*TIDAK habis-habis terbongkar kes kementerian seleweng duit rakyat! Terkini RM1.5 bilion didakwa diselewengkan oleh Kementerian Kemajuan Luar dan Wilayah (KKLW).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehari dua ini sibuk menahan dan menyiasat mereka yang disyaki terlibat dalam skandal mega di kementerian berkenaan.

Agensi bebas itu mengumumkan RM1.5 bilion diselewengkan dari keseluruhan peruntukan kemen-terian antara 2009 hingga 2015, berjumlah RM7.5 bilion.

Menurut SPRM lagi, peruntukan tersebut adalah bagi 350 projek pembangunan, termasuk bekalan air dan elektrik serta jalan raya yang diberikan kepada 60 syarikat.

Dulu-dulu orang main rasuah setakat RM ribu-ribu, kemudian meningkat jadi RM puluh-puluh ribu, naik lagi jadi ratus-ratus ribu. Dari RM ratus-ratus ribu, meningkat pula jadi RM juta-juta, puluh-puluh juta, ratus-ratus juta. Sejak akhir-akhir ini sudah mula main RM bilion-bilion. Hebat!

*KENAPA hanya siasat KKLW? Itulah pertanyaan daripada Datuk Seri Shafie Apdal.

Kalau nak tahu, Shafie ialah menteri yang bertanggungjawab sepanjang tempoh 2009 hingga 2015 itu. Beliau digugurkan daripada Kabinet pada Julai 2015.

 Menurut Shafie semasa memegang jawatan dulu, kemen-teriannya sudah lulus ujian prestasi Unit Pengurusan Prestasi Pelak-sanaan (Pemandu).

“Kenapa hanya siasat KKLW?” bekas menteri asal Sabah itu bertanya dalam satu interviu khas dengan portal berita The Malaysian Insight.

Saya tidak pasti kepada siapa pertanyaan itu ditujukan. Apakah kepada SPRM? Atau kepada PM? Apa pun, pada hemat saya, ada dua kemungkinan mengapa hanya KKLW disiasat:

Pertama, sebab kepada sese-tengah pihak, MP dari Semporna itu sudah tidak sempurna, sekali gus tidak berapa afdal lagi sebagai kawan. Kedua, sebab kementerian-kementerian lain semua bersih!

*BERMULA tahun depan hanya satu buku kerja dibenarkan bagi setiap pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) untuk murid tahun empat hingga tahun enam.

Kata Timbalan Menteri Pendi-dikan Datuk Chong Sin Woon, ada aduan terlalu banyak buku kerja yang hendak dibeli, sedangkan buku kerja hanyalah tambahan kepada buku teks yang ditetapkan kementerian.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 jelas menyebut perkara ini, tetapi ibu bapa masih diminta oleh pengetua atau guru besar supaya membeli lebih dari satu buku kerja.

Pelik juga kenapa pihak sekolah tidak mematuhi pekeliling tersebut, dan paksa murid beli sekian banyak buku tambahan. Ada apa-apa ke?

*SEBENARNYA buku teks sudah memadai. Tetapi sebulan dua sebelum sesi baharu pihak sekolah telah mengedarkan sekian banyak buku kerja yang dicadangkan @ dipaksa ke atas murid.

Sekiranya setiap subjek satu buku kerja, lima subjek lima buku kerja. Bayangkan sekiranya dica-dangkan satu subjek tiga buku kerja, ada 15 buku kerja, tambah lima buku teks (wajib) seorang murid ada 20 buku.

Kemudian ada sekian banyak buku dan benda-benda lain – kotak pensel, alat tulis, buku tulis, bekas air dan bekal – yang diisi dalam beg sekolah setiap hari.

Sebab itu murid terpaksa menggalas dan mengheret beg besar lagi berat, macam peserta dalam program Akademi Fantasia TV.

*SAYA kagum dengan kegigihan dan keazaman seorang nenek berusia 73 tahun yang baru-baru ini mendapat lesen memandu, setelah lulus ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Fatimah Hassan dari Kuala Nerus, Terengganu gagal dalam ujian pertamanya pada 4 Oktober, tetapi atas galakan anak-anak, mencuba sekali lagi, dan lulus. Maka warga emas itu kini boleh memandu kereta!

Berbeza di Arab Saudi, kerajaan baru meluluskan undang-undang membenarkan kaum wanita memandu mulai tahun depan. Itu pun sudah ada lelaki membatalkan perkahwinan gara-gara gadis yang hendak dikahwini itu bertegas untuk memandu.

*AKHIR kalam, kalau mengikut kata Datuk Seri Mahdzir Khalid, Kementerian Pendidikan tidak menghalang mana-mana guru menyokong mana-mana parti politik, termasuk parti pembangkang.

Bernama memetik menteri itu sebagai berkata: “Ini kerana kerajaan mengamalkan sistem demokrasi dan semua rakyat termasuk guru berhak untuk membuat pilihan.”

Agaknya Mahdzir tidak tahu – atau buat-buat tidak tahu! – bahawa sebelum ini ada guru yang ditukarkan ke tempat terpencil gara-gara menyokong parti pembangkang.

Harap-harap menteri itu bercakap benar, mengenai demok-rasi, dan selepas ini tidak ada mana-mana cikgu ditukar kerana menyokong parti bukan BN...