*TERBUKTI sudah, tidak terjadi situasi 16:16 di Negeri Penyu. Dengan kemenangan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada pilihan raya kecil Kuala Besut Rabu lalu, kedudukan Dun Terengganu kekal 17 BN, 15 pembangkang.

Ini adalah PRK pertama selepas PRU13. Orang Kuala Besut keluar mengundi dua kali dalam masa tiga bulan. Seperti yang dilaporkan inilah pilihan raya paling tenang. Paling aman. Langsung tidak tegang.

Sepanjang 12 hari berkempen, baik pihak BN mahu pun Pas sama-sama tidak agresif. Tidak ada sindir-menyindir. Tidak ada caci-mencaci. Dan tidak ada dedah-mendedah. Semua menunjukkan kesabaran dan kematangan. Inilah baiknya pilihan raya diadakan dalam bulan Ramadan al-Mubarak, masing-masing menjaga puasa.

Syabas kepada Tengku Zaihan yang memperoleh 8,288 undi, menewaskan calon Pas, Endot @ Azlan Yusof yang meraih 5,696. Selamat bergelar ‘YB’ @ ‘Yang Berhormat’ @ ‘Yang Berkhidmat’ @ ‘Yang Berbudi’ @ ‘Yang Berbahasa’.

Sepatah kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika meraikan kemenangan malam itu: “Kerja Tengku Zaihan sebagai wakil rakyat akan bermula malam ini, dan beliau perlu menumpukan sepenuh masa bersama rakyat untuk membantu mereka dalam segenap bidang.”

Walaupun diketuai sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, dan dengan janji pelbagai projek bernilai RM beratus juta, BN, khasnya Umno gagal menepati sasaran majoriti 4,000 undi.

Pada PRU 5 Mei lalu calon BN Dr Abd Rahman Mokhtar (Allahyarham) menewaskan Napsiah Ismail (Pas) dengan majoriti 2,434. Kali ini majoriti BN 2,592, bertambah hanya 158, dan terlalau jauh dari sasaran yang diharapkan.

Tetapi, dalam amalan demokrasi, walaupun lebih hanya satu undi, yang menang tetap dikira sah dan mesti dihormati. Endut atau Che Long, akur dengan keputusan pengundi: “Saya terima kekalahan ini, dan kalah itu perkara biasa, kita tidak berasa pelik dengan kekalahan ini tetapi jikalau kita menang ia memang suatu yang luar biasa.”

Apa yang lebih penting dengan kelebihan dua kerusi di pihak BN, terelaklah kebimbangan ‘Dun tergantung’. Kini BN masih berkuasa, dan Datuk Seri Ahmad Said masih kekal duduk di kerusi Menteri Besar.

Cuma dengan hanya dua kerusi lebih, Ahmad jangan berasa selesa sangat duduk di kerusi penting itu. Kerusi itu tentu panas, macam ada jarum menikam punggung setiap kali duduk, dan kerajaan negeri pun menjadi goyah, tidak mantap.

Memang dua kerusi masih dikira menang. Tetapi kedudukan seperti itu betul-betul macam kata pepatah ‘telur di hujung tanduk’, atau dalam bahasa mudah orang Terengganu ‘dok rok cetong’. Dengan kata-kata lain dua telur itu macam tidak berfungsi.

*MASUK minggu ketiga Ramadan, berebut-rebut orang hendak menaja buka puasa. Pihak media menerima tiga atau empat undangan setiap hari daripada menteri, ketua jabatan, agensi kerajaan, tokoh korporat, orang politik dan individu-individu tertentu.

Tempat berbuka pun bukan sembarangan, sama ada di restoran terkemuka atau di hotel-hotel lima bintang. Kos berbuka di tempat-tempat seperti itu bagi setiap orang @ ‘per head’ paling tidak pun RM100.

Walaupun mahal, semua hendak menaja, dan hotel menerima tempahan awal penuh sebulan. Ini bukti negara kita mewah, orang kita banyak duit. Tetapi dalam pada itu, masih ramai juga rakyat biasa berpendapatan rendah buka puasa dengan hanya nasi dan air suam.

Jadi, sambil kita bermewah-mewah makan di hotel dan restoran besar, ingat jugalah pada keluarga yang kurang bernasib baik yang berbuka dengan makanan asas yang amat sederhana. Mudah-mudahan dengan mengingatkan itu kita akan lebih banyak menderma dan bersedekah, dan tidak termasuk dalam golongan membazir.

*AKHIR kalam, berita menyebut, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari mahu polis dan Jabatan Peguam Negara menyiasat segera program berbuka puasa anjuran pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang dikatakan menabur fitnah dan hasutan.

Betulkah begitu? Sepanjang hari kita mengawal segalanya – termasuk makan minum – untuk melaksanakan ibadat puasa. Apa ertinya puasa kita sekiranya berbuka sambil bergosip, menabur fitnah dan cakap bukan-bukan?

TOK PERAK