KEADAAN memang semakin tegang. Setakat semalam, dua sudah keluar tetapi ada sembilan lagi warganegara kita masih terperangkap di Pyongyang.

Dua orang yang dibenarkan meninggalkan Korea Utara itu ialah rakyat kita yang bertugas dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu; yang masih tidak boleh keluar ialah kakitangan kedutaan kita di sana dan keluarga mereka.

Di Kuala Lumpur pun kita mengambil langkah serupa dengan tidak membenarkan rakyat Korea Utara – bilangannya agak ramai, beratus orang – meninggalkan negara ini.

Seperti yang diberitahu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semua orang kita yang ditahan itu dalam keadaan selamat dan bebas untuk bergerak seperti biasa.

Tetapi, tentu sekali sanak-saudara, khasnya ibu bapa, di sini berasa bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan sembilan orang yang masih berada di bumi asing itu.

Kata PM: “Kita akan teruskan hubungan KL – Pyongyang, dan kita ada cara untuk berunding...” Selain usaha diplomatik oleh kerajaan, saya percaya seluruh rakyat bersimpati dan berdoa kekusutan dapat dileraikan, ketegangan dapat dikendurkan."

*DI dalam negeri pun keadaan tidak kurang tegang. Bukan mengenai Jong-nam, tetapi perihal rasuah. Apa yang selama ini hanya satu persepsi, kini disahkan sebagai realiti. Bahawa rasuah semakin berleluasa dalam kalangan penjawab awam bukan satu tanggapan tetapi satu kenyataan.

“Rasuah penjawat awam, semakin serius,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki. Tambah beliau: “Kita khuatir jumlah ini akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung dari sekarang.”

Katanya, SPRM menetapkan tiga tahun dari sekarang – 2020 – untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa, badan pengawal, pihak berkuasa negeri dan tempatan. Sama-sama kita doakan usaha pembersihan itu akan berjaya!

*BOS SPRM itu memberikan perangkaan sebagai bukti rasuah semakin parah dalam perkhidmatan awam.

Sebanyak 665 kertas siasatan dibuka sepanjang tahun 2016 hingga Februari tahun ini (2017) melibatkan penjawat awam. Dari jumlah tersebut, 548 penjawat awam telah ditangkap dan sebanyak 63 kes dituduh di mahkamah.

Azam menyebut seorang penjawat awam boleh ‘tidur’ bersama wang lebih RM50 juta. Beliau merujuk kepada kes rasuah melibatkan pegawai tertinggi Jabatan Air Sabah yang menyimpan wang tunai dalam almari di rumahnya.

Ini yang orang kata tidur atas duit!

*KETIKA rencana ini sedang ditulis, saya menerima satu berita dari wartawan Sinar Harian di Johor Bahru untuk menguatkan lagi hujah SPRM tentang betapa serius rasuah peringkat atasan.

Menurut berita tersebut, seorang Exco kerajaan negeri Johor ditahan ketika menghadirkan diri untuk soal siasat di pejabat SPRM berhubung skandal hartanah.

Seperti diketahui umum pada 25 Februari lalu, anak Exco itu dan pegawai khas beliau ditahan oleh SPRM berhubung kes menukar status rumah bumiputera kepada bukan bumiputera.

SPRM merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000, juga membekukan 45 akaun bank melibatkan simpanan sekurang-kurangnya RM15.5 juta.

Dia orang sekarang ghairah main juta-juta!

*ADA orang mudah sangat memperoleh RM juta-juta-juta, melalui rasuah. Tetapi bagi rakyat biasa hendak dapat RM1,000 setahun menerusi BR1M pun bukan main susah.

Seperti yang disahkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kira-kira 600,000 permohonan baharu BR1M bagi tahun ini ditolak.

Bukan ditolak kerana pilih kasih @ pilih bulu, tetapi kerana pemohon tidak layak kerana gaji mereka melebihi RM4,000 sebulan.

Kata menteri itu, 260,000 ditolak permohonan sebab bergaji lebih RM5,000 sebulan, 50,000 orang ditolak sebab gaji antara RM6,000 hingga RM8,000. Berbelas ribu lagi pemohon ditolak sebab gaji mereka melebihi RM12,000 sebulan.

Saya sokong bahawa peruntukan BR1M RM700 juta itu patut diberikan kepada banyak yang layak, kepada yang betul-betul miskin. Bukan kepada orang yang sudah bergaji besar. Jangan marah...

*AKHIR kalam, masih mengenai rasuah. Kalau melihat gambar dari SPRM yang disiarkan media, ada berpuluh-puluh beg tangan jenama tersohor yang dirampas dari rumah Exco yang ditahan di Johor Bahru itu.

Tidak payah dijelaskan pun orang tahu beg-beg tangan tersebut tentulah kepunyaan isteri tersayang. Dulu-dulu ada peribahasa ‘sayang isteri tinggal-tinggalkan’. Kini, bagi sesetengah orang yang berpeluang – dan berkesempatan – peribahasa itu boleh ditukar menjadi ‘sayang isteri belikan beg tangan’.

Orang perempuan, tidak kira isteri pegawai tinggi atau isteri kerani biasa, memang suka beg tangan. Satu dua beg tangan tidak mengapa, tetapi kalau berpuluh-puluh beg tangan, mahal-mahal pula, tentu boleh menimbulkan syak dan fitnah.

Sebab itu kalau ada duit pun berpada-padalah dengan beg tangan!