SEPERTI dilaporkan dan dihebohkan – tiga daripada empat parti komponen Pakatan Harapan bersetuju untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Mereka juga bersetuju supaya Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun persetujuan berkenaan setakat semalam belum 100 peratus sepakat, sebab salah satu parti komponen – PKR – tidak menyatakan persetujuan.

Maka timbul tanda tanya, mengapa PKR belum menyatakan persetujuan? Apakah PKR ada calon lain yang dirasakan lebih layak untuk menjadi orang No.1?

Sekiranya PKR pula mencalonkan nama lain, apakah tiga parti lain akan bersetuju? Silap-silap gaya Harapan boleh berpecah hanya gara-gara calon perdana menteri.

Ada baiknya buat masa ini kukuhkan dulu perpaduan parti, mantapkan mana-mana yang longgar, dan pastikan dulu semua jentera OK. Pastikan dulu menang dalam PRU14.

Parlimen belum bubar, tarikh PRU14 pun belum diumumkan, kenapa sibuk sangat hendak mencari calon perdana menteri?

*DALAM pada itu. Tun M membayangkan yang beliau hanya akan menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan hanya jika mendapat persetujuan kesemua parti komponen.

“Saya akan ikut keputusan kesemua empat parti,” katanya pada sidang media di Putrajaya baru-baru ini.

Mantan PM itu bagaimanapun mendakwa, seperti yang dilaporkan media, tidak tahu sama ada PKR masih tidak bersetuju dengan cadangan itu, dan sebabnya. Kalau semua setuju pun belum masanya lagi untuk bercita-cita menjadi PM. Menang dulu dalam PRU14, kemudian baru bincang siapa paling sesuai mengetuai Putrajaya.

*MEMANG tidak salah berbincang dan mengatur si fulan sekian-sekian akan menjawat kedudukan sekian-sekian. Perancangan seperti ini patut diatur sejak awal.

Tidak sahaja Pakatan Harapan, parti-parti lain juga pasti sudah mempunyai senarai cadangan nama-nama yang akan memegang jawatan-jawatan penting sekiranya menang PRU14.

Malah, bagi mana-mana juga parti yang yakin dan bercita-cita besar, bukan pelik sekiranya mereka telah menyenaraikan Kabinet bayangan. Cuma, janganlah cadangan dan bayangan itu diumumkan sebagai satu kemegahan. Sepatutnya rahsiakan perkara-perkara itu, untuk pengetahuan pemimpin peringkat tertinggi sahaja.

Tunjukkan dulu kerja keras, keikhlasan dan kesungguhan membantu rakyat, dekati pengundi. Kalau belum apa-apa sudah nampak seperti berebut jawatan, rakyat pun akan hilang keyakinan.

Pendek kata, biar menang dulu baru bercakap. Takut cakap berdegar-degar, selepas mengundi nanti, ‘habuk pun tarak’.

*PERIHAL cakap berdegar-degar ini, teringat saya seorang teman – kami menggelarnya ‘Mat Bush Jacket’. Beliau seorang ahli parti, gigih dan rapat dengan pemimpin.

Yakin benar dia akan dinamakan sebagai salah seorang calon partinya untuk PRU13. Ke mana dia pergi, dan berjumpa dengan sesiapa sahaja, akan diberitahu dia pasti menjadi calon. Begitu yakin dia berkata: “Calon Dun sudah pasti, kalau nasib baik boleh bertanding Parlimen!” Ramai pemimpin kanan parti pun menjangka Mat akan dicalonkan. Dia menempah dua pasang bush jacket yang akan dipakai sebagai YB.

Tetapi, namanya tidak naik pada hari penamaan calon. Oleh sebab terlalu yakin, dia kempunan untuk bergelar YB. Sampai sekarang tidak seorang pun teman-teman berani bertanya apa jadi pada bush jacket yang dua pasang itu...

*LARI daripada isu PRU14, kita bercakap fasal bahasa. Seperti yang dilaporkan media, satu notis yang dikeluarkan Pusat Penerangan Pelancongan Perak menjadi tular beberapa hari lalu.

Ada pun notis tersebut tidak ada apa pun yang luar biasa, hanya pemberitahuan bahawa pejabat akan ditutup sementara selama dua hari.

Apa yang luar biasa sehingga tular – dan dikecam umum, termasuk oleh pemimpin politik – notis tersebut dibuat dalam bahasa Inggeris yang entah apa-apa. Inilah bunyi notis berkenaan: “Sorry for the complementary, we are closing for the temporary, Saturday 30/12/2017 and Sunday, 31/12/2017 because we had an unexpected problem within with our networking and air conditioner issue. We are sure that we are been operated on 2nd Jan 2018. Tq.”

Memalukan! Demikian kesimpulan daripada sekian banyak kritikan oleh warga siber, juga oleh beberapa pemimpin parti politik, termasuk dari BN. Mereka bertanya siapa yang bertanggungjawab dalam pengeluaran notis berkenaan?

Apakah tidak ada sesiapa yang boleh berbahasa Inggeris di pejabat berkenaan? Apakah tidak ada semakan sebelum notis itu dipasang?

Soalan saya: Mengapa perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk notis tersebut? Kenapa tidak menggunakan bahasa Melayu?

*AKHIR kalam, belum lewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018. Secara peribadi salah satu nikmat yang saya rasakan mulai tengah malam tahun baharu ialah penutupan Tol Batu Tiga Shah Alam.

Ertinya saya tidak lagi membayar RM1.10 setiap kali melalui tol berkenaan untuk datang ke pejabat setiap pagi, dan balik rumah setiap petang. Selamat RM2.20 sehari!

TOK PERAK