*DULU-DULU dapat duit raya 10 sen, sudah dikira hebat. Kalau dapat RM1 boleh bersorak keliling kampung, tidak ternilai besarnya.

Sekarang budak-budak kita tidak hairan 10 sen, RM1 pun mereka malas hendak pandang. Sebab mereka harap kalau duit raya paling koman pun RM5; kalau RM10 atau RM50 lagi sedap.

Tidak kira budak-budak atau orang tua, orang sekarang suka main RM besar-besar. Mereka cakap RM1,000, RM10,000, RM100,000. Mereka cakap RM1,000,000, puluh-puluh juta RM, ratus-ratus juta RM. Mereka cakap RM1 bilion, RM2.6 bilion, semua bilion-bilion.

Sekarang, setelah bilion sana, bilion sini, bilion atas, bilion bawah, rakyat Malaysia mula terdengar RM1 trilion...

*ORANG bertanya, berapa besar RM1 trilion? Ramai tidak pasti berapa sifar ada dalam 1 trilion. Kalau 1,000 ada tiga sifar, sejuta ada enam sifar.

Trilion mesti lebih sifar, lebih dari bilion. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pun tidak cakap berapa sifar ada dalam satu trilion.

Beliau Cuma kata: “Sekalipun kita membayar RM1 juta setiap hari, kita masih memerlukan 2,740 tahun untuk membayar RM1 trilion.” Begitulah banyaknya!

Malang sekali, RM1 trilion itu bukanlah duit raya, tetapi jumlah hutang dan tanggungan negara yang dikesan oleh pentadbiran baharu Pakatan Harapan. Apa sudah jadi selama ini?

*CAKAP fasal RM bilion-bilion, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mencari Jho Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil.

Seperti dilaporkan media waran tangkap telah dikeluarkan kepada kedua individu berkenaan supaya tampil membantu siasatan kes berkaitan SRC International yang dikaitkan dengan isu 1MDB.

Dua nama ini sudah banyak kali disebut sebelum ini, tetapi tidak ada sebarang tindakan. Malah selalu ditegaskan Jho Low tidak terlibat dalam skandal mega itu.

Keadaan berubah sekarang, orang yang selama ini hilang dan mendiamkan diri, akan tampil untuk menceritakan yang benar. Maka ramailah yang gelisah sakan kini!

*ADA laporan kononnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak telah meninggalkan Barisan Nasional (BN). Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, laporan adalah di luar pengetahuan beliau.

Zahid menegaskan beliau tidak bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang merupakan Presiden PBB, dan merayu supaya parti itu tidak meninggalkan BN sebagaimana dilaporkan.

Sama ada berita itu betul atau tidak bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Almaklumlah dalam keadaan BN yang terumbang ambing sekarang, ramai yang tidak sudah bersekongkol dengannya lagi.

Biasalah, kapal besar sudah bocor dan menanti masa untuk karam, maka anak-anak kapal berterabur dan lintang-pukang menyelamatkan diri,

*KHAIRY Jamaluddin mengakui peruntukan RM100,000 diberikan kerajaan PH untuk wakil rakyat pembangkang lebih baik daripada yang diamalkan kerajaan terdahulu.

Ketua Pemuda Umno yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata sewaktu BN memerintah, tiada sebarang peruntukan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peruntukan tahunan berjumlah RM500,000 kepada kerusi Parlimen yang dimenangi Harapan dan RM100,000 kepada kawasan BN.

Memanglah wakil PH dapat RM500,000, wakil BN dapat lebih kecil, hanya RM100,000. Lebih baik dapat sedikit, daripada tidak dapat langsung...

*TERKINI mengenai pemilihan Umno hujung bulan ini, ramai muka lama dan muka baharu menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan parti.

Tidak ketinggalan menawarkan diri ialah Pengerusi Biro IT dan Media Sosial Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, untuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

Ahli Parlimen Pontian itu yakin dengan pengalaman yang ada, ahli parti akan memberinya peluang untuk terus menyumbang pada parti.

Bukan sahaja pengalaman, Datuk Seri yang seorang ini juga selalu pintar, malah pernah satu ketika dulu menjadi sangat popular kerana kenyataan-kenyataannya mengenai GST. Jom ramai-ramai pakat sokong dia!

*AKHIR kalam, masih mengenai Umno. Tun M memberitahu Dr Zahid Hamidi bahawa Umno sudah hancur, tiada masa depan lagi. Kata Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Umno, parti Melayu itu telah mengkhianati bangsa Melayu, oleh sebab itu Melayu sendiri jijik pada parti itu.

Masihkah Dr Zahid berminat – dan bersemangat – untuk bertanding kerusi presiden parti nazak itu?