PEMANDUAN sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur tenang dan lancar. Baik ketika pulang ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur menjelang Syawal, mahu pun ketika balik semula ke ibu negara selepas raya, semua tenang dan nyaman.

Tidak timbul cerita orang histeria dalam kereta akibat tersangkut kesesakan lalu lintas selama lebih 12 jam. Juga tidak terdengar kisah orang terkencing dalam kenderaan yang terperangkap dalam macet.

Memang perjalanan dari KL tersangkut dari Tol Gombak hingga Tol Karak – kira-kira dua jam – tetapi selepas itu semuanya lancar dan lega hingga ke Kuala Terengganu. Terima kasih kerana ada LPT dan LPT2.

Pemandu pun nampaknya berhati-hati sekali ketika di belakang setering. Mungkin mereka takut dengan cerita-cerita kononnya LPT2 berhantu. Mungkin juga mereka lebih berhati-hati sebab bimbang penguatkuasaan sistem Kejara. Syabas kepada pemandu berhemah.

SEPERTI yang ditegaskan oleh PM Datuk Seri Najib Razak, kita beruntung dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan aman dan haromoni. Meski dilanda kemelut ekonomi raya disambut meriah sana-sini.

Ada benarnya kata-kata PM. Di negara lain ramai umat Islam beraya dalam air mata. Ada yang kehilangan orang tersayang akibat serangan penebom berani mati. Ada yang dilanda perang sepanjang masa. Ada juga yang dilanda musibah seperti banjir, gempa dan sebagainya.

Di tempat kita sana-sini ada keriangan, sana-sini ada kekenyangan. Meski harga barang naik, orang kita tetap dengan pesta makan-makan merayakan hari kemenangan ini. Sana-sini orang bermakan-makan, dan berhilai-tawa.

Kalau ada yang menangis dan cedera tangan atau hancur jari-jemari, itu bukan kerana letupan bom, tetapi kerana terlalu gembira hingga lupa diri ketika asyik bermain mercun. Kita cedera sebab mercun, orang di negara lain mati kerana bom dan peluru.

BERCAKAP fasal mercun, setiap musim perayaan kita dengar kisah sedih orang cedera dan luka akibat bermain mercun. Ada yang terlantar di hospital, ada yang hilang jadi.

Semua orang tahu mercun telah diharamkan sejak sekian lama. Hairannya sana-sini orang membakar mercun secara terbuka, sama seperti membakar sate atau membakar lemang. Pagi petang siang malam dum sana dum sini.

Mereka berani bermain benda haram sebab tahu pihak berkuasa tidak akan ambil tindakan. Sama juga halnya dengan orang yang mengedar dan menjual mercun. Mereka menjual mercun di bazar Ramadan, tidak ada orang tangkap.

Jual benda haram orang tidak tangkap. Beli benda haram tidak ada sebarang tindakan. Main benda haram pun tidak ada orang tangkap. Agaknya orang kita memang suka benda haram. Mereka mencabar undang-undang, tetapi tidak ada orang ambil kisah. Jadi teruslah bermain mercun, tanpa was-was!

ADA satu yang baik ketika orang bercakap mengenai ekonomi yang merudum. Walaupun nilainya rendah, Ringgit Malaysia @ RM tidaklah tercorot dan terus meleset.

Malah ada tanda-tanda RM semakin pulih. Menurut Bloomberg, RM adalah mata wang Asia paling kukuh, meningkat lebih dua kali ganda pada suku tahun ini berbanding mata wang terbaik seterusnya - Renminbi China.

Menurut Bloomberg, kedudukan RM yang memberangsangkan itu – walaupun di tengah kemelut 1MDB dan lain-lain skandal – mendorong kepada spekulasi bahawa pilihan raya awal bakal diadakan.

“Peralihan ketara itu bermakna bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dilanda serangan politik dan protes sejak 2015, atas tuduhan berkaitan 1MDB mungkin mengadakan pilihan raya awal untuk kukuhkan kuasa beliau,” kata laporan itu.

Apa-apa pun keputusan untuk mengadakan PRU masih di tangan PM. Jadi jancan cepat berangan-angan untuk menjadi calon dan bergelar YB.

DALAM pada itu ada juga fitnah terhadap PM. Seperti yang tersebar di media sosial ada tohmahan PM telah menempah 41 bilik super mewah untuk percutiannya di Bali, Indonesia.

Konon Najib menempah 41 bilik president suite dengan harga RM35,163 masing-masing, menjadikan jumlah selama lima hari percutian tersebut RM7.2 juta.

Sebuah blog pro-Umno menyebut kerajaan berulang kali menyeru orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mempercayai maklumat diedar di media sosial.

Harap-harap selepas ini tidak ada pula pihak tampil dengan menyertakan bil hotel dan lain dokumen sah mengenai percutian tersebut. Harap-harap yang menular di mesia sosial itu benar-benar fitnah.

AKHIR kalam, lagi berita tidak baik. Sistem peralatan radar tentera bernilai jutaan ringgit yang dalam transit ke Belanda dilapor hilang di pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Seperti yang dilaporkan akhbar The Star, barangan dalam transit dari Australia itu ditahan oleh Jabatan Kastam sementara menunggu dokumen yang diperlukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Menurut laporan, peralatan ketenteraan berteknologi tinggi berkenaan tiba bulan lalu dalam satu kontena tanpa kelulusan yang diperlukan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010.

Peralatan radar berkenaan seharusnya mendapat permit khas dari Miti dan Jabatan Kastam untuk berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas sebelum boleh dibawa ke Belanda.

Pelik bin ajaib, peralatan tercanggih lagi berukuran besar itu boleh hilang tanpa dapat dikesan. Sahlah radar kita belum cukup canggih untuk kesan radar hilang...