*SIAPA agaknya yang memberi cadangan kepada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) supaya syarikat pelaburan negara itu berniaga coli?

Terbukti cadangan bergeliga itu telah menyebab Khazanah rugi hampir RM80 juta, seperti yang didedahkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Kata menteri itu: “Khazanah melabur hampir AS$20 juta melalui sebuah syarikat online retalier, menjual pakaian dalam, baju dalam, bra (coli)... akhirnya pelaburan ini terpaksa di-write-off atau dihapus kira.”

Mantan PM, Datuk Seri Najib Razak membidas Azmin kerana membesar-besarkan kerugian jual coli, “tetapi mengabaikan perolehan Khazanah berbilion-bilion RM menerusi pelbagai pelaburan di seluruh duina, termasuk untung RM6 bilion dari pelaburan dalam syarikat Alibaba.

Tentu sekali rakyat gembira dan mengiktiraf keuntungan yang RM6 bilion itu, tetapi kerugian RM80 juta kena diberitahu. sebab itu pun melibatkan duit rakyat.

Pengajaran dari kerugian ini: syarikat besar seperti Khazanah tidak payah masuk campur dalam perniagaan coli. Biarlah bab seluar dalam, baju dalam dan coli diuruskan oleh peniaga pasar malam...

*ANGGOTA Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkongsi pemerhatiannya menghadiri persidangan parlimen selama menjadi wakil rakyat.

Kata beliau, sesetengah YB dilihat lebih ‘aktif dan segar’ apabila berbahas isu aurat berbanding isu rasuah dan salah guna kuasa.

Contoh, beberapa hari lalu ramai anggota parlimen membangkitkan isumenutup aurat ketika Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia (Anthony Loke) sedang menggulung.

Setengah anggota parlimen (beragama) Islam berbahas, bila isu seperti itu para wakil rakyat parti itu agak aktif dan segar untuk berbahas.

Bagi rakyat @ pengundi, tidak salah YB bersemangat mengenai isu aurat. Tetapi kena bersemangat juga membahaskan isu-isu lain termasuk rasuah, salah guna kuasa, pembaziran dan sebagainya.

*ADA macam-macam jenis perompak, seperti dalam insiden yang dialami seorang guru wanita, di pangsapuri Jalan Tun Abdul Razak di Ipoh, baru-baru ini.

Media melaporkan, seorang lelaki berumur 29 memecah masuk rumah guru berkenaan yang merupakan jirannya, kira-kira 4.45 pagi.

Menurut polis, perompak berkenaan mengacukan pisau ke leher mangsa yang sedang tidur, dan menyumbat kain ke dalam mulutnya.

Suspek kemudian menghentak kepala mangsa dengan kuat sehingga menyebabkannya lemah dan hampir pengsan.

Apa yang pelik ialah setelah merompak mangsa, lelaki berkenaan meletakkan nota memohon maaf atas apa yang telah dilakukan. Walaupun niatnya baik kerana meminta maaf, perompak tetap dikira jahat.

Suspek ditangkap, dan guru tersebut tahu orang yang merompak dan menghentak kepalanya awal subuh itu adalah jirannya sendiri.

*ADA jenis perompak yang amat licik, tidak perlu melakukan kekasaran ke atas mangsa, sebaliknya hanya menggunakan ilmu hitam, seperti pukau, untuk memperdaya mangsa.

Ada pula jenis perompak yang betul-betul profesional, melakukan jenayah tanpa meninggalkan sebarang kesan untuk dijejaki polis.

Malah, ada juga jenis perompak yang tidak perlu menggunakan ilmu hitam, tanpa jampi serapah, tanpa pukau, dan tidak juga menggunakan senjata atau kekasaran.

Perompak janis ini berani melakukan rompakan terbuka, di depan mata. Orang tahu siapa dia, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.

Inilah jenis perompak betul-betul pro. Seyogia diingat, perompak jenis ini semakin banyak di keliling kita.

*SEMASA berkempen untuk PRK Sungai Kandis, Najib menyindir Mohamad Sabu tidak layak menjadi Menteri Pertahanan, “macam kartun.”

Anggota Parlimen Pekan itu juga mempersendakan hobi Mat Sabu yang gemar memasak, “saya dulu pun pernah jadi Menteri Pertahanan, tapi tak cakap hal masak-masak...”

Mengenai kartun, Abang Mat “malas handak komen kecuali jika perkara itu dibangkitkan di Parlimen. Cakap kat tepi jalan saya malas nak layan.”

Mengenai hobi memasak, ini komen Menteri Pertahanan: “Najib boleh mempersenda hobi saya, tetapi saya hendak beri kepastian kepada beliau bahawa saya tidak akan mencuri wang kerajaan.”

*AKHIR kalam, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sudah pergi, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali lagi, maka seluruh rakyat sekarang dalam debaran.

Apakah harga akan turun? Atau, adakah harga tidak berubah? Atau, adakah harga akan menjadi lebih tinggi? Rakyat akan membuat perkiraan dan akan faham sendiri mana lebih bagus: GST atau SST?

TOK PERAK