*HANYA tiga hari sahaja lagi sebelum kita meraikan PRU14 pada 9 Mei. Pilihan raya yang dianggap oleh semua orang sebagai paling hebat, paling sengit.

Inilah yang disebut oleh semua pihak – kerajaan, pembangkang, pengundi, dan orang ramai – sebagai ‘ibu segala pilihan raya’.

Inilah juga pilihan raya yang paling berwarna-warni bukan sahaja dari segi poster dan bendera, tetapi juga sekian banyak watak dan wajah yang menjadi tumpuan umum.

Namun, tidak kira warna dan watak, hanya mereka menjadi pemilih berdaftar sahaja yang akan benar-benar menikmati – dan memanfaatkan – peluang yang datang hanya sekali dalam masa lima tahun.

Maka, rugilah mereka yang layak tetapi tidak daftar sebagai pemilih. Kena tunggu lima tahun lagi...

*SETIAP malam, di mana-mana ada sahaja kempen PRU14 yang mengemukakan tokoh-tokoh tertentu lagi popular mewakili parti-parti yang bertanding.

Mereka naik ke pentas, berucap berapi-api, saling berbalas fakta dan angka, saling caci-mencaci, tuduh-menuduh. Ini memang musim orang caci-mencaci.

Tokoh daripada parti A tuduh apa yang dikatakan oleh pihak lawan semuanya penipu, putar alam. Tokoh daripada parti B, C, D juga menuduh parti lawannya cakap bohong, berita palsu.

Maka nampaknya seolah-olah tukang ceramah @ tukang karut, calon dan parti-parti semua penipu, putar alam, pembohong, palsu.

Terpulang kepada pengundi untuk menentukan – dan memangkah – yang mana lebih palsu daripada yang palsu. Dan, pastikan undi anda adalah tulen, tidak palsu.

*SALAH satu yang menjadi bahan setiap ceramah ialah perihal ada parti atau tokoh-tokoh tertentu yang dikatakan menjadi kuda tunggangan untuk menarik pengundi.

Mereka kata tokoh A menjadi kuda tunggangan tokoh B. Ada pula kata tokoh B menjadi kuda tunggangan tokoh A. Parti sekian-sekian menjadi kuda parti sekian-sekian.

Biarlah sesama tokoh atau parti saling menjadi kuda dan rela diperkudakan. Lagi banyak kuda, lagi meriah pilihan raya.

Apa pun perlu diingat kuasa kuda sebenar bukan pada tokoh atau parti. Kuasa kuda sebenar adalah di tangan pengundi.

Satu undi anda akan menentukan kuda mana yang akan memacu negara selepas 9 Mei.

*ADA peraturan baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menimbulkan kemarahan umum.

Ada wajah-wajah tertentu pada poster tiba-tiba dipotong di bahagian wajah, dan dibuang oleh pihak berkuasa sebab dikatakan melanggar undang-undang pilihan raya.

Maka poster yang asalnya cantik terpaksa ditebuk dan berlubang. Tidak pasti apa sebenarnya matlamat peraturan baharu SPR itu.

Pada hemat saya walaupun ditebuk dan dipotong, pengundi masih tahu siapa sebenarnya di sebalik wajah yang dipotong itu. Malah, dengan pemotongan itu pengundi menjadi lebih simpati.

Lagi pun apa kisah wajah pada poster dipotong, sedangkan penyokong masih boleh melihat tokoh berkenaan di media sosial, setiap hari, setiap saat.

 Ini zaman internet, mana ada lagi orang main potong-potong wajah seperti itu!

*SEPERTI PRU-PRU sebelumnya, PRU14 pun ada sahaja kejutan pada saat-saat akhir, bertujuan tak lain tak bukan hendak menjatuhkan calon-calon tertentu.

Beberapa hari lalu tak fasal-fasal seorang lelaki memanggil wartawan ke sebuah hotel di ibu negara untuk mengadakan satu sidang media khas. Lelaki dari Kuala Kedah itu mendakwa dirinya anggota Amanah, menuduh salah seorang pemimpin parti itu berkelakuan sumbang.

Beliau berjanji untuk mendedahkan ‘skandal video seks terbaharu’ yang melibatkan seorang pemimpin parti berkenaan.

Apa sebenarnya tujuan video seks seperti itu didedahkan pada ketika orang hendak mengundi? Usahlah mempromosi benda seks, buatlah benda lain!

*AKHIR kalam, mereka yang mengundi secara pos – anggota tentera, polis dan sebagainya – telah pun lebih awal menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Orang awam pula akan melaksanakan kewajipan penting itu Rabu akan datang. Marilah ramai-ramai kita mengundi.

Tidak kita orang biasa atau anggota beruniform, mengundilah dengan berlapang dada. Tidak kira calon mana yang menjadi pilihan, pangkahlah tanpa sebarang ketakutan.

Ini negara demokrasi, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang kita mengundi siapa sahaja. Mengundi adalah hak setiap mereka yang layak. Tanpa ugutan, tanpa imbuhan.

Selalu ingat, mengundi tanggungjawab semua, dan satu undi boleh mengubah semuanya.

*TOK PERAK