makan anjing.

*SEPERTI yang diketahui, banyak makanan yang namanya haram, tetapi telah disahkan dengan persijilan halal. ‘Hotdog’ sekiranya diterjemahkan ertinya ‘anjing panas’. Namun sejak sekian lama makanan ini telah diperakui halal.

Sama juga halnya dengan ‘root beer’ atau rut bir. Bir memang haram, tetapi rut bir adalah minuman kegemaran ramai yang sejak lama dulu telah disahkan halal.

Sebenarnya kalau berpandu hanya pada nama, banyak makanan tradisional kita pun tidak halal dimakan. Contoh, tahi itik adalah najis dan haram dimakan. Tetapi kuih tahi itik popular di Terengganu dan Kelantan.

Kodok @ katak pun tidak boleh dimakan, tetapi cucur kodok halal dimakan. Sama juga cucur badak. Maka Jamil Khir betul bahawa bukan nama, tetapi bahan dan cara penyediaan yang menentukan makanan itu halal atau sebaliknya.

*NAMUN demikian, saya setuju juga dengan Jakim bahawa eloklah makanan yang menggunakan nama tidak sesuai dengan Islam itu ditukar kepada nama yang lebih baik.

Biarlah rut bir, air mata kucing, hotdog, cucur kodok, cucur badak, roti benggali, dan kuih tahi itik dikekalkan nama kerana telah lama dan sudah sinonim dengan orang kita.

Tetapi minuman, resipi dan kuih baharu elok pakai nama yang molek. Sekiranya tidak diambil peduli, takut nanti ada orang sesuka hati menggunakan nama yang bukan-bukan pada makanan dan minuman.

Manalah tahu nanti ada yang menamakan ‘ketupat muncung babi’. Dulu ada ura-ura sebuah restoran di KL ingin menghidangkan ‘bak kut teh’ halal yang diperbuat daripada kambing.

Nama seperti Nasi Lemak Anak Dara tidak mengapa, demikian juga Nasi Lemak Pink Dr Vida. Tetapi tentu tidak berapa sesuai jika dinamakan Nasi Ulam Janda Meletup atau Nasi Beriani Musang Berjanggut atau Apam Balik Telur Harimau.

*AKHIR kalam, sebaik dibebaskan daripada tahanan reman pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata: “Dengan ini saya isytiharkan peperangan secara habis-habisan dengan kumpulan BERSIH 5.0.”

Pemimpin Umno bahagian itu menegaskan kumpulan baju merah akan menggerakkan jentera di seluruh negara untuk menggempur kumpulan baju kuning pimpinan Maria Chin Abdullah.

Tidak kira baju merah, baju kuning atau baju warna-warna lain, mereka boleh meluahkan semangat berkobar-kobar, dan isytiharkan apa sahaja. Tetapi mereka perlu ingat – selalu ingat – bahawa negara kita ada undang-undang.

Jadi jangan berbuat sesuatu mengikut perasaan dan undang-undang sendiri.

 

- TOK PERAK