*PERIHAL Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion, menurut Perkasa upacara pecah tanah projek berkenaan di Kuantan baru-baru ini telah menghilangkan identiti Malaysia.

“Nampak sangat macam majlis China,” kata Setiausaha Agung NGO Melayu itu, Syed Hassan Syed Ali, sambil menyebut semua panji-panji di sepanjang jalan ke tapak tersebut dalam bahasa Mandarin, tidak ada sepatah pun cakap Melayu.

Tambahnya, majlis yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak memegang prinsip kenegaraan, tidak patriotisme dan bersifat pro-China.

Tetapi Ketua Pemuda Umno Pahang Shahar Abdullah menyangkal dakwaan Syed Hassan dengan berkata, PM berucap dalam bahasa Melayu, doa dalam bahasa Melayu dan persembahan pentas menunjukkan identiti budaya Malaysia, di mana penyambut tetamu juga berpakaian kebaya.

Saya tidak berada pada majlis tersebut, tetapi melihat gambar dalam media, memang nampak semuanya macam China. Janganlah kerana RM55 bilion identiti Malaysia pun hendak digadaikan.

*KATA empunya cerita, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dikatakan menyerbu sebuah syarikat milik salah seorang anak lelaki Tun Dr Mahathir Mohamad.

Portal Malaysiakini memetik satu sumber yang menyebut adalah dipercayai syarikat berkenaan kepunyaan Datuk Mokhzani, yang tahun ini disenaraikan dalam majalah Forbes, menduduki tempat ke-34 di antara 50 rakyat Malaysia terkaya.

Serbuan itu berlaku selepas gesaan daripada beberapa menteri Umno seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz bagi menyiasat kekayaan keluarga Mahathir.

Maka YB Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah: “Kenapa LHDN hanya siasat anak Tun M, tetapi tidak siasat anak mantan-mantan PM yang lain?”

Katanya lagi, kenapa tidak siasat kekayaan Reza Aziz @ anak tiri Datuk Seri Najib Razak yang terkenal seluruh dunia setelah dikatakan terlibat bersama Jho Low dalam skandal 1MDB? Agaknya siapa boleh jawab soalan Raja Bahrin itu?

*MASIH mengenai kekayaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ia tidak boleh memulakan siasatan ke atas kekayaan Mahathir dan Zahid kerana tiada laporan dibuat. Gesaan untuk menyiasat keluarga Mahathir semakin meningkat selepas bekas perdana menteri itu mendakwa Zahid gagal memberikan jawapan jelas mengenai RM230 juta dalam akaun banknya ketika mengisytiharkan harta kepadanya pada tahun 1996.

Seperti yang dilaporkan media, Zahid berkata, beliau sanggup disiasat, dan mendakwa kekayaannya dikumpulkan semasa berada di sektor korporat. Berikutan itu, Pemuda DAP memfailkan laporan kepada SPRM untuk menyiasat tuduhan terhadap Zahid.

Kini laporan telah dibuat, dan yang empunya diri pun telah menyatakan kesediaan untuk disiasat. Maka terpulang kepada SPRM untuk bertindak.

*SEDIKIT mengenai pemimpin dan artis wanita. Seperti yang dilaporkan media, supremo DAP Lim Kit Siang mengakui bahawa dirinya tidak mengenali penyanyi R&B, Rihanna.

Beliau berkata demikian selepas wujudnya kain rentang di kawasan Parlimennya Gelang Patang yang bertulis: “Sorry, Uncle Kit Siang, we are not Rihanna, we don’t love the way you lied” (Minta maaf pakcik Kit Siang, kami bukan Rihanna, kami tidak suka cara anda menipu).

Love The Way You Lied merupakan tajuk lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi rap Eminem bersama Rihanna.

Dalam satu kenyataan Lim berkata: "Saya perlu mengaku bahawa saya tidak tahu siapa Rihanna ketika saya mula-mula nampak perkataan itu (pada kain rentang).”

Pada hemat saya, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya YB berkenaan tahu atau mengenali Rihanna. Adalah perkara biasa sekiranya mana-mana pemimpin atau orang politik meminati mana-mana artis. Apa salahnya jika pemimpin kita meminati Siti Nurhaliza, Neelofa, Yuna, Erra Fazira, hatta Rihanna?

Ada pun yang menjadi kesalahan ialah sekiranya pemimpin itu terlalu minat pada seseorang artis, sehingga mengganggu fikiran dan hidup menjadi tidak keruan...

*AKHIR kalam, tiga angka satu @ 111. Itulah matlamat pencapaian emas kita pada Sukan Sea ke-29 yang akan berlangsung 19 – 30 Ogos nanti. Ini diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut menteri berkenaan Malaysia pernah merangkul jumlah tersebut – 111 emas – ketika kita menjadi tuan rumah sukan berkenaan pada 2001. Itulah pertama kali kita menjadi juara keseluruhan sejak sukan tersebut dimulakan pada 1959.

Pada 2001 kita merangkul 111 emas daripada 391 acara dari 32 jenis sukan yang dipertandingkan. Tahun ini kita sekali lagi menjadi tuan rumah dengan 405 acara dari 38 jenis sukan.

Beri sokongan kepada pasukan kita untuk merangkul tiga angka satu. Majulah sukan untuk negara!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • *TIDAK habis-habis terbongkar kes kementerian seleweng duit rakyat! Terkini RM1.5 bilion didakwa diselewengkan oleh Kementerian Kemajuan Luar dan Wilayah (KKLW).
  • *ADA orang mudah sangat buat duit. Mereka berani secara terang-terangan – dan tanpa sedikit pun rasa malu – 'sakau' duit rakyat, bukan RM puluh ribu, tetapi puluh juta.
  • *TRAGEDI berdarah itu sudah lebih tiga dekad berlalu. Kecuali yang terlibat secara langsung, rata-rata rakyat negara ini sudah melupakannya.
  • *RAMAI yang mengucap syabas sambil tabik spring kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atas ketegasan menangkap dan menyiasat kaki rasuah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.