*POKOK dari Brazil itu namanya Ceiba Chodatii, atau disebut sebagai ‘benang sutera’. Konon, tumbuhan itu hendak dijadikan mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus, di Negeri Penyu.

Melihat gambarnya, memang pohon import itu luar biasa. Bagi sesetengah orang seni, bentuk batang bahagian bawah seakan-akan labu sayong dari negeri Perak.

Bagi orang yang terlebih seni pula, mereka melihat bentuk punggung wanita. Almaklumlah, namanya pun macam perempuan, Ceiba Chodatii, walaupun perkataan ‘ceiba’ itu bagi sesetengah kaum tidak berapa sedap bunyinya.

Ada yang bertanya, mengapa batang import itu hendak dijadikan mercu tanda bandar kita? Apakah batang kita tidak sesuai sebagai mercu tanda?

*ADA pun yang menjadi isu bukanlah bentuk labu sayung atau punggung wanita. Apa yang lebih menusuk perasaan sesetengah orang ialah harganya yang tidak berapa sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang.

Seperti yang dilaporkan media, batang Brazil itu berharga RM180,000. Kalau ambil pokok kita – beringin, merbau, keruing, waimma ketapang sekali pun – tidak perlulah belanja RM180,000. Duit itu mungkin boleh buat benda lain yang lebih menguntungkan rakyat.

Itu pandangan logik sesetengah pihak. Tak boleh komen panjang, nanti kena saman.

*APA pun, menurut menteri besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, belanja membeli, membawa pulang dan menanam Ceiba itu tidak menggunakan duit kerajaan.

Malah, penanaman pokok itu juga tidak termasuk dalam kontrak pembangunan dan landskap Bandar Baharu Kuala Nerus. Jadi tidak timbul isu pembaziran di pihak kerajaan.

Alkisah, Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab Hamid Md Daud pula berkata, pembelian pokok dari Brazil itu ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor utama projek berkenaan.

Ertinya pembelian batang luar negara itu adalah derma ikhlas daripada pihak kontraktor, terima kasih. Demikian adanya...

*ADA kebimbangan sesetengah pihak terhadap cakap-cakap kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengadakan persetujuan dengan DAP untuk menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kepada parti tersebut.

“Perkembangan terbaharu ini sememangnya mengejutkan,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Tambah beliau, Pas sama ada melalui Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, belum membuat apa-apa keputusan untuk bekerjasama dengan Bersatu.

Sebelum ini pun kita telah mendengar macam-macam cerita mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya sekutu pembangkang memenangi PRU14. Parti mana jadi menteri itu, parti mana jadi menteri ini.

Parti-parti pembangkang sepatutnya beri tumpuan penuh kepada perpaduan dan kerjasama sesama mereka. Kalau semua sudah padu baru bincang strategi menghadapi PRU14.

Soal siapa jadi PM, TPM dan lain-lain portfolio tidak perlu sebut pun. Sekarang masa untuk bersatu padu, bukan untuk berebut jawatan.

*AKHIR kalam, saya ucap tahniah kepada Said Imaddudeen, 29, jejaka Melayu tampan yang berjaya memikat hati seorang gadis Turki, Ayse Karateke, 21.

Melihat gambarnya yang disiarkan Sinar Harian, gadis dari Istanbul itu bukan sahaja manis, tetapi tinggi lampai, berhidung mancung, putih melepak, hmmm.

Alkisah, bermula dengan perkenalan pada 2008, pasangan ini melalui detik-detik manis sepanjang percintaan – Cinta Dua Benua – dan selamat diijabkabulkan pada Ogos 2015.

Ada pun rahsia Said untuk memikat hati orang Turki itu ialah tutur bahasa yang lemah lembut, dan bersopan santun.

Sebenarnya saya pun selama ini sudah baik tutur bahasa, sudah cukup bersopan santun. Saya sudah ke Istanbul dua tiga kali, memang mengakui dan selalu terpikat dengan keayuan gadis dan wanita di sana.

Tetapi saya sahaja yang terpikat pada mereka, pada hal mereka tidak pandang saya pun! Sekali lagi tahniah pada Abang Said...