DALAM hal-hal agama, sesetengah orang takut tidak tentu fasal, dan bertindak macam terkena sawan atau tersampuk hantu. Sebab itu mereka menjerit dan merapu yang bukan-bukan.

Contoh terkini ialah tindakan sekumpulan aktivis yang memfailkan tuntutan mahkamah memohon perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah terkenal Zakir Naik.

Antara alasan mereka ialah pendakwa tersebut menyampaikan ceramah yang boleh memberi ancaman terhadap keselamatan negara. Kalau tidak suka dia pun carilah alasan lain yang lebih munasabah.

Pendakwah antarabangsa itu – mempunyai audiens berjuta-juta – hanya bercakap mengenai kebenaran dan kesucian Islam. Apakah itu boleh mengancam keselamatan negara?

Bukalah sedikit minda, dan teliti apa yang dicakapkan oleh Zakir pada siri-siri ceramahnya. Jangan emosi tidak tentu fasal, nanti orang ketawakan kita.

Daripada menentang pendakwah yang menyampaikan kebaikan lebih baik menentang perasuah yang merampas sekian banyak duit kita. Perasuah itulah yang mengancam kestabilan negara.

*PERIHAL kekalutan sesetengah pihak terhadap pendakwah, ia tidak terhad hanya kepada penceramah dari luar negara. Ramai ustaz dan pendakwah dalam negeri pun dikenakan larangan.

Begitu banyak ustaz sendiri yang tidak dibenarkan berceramah dan mengajar agama di negeri-negeri tertentu, atas alasan yang tidak munasabah.

Ustaz dan pendakwah yang wajah dan ceramahnya disiarkan oleh radio dan TV, tidak dibenarkan berceramah di negeri-negeri tertentu. Setiap negeri memilih orang agama untuk berceramah.

Malah, dalam kes ekstrem, beberapa orang Mufti – juga bekas Mufti – dilarang berceramah kerana dikatakan cara mereka berdakwah boleh memecahkan perpaduan umat Islam.

Kalau para ulama dan mufti pun dihalang berdakwah, bagaimana minda masyarakat Islam hendak berkembang?

Kita tidak perlu takut kepada pendakwah Islam; kita patut takut dan selalu berwaspada terhadap pendakwah agama-agama lain yang telah terbukti memesongkan orang Islam.

*MEMANG terasa pelik, kita melarang ustaz dan ulama yang berceramah untuk meningkatkan cara Islam dalam kalangan orang kita. Kita takut pendakwah yang mengajar orang mendekati dan mengamalkan al-Quran dan sunah. Kita takut pada seruan ke jalan ALLAH.

Oleh sebab ketakutan demikian kita melarang ulama dan tok-tok guru agama datang ke tempat kita untuk memberi kuliah agama.

Tetapi kita tidak takut kepada penyebaran dan perkembangan budaya kuning yang terang-terang bercanggah dengan Islam. Kita galakkan lelaki-perempuan menayangkan tubuh, terkinja-kinja di pentas terbuka, bercampur gaul tanpa batasan, dan melakukan sekian banyak maksiat.

Kita biarkan judi, pusat hiburan melampau, rumah urut. Kita biarkan rasuah, penyelewengan, dan seribu satu macam gejala negatif yang terang-terang merosakkan generasi.

Kita tegah orang yang menyeru ke jalan ALLAH, tetapi terus membiarkan seribu satu macam maksiat di keliling kita. Di mana keutamaan kita?

*ADA yang berpendapat bahawa dalam kalangan para agamawan sendiri sering bertelagah dalam isu-isu tertentu. Pertelagahan itu dikhuatiri akan memecahbelahkan orang Islam.

Seperti yang diketahui menerusi riwayat, pertelagahan pendapat telah berlaku sejak dulu lagi. Para sahabat sendiri saling berbeza pandangan mengenai banyak perkara. Tetapi Islam semakin kukuh dan padu ketika itu.

Perbezaan pendapat dialu-alukan, selagi ia dilakukan secara ilmiah dan tidak saling tuduh-menuduh dan menghukum. Sinar Harian mengalu-alukan perbezaan untuk kebaikan.

Ambil contoh isu pindaan Akta 355. Ada perbezaan pandangan yang diluahkan di media sosial antara dalam kalangan agamawan, termasuk pensyarah fekah & usul fiqh, Dr Rozaimi Ramle dengan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Keduanya ada hujah dan fakta. Tidak molek berdebat di media sosial, lebih elok bersemuka di pentas formal.

Sinar Harian bersedia menjadi tuan rumah untuk percambahan ilmu dua agamawan ini. Di pentas terbuka ini mudah-mudahan perbezaan dapat mewujudkan persamaan.

*AKHIR kalam, mengenai kemanisan. Walaupun belum diumumkan secara rasmi, tiba-tiba sahaja banyak kedai dan peruncit menaikkan harga gula pasir, Khamis lalu.

Bahan pemanis itu naik 11 sen, menjadi RM2.95 per kilo. Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng, peningkatan itu 4 peratus sejak pelarasan harga terakhir pada tahun 2013.

Peniaga memang terkesan dengan kenaikan ini. Tetapi janganlah kenaikan 4 peratus ini dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan bergula secara melampau. Gula naik 11 sen sekilo, janganlah teh tarik naik 10 sen segelas!