*SETINGGI-TINGGI kesyukuran atas segala rahmat dan nikmati yang dilimpahi ALLAH; rakyat mendapat payung baharu untuk bernaung bagi tempoh lima tahun akan datang, insya-ALLAH.

Seperti yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Pelantikan itu berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Semoga negara dan rakyat terus aman, makmur dan gemilang di bawah naungan baginda. Daulat Tuanku!

*SEKALI lagi penyapu dijadikan hadiah! Sekumpulan kira-kira 10 orang dari Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Rabu lalu menghadiahkan sebatang penyapu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Jurucakap kumpulan itu, Aminah Abdullah berkata hadiah istimewa itu adalah sebagai lambang supaya Lim membersihkan diri daripada dakwaan rasuah sebelum sibuk dengan perhimpunan BERSIH 5 pada bulan depan.

Saya sokong gesaan mana-mana pihak supaya sesiapa sahaja yang terlibat dengan tuduhan rasuah patut berusaha membersihkan diri. Tetapi memberi penyapu bukanlah cara terbaik menyedarkan perasuah.

Lagi pun bagi orang Melayu tidak baik @ kurang sopan menjadikan penyapu sebagai pemberian. Itu satu tindakan tidak mulia oleh sebuah NGO yang menamakan diri sebagai Persatuan Kebajikan Insan Mulia.

*JIKA NGO Insan Mulia betul-betul berniat mulia lagi berani dan prihatin sepatutnya banyak lagi penyapu dihadiahkan kepada sekian ramai individu yang terlibat dengan tuduhan rasuah.

Seperti yang diketahui umum, dari Perlis hingga ke Sabah ada banyak tuduhan rasuah yang telah dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Daripada orang biasa hingga orang bergelar, semua terlibat dengan rasuah.

Malah baru-baru ini pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi awam di Negeri Bawah Bayu disoal siasat oleh SPRM gara-gara penemuan wang tunai lebih RM50 juta di dalam rumah beliau.

Apa kata Puan Aminah dari Insan Mulia berkunjung ke Sabah untuk menghadiahkan penyapu kepada pengarah dan timbalan pengarah berkenaan?

*BERCAKAP fasal penyapu teringat saya satu ketika dulu seorang menteri besar sebuah negeri telah menghadiahkan penyapu kepada seorang pegawai atasan sebuah agensi pihak berkuasa tempatan.

Hadiah itu adalah simbol kelemahan pegawai berkenaan atas kegagalannya mewujudkan kebersihan di kawasan di bawah kendalian PBT. Hadiah itu konon untuk mengajar pegawai tersebut. Ini sesuatu yang mengaibkan.

Terbukti kemudian, yang teraib bukan pegawai awam berkenaan, tetapi pemberi penyapu itu sendiri. Seperti yang diketahui semua orang, selepas pilihan raya umum beliau hilang jawatan menteri besar.

Lebih aib lagi mantan MB yang juga pemberi penyapu itu akhirnya didapati bersalah kerana terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa. Jangan main-main dengan penyapu!

*TIDAK kira apa kedudukan dan jawatan, kalau lemah semangat kita memang boleh ditundukkan dengan rasuah. Malah, pegawai tertinggi yang diamanahkan menegakkan undang-undang pun sentiasa cuba dirasuah.

Seperti kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan beliau pun pernah ditawarkan habuan lumayan sekiranya memejamkan mata dan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas aktiviti jenayah.

“Ketika berkuasa, sindiket tawarkan saya RM2 juta setiap bulan untuk membenarkan mereka menjalankan aktiviti perjudian, pelacuran, dadah dan pinjaman wang haram tanpa pemeriksaan,” katanya seperti yang disiarkan media.

Beliau tidak termakan umpan penjenayah. Semasa khidmat beliau sebagai orang No.1 di Bukit Aman beberapa ketua samseng dan kongsi gelap berprofil tinggi berjaya ditangkap.

Harap-harap seluruh anggota pasukan polis kita – dari pangkat paling rendah hingga pangkat paling tinggi – bertegas dan berjiwa mulia seperti Musa Hassan. Amin!

*AKHIR kalam, seperti yang dilaporkan media, tauke kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman @ Dr Vida yang popular dengan slogan ‘Barulah Putih’, kini menjual nasi lemak pula, yang dipromokan sebagai ‘Nasi Lemak Pink’.

“Siapa yang nak rasa nasi lemak saya, yang kebetulan lalu di simpang 3 Janda Baik, boleh singgah beli…” katanya di laman Instagram. Saya belum berpeluang dan ingin mencuba ‘Nasi Lemak Pink’ di Janda Baik. Tetapi saya sudah rasa ‘Nasi Lemak Anak Dara’ di Shah Alam. Hmmm...

 

TOK PERAK