SEPERTI yang dilaporkan media, negara kehilangan kutipan cukai berjumlah RM2.5 bilion kerana pemalsuan dokumen yang dilakukan oleh ejen perkapalan sepanjang tiga tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, barangan yang sepatutnya dikenakan cukai telah diisytiharkan sebagai produk tidak bercukai.

Tahun ini sahaja sejumlah RM1.06 bilion tidak dapat dikutip kerana pemalsuan dokumen, dengan barangan bernilai RM73 juta diseludupkan ke negara ini.

Oleh sebab ada pihak yang pintar memalsukan dokumen dan pihak berkuasa amat tidak bijak mengesan pemalsuan – kita ketirisan RM2.5 bilion...

*SELAIN penipuan dalam bentuk cukai, ada sekian banyak putar belit dan songlap pihak-pihak tertentu, yang menyebabkan keti-risan demi ketirisan berlaku.

Ada skandal mega yang menyebabkan berbilion RM lesap – atau sengaja dilesapkan dalam sedar.

Ada sekian banyak kaki sakau yang menibai RM ratus-ratus juta duit rakyat, menerusi rasuah, salah guna kuasa, penipuan dan macam-macam penyelewengan.

Hatta, ada si bijak pandai yang melesapkan duit RM juta-juta dengan bermain silap mata – kalah David Copperfield! – seperti pen-jualan tanah Felda di Jalan Semarak Kuala Lumpur.

Pendek kata bagi yang pandai, mudah sangat buat duit berguni-guni dalam sekelip mata. Sedangkan rakyat jelata terus merintih kerana duit yang ciput terus menciput dan menciput lagi, setiap hari.

*SEPERTI yang telah dibuktikan, orang yang bijak dan otak bergeliga akan melakukan penipuan dalam pelbagai cara, termasuk yang ada kaitan dengan agama.

Ada yang menipu dalam pakej umrah. Seperti yang dilaporkan media 453 jemaah umrah terkandas di Arab Saudi, gara-gara ejen gagal melangsaikan kos penerbangan.

Seperti yang dilaporkan, syarikat berkenaan menawarkan pakej umrah serendah RM3,800 seorang, sedangkan harga sebenar sepatutnya RM6,800.

Jemaah terpesona dengan tawaran tersebut kerana pihak syarikat menggunakan nama seorang agamawan @ ustaz @ penceramah terkenal yang dikatakan menjadi penaja pakej.

Oleh sebab teruja dengan pakej termurah, ada pula jaminan daripada seorang penceramah, akhirnya jemaah menjadi mangsa dan terkandas, kesian!

Perihal jemaah diperdaya bukanlah sesuatu yang baharu; sebelum ini pun sudah kerap kali kita mendengar kes penipuan umrah. Tetapi sesetengah orang kita selalu merelakan diri untuk ditipu.

Maka si penipu ala-ala David Copperfield biasanya terlepas begitu sahaja. Dan mereka akan terus bermain silap mata...

*KERETA polis pun kena kunci tayar! Ini bukan silap mata, tetapi sesuatu yang terjadi di hadapan mata, di Putrajaya @ Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Seperti yang tular di media sosial, sebuah kereta peronda polis dikunci tayar kerana memarkir di kawasan larangan, iaitu  di bahu jalan di hadapan bangunan Menara Usahawan, Presint 2.

Seperti yang dilaporkan ken-deraan berkenaan hanya dilepaskan setelah pemiliknya – tentulah anggota polis! – membayar denda.

Seorang   anggota   penguat kuasa Perbadanan Putrajaya ke-mudian memberitahu media, tindakan mengunci tayar kenderaan polis itu adalah untuk membuktikan tidak ada pilih kasih atau double standard dalam penguatkuasaan undang-undang.

“Kita hanya melakukan tugas seperti yang ditetapkan,” kata anggota penguat kuasa berkenaan. Syabas!

*SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai tarikh pembubaran Parlimen dan hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata apa yang tular dalam media sosial itu tidak benar.

“Hak membubarkan Parlimen adalah bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.”

Sebenarnya, kalau tidak tular pun, semua orang telah membuat pelbagai spekulasi, ramalan, dan macam-macam teori mengenai tarikh PRU14.

Tetapi kalau tanya David Copperfield pun pasti dia tidak dapat mengagak bila tarikh mengundi. Lebih-lebih pun pakar silap mata dunia itu hanya berani kata “tungguuu...”

Maka semakin berdebar dan gelisahlah semua orang, terutama mereka yang berangan hendak menjadi calon YB.

*AKHIR kalam, walaupun jumlah penganggur di negara kita telah mencecah 600,000 orang, namun majoritinya masih tidak berminat menceburi bidang-bidang kerja berat seperti yang dilakukan pekerja warga asing.

Kata Pengarah Eksekutif Per-sekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, antara bidang kerja yang kerap dilakukan pekerja asing ialah sektor pembinaan.

Sektor pembinaan menawarkan gaji antara RM1,500 dan RM2,000, kira okey.

Tetapi penganggur kita, termasuk yang berijazah, tidak sudi menjadi pekerja binaan. Agaknya semua hendak menjadi David Copperfield!

TOK PERAK