*ADA penganalisis politik berpendapat, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba menggunakan isu pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baharu ditubuhkan.

Tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri yang menyokong pembebasan bekas ketua pembangkang berkenaan, “hanyalah satu sandiwara.”

Sebelum ini tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Anwar yang pernah dipecatnya pun dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sandiwara.

Di mana-mana, dan pada bila-bila masa pun, politik memang selalu penuh dengan sandiwara. Selama ini pun kita telah melihat di depan mata pelbagai jenis sandiwara. Ada drama berat, drama separuh berat.

Dan, banyak juga drama @ sandiwara politik yang berstatus ‘Maharaja Lawak Mega’. Pelakon-pelakonnya betul-betul macam badut di atas pentas. Untuk hiburan, kita boleh menonton badut-badut ini!

*HARAP-HARAP ini bukan sandiwara! Mengikut cakap-cakap yang didengar, parti-parti pembangkang bersedia dengan konsep satu lawan satu untuk menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Hanya dengan melakukan formula tersebut pembangkang – Pas, DAP, PKR, Amanah, Ikatan dan Bersatu – ada harapan untuk menafikan kemenangan BN yang telah lama berkuasa.

Veteran Umno yang juga anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah pun mengakui formula satu lawan satu pembangkang sekiranya dilaksanakan boleh mengancam kedudukan Umno.

Cakap memang mudah, tetapi melaksanakannya susah. Sekiranya ada sepakat pembangkang dan menggunakan formula tersebut, Umno sepatutnya telah ditewaskan dalam dua PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Tetapi oleh sebab semua tamak dan tidak mahu mengalah, kedua PRK tersebut pembangkang kalah. Politik pun kadangkala sama seperti kisah anjing dengan bayang-bayang...

*MENURUT Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, partinya bersetuju dengan konsep satu lawan satu. “Tetapi sama ada ia akan berlaku atau tidak itu wallahualam,” katanya.

Ertinya Dr Mahfodz pun tidak yakin sama ada 1 vs 1 boleh menjadi realiti. Seperti yang ditegaskan: “Apa yang pasti, kita tak akan buat hubungan dengan DAP dan Amanah.”

Macam mana hendak laksanakan formula tersebut sekiranya siang-siang sudah kata tidak mahu kerjasama dengan sesetengah parti pembangkang? Pendek kata formula 1 vs 1, cakap mudah, nak buat susah!

*CUEPACS mencadangkan, diwujudkan satu klausa pengecualian kepada pemandu kenderaan kerajaan dikecualikan daripada dikenakan tindakan pemotongan mata demerit apabila sistem Kejara dan AES dijalankan serentak Mac depan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, seperti yang dilaporkan Bernama, pelaksanaan serentak dua sistem itu akan memberi kesan kepada lebih 50,000 pemandu kenderaan kerajaan yang ada ketikanya terpaksa memandu melebihi had kelajuan.

Saya setuju sesetengah pemandu kerajaan seperti ambulan menghantar pesakit, polis mengejar penjenayah dan tugasan operasi kecemasan dikecualikan dari dua sistem berkenaan.

Tetapi pemandu kerajaan lain, termasuk drebar menteri, hatta drebar Perdana Menteri, tidak terkecuali dari sistem tersebut. Pemandu kenderaan kerajaan pun sama seperti pemandu kenderaan biasa, mesti tertakluk kepada undang-undang.

*SEPERTI yang dilaporkan sebuah akhbar (bukan Sinar Harian), seorang bekas banduan dan bekas penagih dadah memberitahu, mudah sangat melakukan aktiviti penyeludupan melalui sempadan Rantau Panjang-Narathiwat.

Katanya yang pernah menyeludup heroin dari negara jiran selama empat tahun, dia melakukan kerja haram itu betul-betul di depan mata anggota penguat kuasa yang mengawal sempadan.

Dia bagaimanapun ditangkap, tetapi bukan di sempadan. Identitinya didedahkan oleh seorang pelanggannya yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah. Dia dihukum penjara lapan tahun, dan dikenakan 10 sebatan rotan.

Timbul pertanyaan: Bagaimana boleh begitu mudah menyeludup di depan mata anggota penguat kuasa? Apakah penguat kuasa tidak mempunyai kuasa? Atau ada kuasa lain yang melemahkan penguat kuasa?

*AKHIR kalam, macam-macam cara mengabadikan sejarah hari perkahwinan. Di Temerloh, Pahang, pasangan pengantin baharu membawa dua ekor kambing untuk sama-sama bersanding di pelamin.

Penternak Mohd Fikri Denan, 27, dan pasangannya, Noor Ana Mami Johari, 29, terlalu sayang pada kambing ternakan dan gembira bersanding bersama haiwan tersebut pada majlis di Kampung Belenggu, minggu lalu.

Mungkin selepas ini ada pengantin yang terlalu sayang pada lembu atau kerbau, dan bersedia naik pelamin bersama ternakan tersebut. Amaran: Hati-hati jangan sampai pelamin roboh!