*BERITA baik, apa yang disebut dan dikempenkan sebagai maqasid syariah beberapa tahun dulu ternyata memberi kesan yang amat positif.

Seperti yang diumumkan, skor keseluruhan Indeks Syariah Malaysia bagi 2017 untuk menilai prestasi pentadbiran negara daripada perspektif maqasid syariah adalah sebanyak 76.06 peratus.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, angka itu meningkat 0.64 peratus berbanding 75.42 peratus pada 2015. Skor fasa kedua itu mencatatkan peningkatan yang amat ketara dalam empat bidang iaitu kesihatan, prasarana dan persekitaran, ekonomi dan sosial.

Pencapaian empat bidang lain iaitu pendidikan, politik, perundangan dan budaya pula masih berada di tahap yang memberangsangkan.

“Alhamdulillah, ini adalah satu pencapaian yang kita harapkan,” tambah Perdana Menteri.

*KES pembelian hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC), kini semakin panas, sekali gus semakin menaikkan darah.

SPRM setakat ini telah menangkap empat individu, termasuk tiga pengarah syarikat berusia 47 hingga 57 tahun, bagi membantu siasatan mengenai kontroversi hotel yang dibeli pada kos melebihi harga pasaran.

Termasuk yang ditahan untuk siasatan ialah Muhammad Zahid Md Arip, 51, bekas pegawai khas kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Sebelum ini beberapa individu juga telah ditangkap untuk siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di London bernilai lebih RM300 juta.

Harap-harap yang telah ditangkap dan telah disiasat segera dibawa ke muka pengadilan. Umum ingin mengetahui apakah mereka betul-betul terlibat dalam skandal mega yang memalukan itu.

Individu-individu ini dan banyak lagi adalah kaki-kaki busuk yang mengotorkan skor maqasid syariah. Kalau tidak ada rasuah dan skandal mega, skor kita mungkin jauh lebih tinggi dari 76.06 peratus.

*ADA pun wanita yang banyak duit, atau terlebih duit, pasti menggilai – dan dengan megah akan membeli – beg tangan Louis Vuitton.

Hatta, wanita yang tidak mampu pun selalu juga teringat dan bermimpi memiliki produk tersohor yang biasa disebut LV itu. Jenama itu adalah lambang status.

Jangan terkejut sekiranya tidak lama lagi LV akan menjadi ‘DSV-LV’. Ada pun DSV itu adalah Datuk Seri Vida, jutawan kosmetik yang luar biasa dan selalu bercita-cita besar.

Seperti yang dilaporkan media, Vida atau nama penuhnya, Dr Hasmiza Othman sedang berunding dengan pemilik LV untuk satu kolaborasi, dan mencadangkan nama beg tangan baru nanti DSV-LV.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan LV di Paris, dan produk DSV-LV ini akan ditawarkan pada harga antara RM8,000–RM11,000 sebuah,” kata Dr Vida.

Syabas kepada Dr Vida. Barulah putih!

*ALKISAH, Dr Vida semenjak dua menjak ini semakin menjadi tumpuan dan percakapan dalam kalangan lelaki. Seperti diakui oleh yang empunya tubuh, sejak hidup bersendiri beberapa bulan lalu, ramai jejaka menyatakan hasrat hati terhadapnya.

“Dalam banyak-banyak resume, ada yang dari Finland dan Scotland. Tapi saya tak tengok pun lagi, takut nanti terjatuh cinta,” katanya berseloroh kepada portal Projek MMO.

Ada pun antara jejaka yang menaruh hati terhadap jutawan kosmetik itu ialah sensasi internet, Abdul Rani Kulup, yang selalu berkaca mata hitam dan menggelar dirinya ‘ayah’.

“Ayah boleh menjadi suami yang baik,” kata Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu. Malah, kalau ada kesempatan ‘ayah’ hendak berduet dengan Dr Vida.

Syabas kepada ‘ayah’ yang secara jujur berani menyatakan hasratnya. Saya percaya bukan ‘ayah’ sahaja tetapi ramai lagi yang berhasrat terhadap Dr Vida. Malah saya pun teringin juga.

Cuma persoalannya ialah: Adakah Dr Vida ada hati terhadap kita?

*AKHIR kalam, masih mengenai LV. Kata Dr Vida, dia minat gila terhadap kecantikan dan fesyen, terutama beg tangan. Setiap kali ke luar negara dia pasti akan membeli beg tangan bergengsi, kadang-kadang 14 beg sekali gus.

Maka teringat saya Imelda Marcos, isteri bekas Presiden Filipina, yang diingati seluruh dunia kerana rekod memiliki beratus beg tangan jenama terkenal, termasuk LV.

Dalam hal beg tangan LV, saya harap Dr Vida jangan memecahkan rekod Imelda. Berilah peluang memecah rekod Imelda itu kepada wanita lain.

* TOK PERAK