*TABIK saya untuk Datuk Seri Najib Tun Razak yang berazam untuk terus memperkasa bahasa Melayu sehingga mencapai tahap supranasional dan bertaraf universal.

Tegas Perdana Menteri, kerajaan berhasrat untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa utama dan bahasa rasmi Asean serta menjadi salah satu bahasa pengantara utama di peringkat global menjelang tahun 2050 selari dengan dasar TN50.

Kata beliau, seperti yang dilaporkan media: “Saya ingin memberi jaminan bahawa, visi TN50 ini, tidak akan sesekali meminggirkan bahasa Melayu, malah kedudukannya akan terus dimartabatkan dan diangkat tinggi hingga ke persada antarabangsa.”

Meremang bulu roma mendengar kata-kata bersemangat dan berkobar-kobar daripada pimpinan tertinggi negara dan pemimpin tertinggi parti terbesar Melayu @ Umno.

*HARAP-HARAP apa yang dikobar-kobarkan oleh PM dan Presiden Umno jangan hanya seperti kata pepatah ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.’

Memang sedap bercakap mengenai impian bahasa Melayu menjadi bahasa Asean, supranasional, bertaraf universal, persada antarabangsa, dan istilah-istilah hebat lain.

Tetapi, hakikatnya ialah bahasa Melayu sekarang terpinggir di negara sendiri. Jangan kata hendak jadi bahasa Asean, hendak jadi bahasa Kuala Lumpur pun macam tidak terdaya, sebab orang KL lebih suka cakap orang putih.

Mudah bercakap untuk memperkasa bahasa Melayu. Tetapi hakikatnya ialah bahasa itu telah ‘diperkosa’ oleh bahasa Inggeris, bahasa rojak, bahasa siber, dan bahasa-bahasa lain.

Malang sekali apabila yang turut ‘memperkosa’ bahasa Melayu adalah pemimpin Melayu sendiri, yang lebih suka bercakap Inggeris. Hatta, taklimat dan mesyuarat kerajaan pun guna bahasa Inggeris.

Mana-mana pejuang bahasa tidak berani lagi bercakap mengenai memartabatkan bahasa Melayu, sebab semua orang tahu bahasa itu telah ‘dimurtabakkan’ sehingga menjadi cacamerba.

*SAYA tabik spring juga kepada aktor Aaron Aziz yang telah dipilih untuk berlakon dalam filem Tamil, Tik Tik Tik, berganding dengan aktor terkenal Kollywood, Jayam Ravi.

“Vanakam... Saya dan Super Star Tamil Jayam Ravi pada hari pertama penggambaran bersama. Nandri,” kata aktor kacak itu dalam catatan di Instagramnya.

Seperti yang dilaporkan media, catatan di media sosial itu turut disertakan beberapa gambar yang diambil ketika penggambaran di Chennai, India.

Sebelum ini seorang lagi hero kacak kita, Datuk Rosyam Nor telah beraksi dalam satu produksi Kollywood menerusi filem Kabali.

Semoga lepas ini ramai lagi aktor dan aktres kita ditawarkan beraksi di layar perak, bukan sahaja untuk produksi Kollywood, tetapi juga Bollywood, malah Hollywood.

Pendek kata artis kita sudah mampu keluar dari (Taman) Greenwood (Gombak), untuk bermain di persada wood kelas dunia.

*SEPATUTNYA hendak dikuatkuasakan sehari dua lagi. Tetapi sebab banyak sangat flip-flop, flip-flop, cukai pelancongan tidak jadi dilaksanakan@ 1 Ogos.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang mulanya begitu tegas – sehingga terlajak kata dengan Menteri Pelancongan Sarawak, Karim Rahman Hamzah – kedengaran kendur sedikit suaranya.

“Tak jadi laksana 1 Ogos, Perdana Menteri akan umumkan tarikh baru,” kata YB Padang Rengas yang terkenal tidak takut pada siapa pun, ketika menjawab soalan di Parlimen.

Cukai berkenaan diluluskan Parlimen pada sesi yang lepas dan diwartakan pada 21 Jun. Sabah dan Sarawak menentang cukai tersebut, dan meminta dibuat beberapa perubahan sebelum dilaksanakan.

Putrajaya akur dan membuat beberapa perubahan, termasuk – seperti yang diumumkan Nazri – rakyat tempatan dikecualikan dari cukai tersebut. Terima kasih, Nazri. Sekali lagi saya tabik spring!

*AKHIR kalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan sekumpulan Pemuda Umno dan Armada supaya bersikap lebih matang, “jangan jadi macam budak-budak.”

Beliau merujuk kepada insiden kekecohan dekat PWTC yang dicetuskan oleh dua kumpulan berkenaan. Beberapa orang Armada dikatakan datang menghantar jemputan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0, tetapi dihalang oleh Pemuda Umno, dan tercetuslah kekecohan.

Bagi saya kumpulan ‘budak-budak’ itu tengah bersemangat. Budak-budak mana boleh berfikir sangat.

Perangai budak apabila tengah bersemangat mereka buat apa sahaja, termasuk bermain mercun buatan sendiri walaupun tahu boleh memusnahkan jari dan membutakan mata.