*ADA yang merajuk, ada yang keluar parti, ada juga yang bertanding untuk melawan tauke.

Demikianlah, setiap kali pilihan raya, dan setelah nama-nama calon diumumkan pasti ada suka dan ada duka. Mereka yang dicalonkan tentu sekali gembira tidak terkira.

Ada pun yang berduka cita lagi bermuram durja ialah mereka yang benar-benar berharap, tetapi tidak dicalonkan.

Dalam nestapa, mereka bernada derhaka: “Aku sudah berjuang keras untuk parti, sudah hidup dan mati untuk parti, mengapa aku diketepi?”

Helo-helo, kalau betul berjuang untuk parti, mengapa menangis apabila tidak tercalon? Nampak sangat berjuang bukan untuk parti, tetapi untuk kerusi. Mana aci!

*ORANG yang hebat lagi bersemangat kental pun tidak dapat menerima hakikat tidak dicalonkan pada PRU14. Contohnya Datuk Mohd Puad Zarkashi yang tercicir dari senarai calon BN.

Beliau pernah menjadi YB Parlimen Batu Pahat, tetapi pada PRU yang lepas ditewaskan oleh calon parti lain, tetapi kekal sebagai ketua bahagian Umno di Batu Pahat.

Setelah tewas Puad diberi jawatan penting sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), sebuah agensi yang mempropagandakan kerajaan dan parti. Beliau berjaya memainkan peranan di agensi tersebut.

Sepanjang di JASA beliau betul-betul berjasa, bekerja keras, berpencak-silat untuk menangkis apa juga serangan terhadap parti dan kerajaan. Akhirnya beliau diketepikan...

Maka tentulah beliau berkecil hati, lalu meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah JASA.

*SEMUA orang, tidak kira dari parti mana, mendakwa diri mereka sebagai calon boleh menang @ winnable candidate.

Merekalah orang terbaik, orang yang boleh menambahkan kerusi parti, baik di Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri.

Mungkin betul mereka calon paling layak. Tetapi itu tidak semestinya mereka terus dicalonkan kali ini.

Sesetengah mereka sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat, kenalah beri peluang kepada orang lain pula. Orang lain pun berkorban dan berjuang untuk parti.

Sekiranya orang lama tidak memberi laluan, bagaimana tokoh muda dalam parti hendak diberi tempat. Perlu diingat orang muda mungkin mempunyai idea yang lebih baik, jadi jangan pinggirkan mereka.

Salah satu cara untuk meremajakan parti ialah dengan memberi peluang kepada calon muda yang berpotensi. Jadi orang lama kenalah berjiwa besar dengan memberi laluan.

Lagi pun tidak menjadi calon bukan bererti hidup sudah berakhir. Jangan asyik merajuk!

*INI berita palsu yang ditularkan di media sosial: Isteri Perdana, Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berbelanja besar menggunakan wang kerajaan, dan kutipan GST RM70.1 juta sehari telah habis dicuri dan tidak dijumpai dalam Perbendaharaan Negara.

Berita palsu dalam bentuk audio yang dikongsi secara meluas menerusi aplikasi pesanan WhatsApp. Pejabat Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar yang tular itu.

Orang ramai diseru membuat penilaian serta semakan sebelum mempercayai berita-berita palsu serta fitnah yang disebarkan demi tujuan peribadi atau politik golongan tidak bertanggungjawab.

Kita sudah luluskan Undang-Undang Antiberita Tidak Benar. Ambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat membuat dan menyebarkan berita palsu mengenai isteri PM itu. Mereka perlu diajar!

*SEPERTI yang diketahui, undang-undang yang baru diwartakan itu memperuntukkan hukuman berat ke atas sesiapa juga yang menyebarkan berita palsu.

Dalam kes fitnah terhadap isteri PM yang ditularkan itu, individu yang terlibat dalam pembuatan dan penyebaran berita palsu itu boleh disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Hukuman jika sabit kesalahan ialah denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Dengan peruntukan hukuman seberat itu pun kita masih tidak takut, dan terus membuat dan menyebarkan berita palsu. Apa nak jadi dengan kita?

*AKHIR kalam, kempen PRU14 semakin panas. Setiap hari ada sahaja ceramah politik di setiap kawasan.

Tidak kira lelaki mahu pun wanita, petugas-petugas parti mula bekerja seawal lepas subuh, dan pulang ke rumah selepas turun embun jantan. Malah ada yang tidak balik langsung.

Inilah masa isteri atau suami perlu banyak bersabar sebab teman tidur mereka asyik bekerja siang malam untuk parti.

Sepanjang berkempen baik suami atau isteri yang ditinggalkan kenalah peluk bantal. Itu pun dikira satu perjuangan!

TOK PERAK