*ADA blogger Umno yang menyifatkan Tan Sri Rais Yatim ‘semakin gila’, dan mencadangkan politikus veteran itu berundur atau dipecat dari parti.

Ini berikutan gesaan Rais agar Majlis Tertinggi parti memohon perisytiharan di mahkamah sama ada parti itu telah melanggar perlembagaannya apabila Umno menangguhkan pemilihannya.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan itu hairan apakah menjadi satu kesalahan baginya kerana memberi pandangan demi kebaikan parti?

Sebagai seorang peguam, Rais bercakap lebih atas aspek undang-undang, tambahan pula apabila mengingat sejarah bahawa parti terbesar orang Melayu itu pernah diharamkan satu ketika dulu.

Tetapi, pada musim seperti sekarang sesetengah orang bercakap dan membuat tuduhan tanpa menoleh sejarah, mungkin juga tidak tahu undang-undang.

Maka Dr Rais tidak perlu berkecil hati apabila dianggap ‘gila’. Lagi pun ini musim pilihan raya, musim orang saling tuduh-menuduh.

*KALAU ikut manifesto pembangkang, banyak yang hendak dihapuskan termasuk GST, tol, dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Maka sesetengah penganalisis ekonomi bertanya, sekiranya semua yang dicukai dan dikutip daripada rakyat hendak dihapuskan, bagaimana kerajaan memperoleh pendapatan?

Bagi Datuk Seri Najib Razak tawaran-tawaran lunak dalam manifesto pembangkang itu nampak seperti polisi ekonomi ‘Pak Pandir’. Kata Najib, ekonomi Pak Pandir bakal membawa kesan buruk kepada negara dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Maka jangan jadi Pak Pandir yang hanya menang sorak – sehingga pakaian terlondeh – tetapi akhirnya kampung tergadai. Dan, jangan juga jadi Lebai Malang.

*PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diumumkan sebagai calon bagi Parlimen Pagoh, kerusi yang telah dipegang sejak sekian lama. Maka tamatlah spekulasi dan ramalan ahlul nujum sebelum ini bahawa Muhyiddin takut bertanding di Pagoh, dan akan lari ke Parlimen Muar.

Selain mempertahankan parlimen berkenaan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga akan bertanding bagi kerusi Dewan Negeri Gambir. Pengerusi Bersatu Tun Mahathir Mohamed yang membuat pengumuman tersebut memberitahu partinya akan bertanding di 10 Parlimen dan 18 Dun di Johor.

Antara calon lain ialah Setiausaha parti, Datuk Osman Sapian (Kempas), Datuk Dr Shahrudin Mat Salleh (Sri Gading), Dr Mazlee Malek (Simpang Renggam) dan Karmaine Sardini (Pontian). Umum kini menunggu siapakah yang akan dicalonkan oleh PKR, DAP dan lain-lain komponen Pakatan Harapan di Johor. Maka Johor semakin menjadi tumpuan pada PRU14.

*MASIH mengenai PRU14, sana-sini masih orang bersosek-sosek, dan mempertikai kenapa SPR menetapkan 9 Mei (Rabu) sebagai tarikh mengundi. Dia orang kata kenapa tidak tetapkan mengundi pada hari cuti umum Sabtu atau Ahad? Apakah ada udang sebalik batu?

Walaupun kerajaan telah mengumumkan 9 Mei sebagai cuti umum seluruh negara, masih ramai yang tidak puas hati, dan berkata “mesti ada apa-apa...” Seyogia diingat ini bukan kali pertama Malaysia mengundi pada hari kerja. Beberapa pilihan raya sebelum ini pun kita pernah memangkah pada hari kerja.

Tidak kira ada udang sebalik batu, atau ada apa-apa, apa yang penting kita mesti ada rasa tanggungjawab untuk mengundi. Jangan jadikan hari kerja sebagai alasan untuk tidak memangkah. Jom!

*BN menafikan gambar tular sekotak wang yang didakwa ditemui bersama suatu kemalangan yang dikatakan membabitkan pemimpin Umno Semporna di Sabah.

“Tular dalam aplikasi sembang WhatsApp dan Facebook kononnya seorang ahli politik Barisan Nasional Sabah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia.

“Turut disebarkan adalah gambar sekotak wang yang kononnya ditemui bersamanya ketika kemalangan tersebut,” kata kenyataan di Barisannasional.org.my

Laman web rasmi BN itu juga menjelaskan kemalangan tersebut tidak membabitkan pemimpin Umno Semporna, dan tidak ditemui kotak yang berisi wang seperti ditularkan.Kotak berisi wang itu adalah gambar berbeza dalam kes wang palsu yang berlaku pada Februari 2018 lalu.

Pendek kata musim pilihan raya seperti sekarang sesetengah pihak menjadi terlajak kreatif dengan memutar belit fakta untuk mengelirukan pengundi.

*AKHIR kalam, perihal kotak berisi duit yang tular itu, sudah sah satu berita palsu. Walau kreatif macam mana pun yang auta tetap auta. Maka pihak berkuasa perlu menyiasat benda ini di bawah Undang-Undang Antiberita Tidak Benar yang baru-baru ini diwartakan.

Buktikan ketegasan kita. Penyebar berita palsu perlu dikenakan tindakan. Kalau tidak tegas, tidak ada maknanya undang-undang baharu itu.

*TOK PERAK