RASUAH lagi! Awal minggu ini media melaporkan seorang pengarah sebuah syarikat GLC ditahan di rumahnya di Shah Alam selepas dikesan menganugerahkan projek bernilai RM50 juta kepada kroninya.

Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan tersebut selama lima tahun ketika memegang jawatan sebagai CEO sebuah GLC, sebelum dia dilantik menjadi pengarah sebuah GLC lain sehingga kini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatannya mendapati pengarah tersebut, seorang Datuk (Datuk lagi!), memiliki beberapa akaun bank dengan simpanan berjumlah RM40.1 juta, semuanya telah disita. Turut dirampas sebuah kereta mewah jenis Porsche.

Dalam masa lima tahun menjadi CEO sebuah GLC dia berjaya sakau lebih RM40 juta duit rakyat. Kemudian si kaki sakau itu dilantik pula menjadi pengarah sebuah GLC lain. Ilmu apa agaknya dia pakai selama ini?

*KIRA-KIRA seminggu sebelum itu media melaporkan SPRM menahan seorang pengurus besar sebuah GLC (lagi-lagi GLC!) di rumahnya di Seremban, kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menerima suapan daripada kontraktor-kontraktor yang berurusan dengannya.

Seperti yang dilaporkan siasatan mendapati suspek memiliki sembilan rumah bernilai RM8 juta, dipercayai dibeli secara tunai, empat buah kereta mewah, sebuah motosikal berkuasa tinggi dan wang simpanan berjumlah RM2.5 juta.

Menurut sumber, pengurus besar berkenaan bertindak sebagai konsultan bagi projek pembangunan dan infrastruktur di Putrajaya dan dipercayai terlibat untuk kelulusan projek-projek bernilai RM ratusan juta sejak menyandang jawatan tersebut pada 2005.

Sedap betul memegang jawatan penting dalam GLC!

*SEMENJAK dua menjak ini selalu sangat kita membaca berita – dan melihat gambar orang-orang ditutup muka macam Zorro! – mengenai pelbagai kes rasuah.

Dulu-dulu benda macam ini – rasuah @ makan suap – dianggap luar biasa, terjadi sekali-skala. Sekarang berlaku setiap minggu, maka sudah jadi benda biasa. Pendek kata makan suap sudah jadi seperti makan apam atau makan tembikai susu.

Dulu-dulu makan suap RM sepuluh atau dua puluh ribu dianggap luar biasa. Sekarang bukan puluh ribu atau ratus ribu tetapi RM juta-juta-juta. Malah ada yang simpan tunai RM puluh-puluh juta dalam almari di rumah.

Dulu-dulu yang selalu kena suap ialah kakitangan biasa, peon, prebet dan sebagainya. Tetapi sekarang yang meminta suapan ialah big, big boss – pengurus besar, ketua pengarah, CEO dan sebagainya.

Mana perginya slogan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’?

*AGENSI berita BBC melaporkan dari Moscow, Menteri Ekonomi Rusia, Alexei Ulyukayev ditahan berhubung rasuah. Jawatankuasa Siasatan Badan antirasuah Rusia berkata, Ulyukayev menerima bayaran sebanyak AS$2 juta (RM8.6 juta).

Ulyukayev telah dilantik menteri ekonomi pada tahun 2013, dan sebelum itu memegang jawatan timbalan pengerusi bank pusat Rusia selama satu dekad.

Seperti yang dilaporkan, menteri itu telah ditahan dan akan didakwa tidak lama lagi. Beliau boleh dikenakan hukuman penjara antara lapan dan 15 tahun jika sabit kesalahan.

Seyogia diingat berita dari Moscow ini tiada kaitan langsung dengan Kuala Lumpur.

*AKHIR kalam, negara kita memang penuh warna-warni. Dari satu warna kini sudah jadi pelbagai warna. Mula-mula kuning menjadi warna pilihan kumpulan Bersih yang telah menganjurkan beberapa perhimpunan sebelum ini.

Ketika Bersih 5 dihebohkan, muncul pula warna merah, iaitu kumpulan anti-Bersih yang bertekad untuk mengekori di mana sahaja baju kuning berada. Mereka kata ada kuning, adalah merah.

Dua hari lalu muncul pula kumpulan baju oren yang berkumpul di Balai Polis Dang Wangi, membuat laporan terhadap Bersih yang dituduh hendak mengadakan perhimpunan menjatuhkan kerajaan.

Baik kuning, merah, oren atau apa sahaja warna – hijau, biru, putih, hitam, kelabu – orang ramai sudah berdebar-debar untuk melihat pertembungan warna-warni yang sejak beberapa bulan ini dihebohkan dalam media, sama macam kempen pilihan raya.

Hari ini tibalah masanya. Walaupun polis dan menteri kata tidak boleh, kuning dan merah bertekad untuk terus berhimpun di KL. Mungkin ada warna-warna lain lagi dalam perhimpunan hari ini.

Kita tengoklah betapa harmoninya warna-warni Malaysia.