*SEHINGGA semalam beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalan raya bandar-bandar utama di Amerika Syarikat, membantah pemilihan Donald Trump sebagai presiden.

Seperti yang dilaporkan agensi-agensi berita antarabangsa – juga media seluruh dunia – penunjuk perasaan menjeritkan slogan “bukan presiden saya!”

Laksawan (bilionair) yang sepanjang kempen dilihat sebagai anti-Islam itu menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-45 selepas berjaya mengalahkan Hillary Clinton dengan memperoleh 276 undi.

Maka umat Islam seluruh dunia bimbang sikap Trump yang anti-Islam. Apa peliknya? Sebenarnya bukan Trump sahaja yang anti Islam. Presiden-presiden Amerika sebelum ini tidak ada yang betul-betul pro-Islam.

Pendek kata siapa sahaja yang menjadi presiden di negara itu, Amerika tetap Amerika. Itulah hakikat yang umat Islam kena terima. Tidak perlu buat solat hajat.

*TENTU sekali Trump melihat dan mendengar bantahan rakyat yang menjerit “bukan presiden saya!” Dan, tentu sekali juga Trump buat ‘dhek’, malah terus ketawa sambil goyang-goyang punggung, dan berkata “ada aku kisah!”

Rakyat terus menunjuk perasaan sebagai protes. Di New York, beribu-ribu penduduk berarak ke Trump Tower, membidas dasar Trump mengenai imigresen, hak gay dan hak reproduktif.

Di Chicago, orang ramai menyekat pintu masuk ke Menara Trump, melaungkan: “No Trump, No KKK, No Fasis USA”. Sementara itu, perhimpunan besar-besaran anti-Trump  menutup lebuh raya utama di Los Angeles.

Di Portland, Oregon, penunjuk perasaan menutup sementara lebuh raya antara negeri. Demonstrasi juga berlaku di Philadelphia, Boston, Seattle dan San Francisco.

Maka, sesetengah orang di Kuala Lumpur bertanya: “Penunjuk perasaan di Amerika Syarikat itu dapat permit polis ke?”

*TRUMP hingga saat ini ditentang hebat oleh penunjuk perasaan di negaranya. Tetapi tidak ramai orang luar Amerika berani menyuarakan tentangan dan kebencian terhadap bakal presiden itu.

Malaysia sendiri siang-siang telah menyatakan setia kawan dengan polis dunia itu. Seperti yang dinyatakan oleh PM Datuk Seri Najib Razak: “Malaysia akan sentiasa menganggap Amerika Syarikat sebagai rakan terutamanya dalam perkongsian ekonomi dan memerangi ekstremisme serta keganasan.”

Walaupun baru bersalam erat dengan pemimpin negara China, kita akan teruskan hubungan ekonomi dengan Amerika.

Seperti yang dilaporkan Bernama, lawatan rasmi ketiga Najib ke China minggu lepas melakar pencapaian bersejarah dengan pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.

Pendek kata, China, China juga, tetapi Amerika tetap Amerika.

*KATA Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, PRU14 merupakan pilihan raya paling sengit dalam sejarah Umno dan bakal menentukan kelangsungan parti itu sebagai parti pemerintah.

Naib Presiden Umno itu menambah, parti itu perlu bersedia menghadapi persaingan bagi mengelak nasib parti pemerintah seperti parti Golkar di Indonesia, Kongres (India), Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun dan Kuomintang di Taiwan yang kalah dalam pilihan raya.

Katanya, seperti yang dilaporkan media, pandangannya itu bukan untuk menakut-nakutkan anggota Umno tetapi hanya memberi gambaran sebenar dan realiti yang harus diterima oleh parti itu.

Itu kata pimpinan tertinggi Umno, tetapi banyak lagi orang parti itu, termasuk sesetengah ketua bahagian dan anggota MT masih dalam keadaan selesa, masih terus dengan sikap dan perangai lama. Mereka masih dalam zon selesa dan seperti tidak melihat apa yang berlaku di keliling mereka.

*SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia menahan seorang Pengarah Urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipercayai telah menyalahgunakan kuasanya dan menerima rasuah.

Suspek berusia 56 tahun itu dipercayai telah menerima suapan daripada beberapa kontraktor sebagai habuan membenarkan mereka meneruskan projek walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.

Setakat ini SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM30,000 dan dua buah kereta jenis Audi TT, Toyota Hilux dan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek, dan telah membekukan akaun bank berjumlah RM2.5 juta.

Suspek juga memiliki sembilan buah rumah bernilai RM8 juta yang dipercayai telah dibeli kesemuanya dengan tunai.

Dulu-dulu berita ini dianggap luar biasa. Sekarang ini sudah jadi benda biasa. Hidup 1Malaysia!

*AKHIR kalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali masih berbalas-balas pantun dengan bekas MB Tan Sri Khalid Ibrahim. Masing-masing saling tuduh-menuduh mengenai isu air.

Tidak pasti siapa yang menang dalam berbalas pantun ini. Apa yang pasti masalah air tidak selesai, dan rakyat terus menderita...

 

TOK PERAK