*TENTU ada seorang dua yang tidak puas hati, dan marah-marah. Tetapi sebahagian besar rakyat, khasnya pengundi, mengalu-alukan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) membubarkan beberapa agensi.

Antara agensi yang dibubarkan serta-merta itu ialah Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kam-pung Persekutuan (JKKKP), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (Pemandu), dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Orang tidak nampak – dan tidak terasa – apa perlunya MPN. Apakah tanpa MPN para profesor dan akademia tidak boleh menyumbang dan memberikan pandangan?

Apa perlunya Jasa, sedangkan kita sudah ada Kementerian Penerangan yang sejak dulu-dulu lagi telah menjalankan tugas dengan baik untuk Kerajaan.

Ramai menganggap agensi yang dibubarkan itu peranannya telah dimainkan oleh jabatan dan agensi yang sudah pun wujud selama ini. Ada juga yang kata agensi tersebut hanya sebagai saluran memberi dedak kepada sesetengah individu.

Maka, daripada terus menghabiskan ‘beras’ rakyat, lebih baik tutup sahaja agensi berkenaan.

*SATU lagi agensi yang ditutup ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Rakyat tidak nampak apa perlunya SPAD yang tugas dan bidang kuasanya sama seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Malah, kerap terjadi kekeliruan dalam kalangan pengguna. Kalau ada masalah dan mengadu kepada SPAD, mereka diberitahu: “Ini kena rujuk JPJ, bukan tugas kita.” Ada juga kes yang dirujuk kepada JPJ, pegawai berkata: “Ini kena pergi SPAD...”

Ada JPJ, ada SPAD, tetapi banyak perkara tidak dapat dibereskan. Masing-masing saling menuding jari, dan berding-dong-ding-dong. Maka lebih baik bubarkan sahaja.

Entah kenapa, sebut SPAD, tiba-tiba teringat Tan Sri Mohd Isa Samad!

*SEBUT JPJ, selalu sangat kita mendengar rungutan rakyat tentang rumitnya berurusan dengan jabatan ini, untuk hal-hal tertentu. Cuba tanya pemandu teksi, pemandu bas ekspres atau drebar lori.

Sejak dulu jabatan ini selalu dikaitkan dengan rasuah. Ada yang kata rasuah JPJ hanya persepsi. Tetapi bagi yang mengalami, mereka tahu itu bukan sekadar persepsi, tetapi realiti.

Contoh paling mudah ialah ujian untuk mendapatkan lesen memandu. Ada yang berulang kali menjalani ujian, semua dilakukan mengikut apa yang diajar, tetapi masih tidak lulus.

Bayar sedikit ‘dedak’ kepada tukang uji JPJ, atau menerusi sekolah memandu, boleh lulus. Ini bukan rahsia lagi.

Anthony Loke, Menteri Pengangkutan baharu menegaskan akan membetulkan keadaan ini. Katanya, baik sekolah memandu atau pegawai JPJ, jangan lagi main pau-pau dan kong-kalikong.

Menteri itu hendak menghapuskan lesen kopi-O, lesen bawah meja, lesen terbang, lesen pau, dan macam-macam jenis lesen lagi.

Selepas tsunami PRU14, rakyat betul-betul berharap benda-benda kotor dalam JPJ – juga jabatan-jabatan lain – hendaklah dibersihkan.

*WALAUPUN belum Raya Aidilfitri, sekarang adalah musim pihak-pihak tertentu ‘berkunjung’ atau ‘melawat’ atau ‘memeriksa’ premis dan rumah-rumah tertentu.

Ada pun ‘berkunjung’ atau ‘melawat’ atau ‘memeriksa’ adalah istilah bahasa beradab, bahasa beralas, bahasa lembut. Bahasanya kasarnya ialah ‘menyerbu’ dan ‘menggeledah’.

Maka seperti yang kita ketahui, sehari dua ini banyaklah rumah dan pejabat yang dikunjungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, atau nama manjanya SPRM.

Sama ada teratak, pondok, rumah kecil, rumah besar, rumah terlalu besar, semua dikunjungi untuk diperiksa. Hasil kunjungan dan pemeriksaan pun telah diketahui rakyat.

Sesetengah penemuan dari kunjungan berkenaan amat mengejutkan, ada juga yang macam tidak masuk akal. Baru orang ramai tahu ada harta karun yang selama ini tersembunyi.

*ADAPUN antara yang dikunjungi setakat ini ialah kediaman dan pejabat Pengerusi Tabung Haji yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Kunjungan ke kediaman beliau di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta ke pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, telah menemukan wang tunai RM500,000, dan mata wang asing bernilai RM400,000.

Seperti yang beliau jelaskan, duit tunai setengah juta RM itu adalah untuk digunakan bagi misi ke Gaza, Palestin.

Turut diambil ialah beberapa jam tangan mewah pelbagai jenama yang menurut Azeez sebahagiannya adalah jam tiruan @ palsu.

Kesimpulannya: Pertama, jangan mudah tertipu dengan jam tangan mewah, sebab itu mungkin barang palsu. Kedua, hidup memang penuh kepalsuan.

*AKHIR kalam, kemelut di Perlis. Jelas ada yang tidak ngam antara orang politik dengan pihak istana, berhubung isu pelantikan Menteri Besar. PRU14 telah berlalu, rakyat telah membuat keputusan, semua kena terima keputusan dengan perasaan terbuka.

Selesaikan segera kemelut ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Buang yang pahit, ambil yang harum manis.