*TERINGAT zaman budak-budak dulu-dulu, pergi ke sekolah bawa duit hanya 10 sen. Itu sudah lebih dari cukup untuk makan di kantin waktu rehat.

Masih saya ingat nasi lemak sambal sotong harganya 5 sen, sirap 3 sen. Baki 2 sen lagi boleh beli gula-gula.

Waktu itu usahkan 10 sen atau 5 sen, duit siling 1 sen pun – ada bentuk bulat, ada juga yang persegi – amat dihargai, laku di mana-mana. Waktu itu dia orang selalu kata: “Duit 1 sen besar macam roda kereta lembu...”

*ZAMAN berubah, masa berlalu, nilai pun tidak lagi seperti dulu... Hari ini siling 1 sen bank pun tidak mahu terima. Duit 5 sen, 10 sen, 20 sen hatta 50 sen tidak lagi dapat membeli jiwa kanak-kanak.

Kalau masuk kantin sekolah dengan RM1, alas perut pun tidak terasa, sebab RM1 hanya boleh beli sebungkus kecil nasi lemak, dan minum air sejuk.

Budak-budak tidak lagi cakap sen-sen. RM1 pun nilainya lebih kecil dari roda kereta mainan. Paling tidak pun kena bawa RM3 ke sekolah, itu pun hanya dapat nasi lemak dan air sirap.

Orang dewasa pula tidak lagi bercakap RM10, RM50, RM100. Mereka cakap hanya RM ribu-ribu, RM ratus-ratus ribu, RM juta-juta. Hatta, dalam kalangan orang tertentu, RM bilion-bilion pun sudah jadi macam mainan biasa.

*MEMANG, orang ramai – termasuk saya – tidak berharap @ tidak termimpi pun bahawa nilai RM sebesar roda kereta lembu macam dulu-dulu. Kita kena realistik.

Tetapi, tidak juga kita menjangka RM kita merudum seperti sekarang. Duit kita tidak dipandang langsung di negara luar, termasuk beberapa negara jiran.

Kawan saya yang baru pulang dari umrah memberitahu baik di Madinah mahu pun di Makkah, penjual sejadah dan tasbih tidak lagi menerima RM dalam urus niaga.

Tidak usah pergi jauh, peniaga di seberang Sungai Golok pun menolak RM. Malah ada pengurup wang (money changer) di Thailand yang terang-terang meletakkan kenyataan: “Maaf, kita tidak terima RM”.

Minggu lalu, saya di Pekanbaru (Indonesia), berhasrat menggunakan RM untuk membeli sehelai pakaian. Petugas memberitahu: “Mohon maaf, Pak. Kami hanya menerima Rupiah...” Dulu mereka gembira menerima duit kita.

Pendek kata, RM sudah teruk. Inilah hakikat yang kita kena terima, sekurang-kurangnya buat masa ini.

*APA pun usah terlalu kecewa dengan RM yang terus jatuh. Sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih terus memberi pengharapan.

Seperti yang dilaporkan media, PM yakin nilai RM akan kembali pulih, sebab kemerosotan mata wang itu bukan berpunca daripada kelemahan pihak kerajaan.

PM berkata, kemerosotan nilai ringgit disebabkan spekulasi pihak luar dan ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS).

“Kejatuhan nilai ringgit bukan kelemahan daripada kita, dan oleh sebab itu kita tidak boleh menerima campur tangan asing dalam urusan dalaman negara,” demikian kata PM mengenai RM.

*TETAPI, lain pula pandangan sesetengah pakar ekonomi mengenai kejatuhan RM. Menurut Prof Jomo Kwame Sundaram, nilai RM akan terus menurun kerana faktor luaran seperti harga minyak global dan kurangnya keyakinan akibat beberapa skandal mega.

Bercakap di luar Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara 2017-2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pakar ekonomi itu menjelaskan:

“Apa yang membimbangkan dalam tempoh satu setengah tahun yang lalu, ringgit telah semakin merosot. Ini bukan semata-mata disebabkan oleh kejatuhan minyak mentah. Terdapat banyak faktor lain di belakangnya, termasuk hilangnya keyakinan terhadap kerajaan...”

Sementara itu laporan Reuters menyebut RM merosot hampir 5 peratus sejak 9 November dan rizab asing negara jatuh sebanyak hampir AS$ 2 bilion dalam tempoh dua minggu lepas.

*AKHIR kalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany memberitahu Dewan Negara bahawa terdapat sejumlah 1,464,702 jawatan kosong sektor awam.

Tambah beliau ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Boon Som Inong, dari jumlah tersebut hanya 1,264,842 jawatan yang telah diisi setakat Oktober tahun ini.

Ertinya ada 199,860 kekosongan lagi yang belum dipenuhi di sektor awam. Tidak pula dijelaskan apakah kekosongan itu tidak diisi kerana tidak ada calon yang layak?

Tidakkah kekosongan begitu banyak tenaga kerja boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan awam? Apakah kekosongan yang tidak diisi itu punca sesetengah perkhidmatan di sektor awam begitu lembap?

 

TOK PERAK