*BIASANYA hari ulang tahun - tidak kira individu, syarikat, pertubuhan,  NGO  dan sebagainya – akan dirayakan dalam kemeriahan.

Tetapi tidak pada ulang tahun Umno yang ke-72, baru-baru ini. Tidak ada potong kek, tidak ada pulut kuning, tidak ada nyanyian, tidak ada tawa dan gurau senda.

Apa yang ada hanyalah kemuraman pada setiap wajah. Ramai yang membisu dan terkedu dalam sendu... Sebab, hanya beberapa jam sebelum ulang tahun yang sepatutnya disambut gilang-gemilang itu, Umno – parti tersohor dan terhebat – kecundang teruk pada PRU14.

*BAGAIKAN terjaga dari lena dan mimpi indah yang panjang, tiba-tiba sahaja seluruh kepimpinan dan penyokong tegar Umno, tersentak dan terkejut beruk.

Semua bagaikan tidak percaya bahawa parti terbesar orang Melayu itu yang menjadi tonggak kepimpinan negara sejak merdeka, boleh dinyahkan begitu saja.

Parti yang sejak sekian lama diuar-uarkan sebagai pembela bangsa, pejuang Melayu, penerus ketuanan Melayu, boleh ditolak mentah-mentah oleh orang Melayu sendiri.

Nampaknya slogan dan jenama ‘Dulu, Kini & Selamanya’ sudah tidak relevan. Terbukti  kehebatan yang luar biasa itu, mungkin ‘dulu’, tetapi bukan ‘selamanya’.

*KHAIRY Jamaluddin kesal kerana tidak berterus terang dengan Datuk Seri Najib Razak mengenai suara akar umbi parti yang tidak senang dengan beberapa tindakan kepimpinan tertinggi.

“Tidak ada sesiapa, selepas Muhyiddin dikeluarkan, selepas Shafie dikeluarkan...tiada siapa yang mahu mengakui ada masalah. Itu kesilapan besar di pihak kita.

“Adakah ia isyarat? Ya, ada isyarat yang jelas tetapi kita tidak sedar isyarat itu,” kata Ketua Pemuda Umno itu yang dipetik dari Channel News Asia.

Sebenarnya bukan KJ seorang, ramai lagi pemimpin parti yang sedar isyarat tersebut, tetapi tidak berani berterus terang dengan Najib.

Hanya sekarang semua mula sedar, dan kesal bukan kepalang. Tetapi, sepatah kata orang tua-tua ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna...’

*WALAUPUN baru masuk minggu kedua Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, nampak sangat kesungguhan – dan keberanian – untuk membawa perubahan kepada semua.

Beberapa janji yang disenaraikan dalam manifesto menjelang PRU14 dulu mula ditunaikan satu demi satu.

Antaranya melaksanakan tindakan pembersihan ke atas mereka – tanpa mengira bulu – yang terlibat dalam pelbagai penyelewengan dan skandal mega. Siasatan sudah bermula.

GST akan dimansuhkan pada 1 Jun. Semua pihak dulu ketawa dan memperlekeh manifesto untuk menghapuskan cukai berkenaan, sambil menyifatkan janji PH itu hanya khayalan untuk menipu rakyat.

Ternyata apa yang dikatakan khayalan itu akan menjadi kenyataan, tidak lama lagi. Angin perubahan membawa banyak harapan.

*AGAKNYA kerana hembusan angin perubahan, atau mungkin terkena ilmu hitam, ROS yang sebelum ini cukup garang, kini kelihatan semakin lembut dan mesra. Sila ambil perhatian, ROS bukan nama orang, tetapi singkatan Registrar of Society, atau Pendaftar Pertubuhan.

Semua orang tahu kira-kira sebulan menjelang PRU14 ROS telah mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan.

Itu menyebabkan parti bunga pimpinan Tun Dr Mahathir Moha-med itu tidak boleh bertanding menggunakan logonya, terpaksa memakai logo PKR.

Hanya beberapa hari setelah Tun M menjadi Perdana Menteri, pembubaran parti bunga ditarik balik. Bukan itu saja pendaftaran Pakatan Harapan (PH) juga telah diluluskan. PH adalah gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM.

Betullah kata bijak pandai, ‘sekali air bah, sekali pantai berubah.’ Kena tabik spring pada Cik ROS.

*AKHIR kalam, mengenai siasatan skandal 1MDB. Polis setakat ini telah mengambil 72 beg berisi barang kemas dan wang tunai dalam satu pemeriksaan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Turut diambil ialah 284 tas tangan mewah antaranya dari jenama Hermes, Birkin dan Louis Vuitton, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Tidak dinyatakan jumlah wang tunai dan nilai barang kemas dalam 72 beg berkenaan. Tetapi kalau tanya rakyat biasa yang hidup ‘kais pagi, makan pagi’, tentu mereka akan kata nilai rampasan itu mesti terlalu besar, mudah cakap ‘tak habis makan’.

Dan, tidak terfikir bagaimana seorang boleh memiliki 284 tas tangan mewah. Boleh buat butik sendiri, dan boleh masuk dalam Malaysia Book of Records.