*SEMUA orang bersetuju bahawa ros adalah bunga cinta. Tidak kira apa warnanya – merah, putih, ungu – inilah bunga yang selalu menghangatkan mereka yang sedang asyik ‘di alam percintaan’ atau disebut juga ‘DAP’.

Namun bukan semua ros disenangi pasangan ‘DAP’, lebih-lebih lagi sekiranya singkatan D.A.P itu bukan bererti ‘di alam percintaan’, tetapi Democratic Action Party, sebuah pertubuhan politik.

Dan ‘ros’ bukan sekuntum bunga, tetapi singkatan dalam bahasa Inggeris untuk Pendaftar Pertubuhan atau ‘ROS’.

*TIDAK tahu siapa yang betul. ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC yang baharu bagi memilih 20 anggotanya yang sah dan diiktiraf.

Tetapi, Setiausaha Agung Lim Guan Eng menegaskan tidak akan mengadakan pemilihan semula dengan alasan parti itu telah berbuat demikian pada 29 September 2013.

Dalam pada itu, ketua biro guaman parti berkenaan, Gobind Singh Deo masih menunggu surat arahan resmi daripada ROS, sebab tanpa surat resmi pemilihan semula parti tidak boleh dilakukan.

Ada yang bertanya, setelah empat tahun pemilihan CEC, mengapa baru sekarang dibangkitkan isu bahawa pemilihan dulu tidak sah?

Maka sesetengah pihak cepat membuat kesimpulan dan mengandaikan  ini satu lagi tanda-tanda PRU14 semakin hampir.

*TIDAK kira siapa betul siapa salah, isu  CEC yang melanda DAP diperhatikan dengan asyik sekali oleh parti-parti lain, termasuk Umno yang sejak dulu musuh ketat parti pembangkang itu.

Awal-awal Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti roket itu perlu mematuhi arahan ROS jika tidak, ada kemungkinan DAP tidak boleh meletakkan calon dalam PRU14.

Zahid bagaimana pun mene-gaskan beliau tidak campur tangan langsung dalam isu ROS dan DAP, “itu adalah urusan Pendaftar Pertubuhan dengan parti berkenaan, saya tidak masuk campur.”

Sebagai naib presiden parti terbesar Melayu, memang Zahid tidak boleh campur tangan. Tetapi, seyogia diingat Zahid ialah Timbalan Perdana Menteri, juga Menteri Dalam Negeri. Dan, ROS adalah di bawah kementerian berkenaan.

Jadi, macam-macam andaian – dan tohmahan – orang boleh buat. Andaian dan tohmahan tidak semestinya benar. Tetapi tidak semestinya juga tidak benar.

*MAHKAMAH di Singapura menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan @ empat tahun setengah, ke atas Yeo Jiawei, setelah bekas pegawai bank itu mengaku bersalah atau tuduhan pengubahan wang haram yang dikait dengan 1MDB.

Ini adalah lanjutan dari pada beberapa tindakan mahkamah sebelum ini ke atas beberapa pihak yang didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan yang dikaitkan dengan 1MDB.

Seperti  dilaporkan media selu-ruh dunia, sebelum ini mahkamah di republik itu telah mengenakan denda berjumlah S$29.1 ke atas lapan buah bank sebagai sebahagian siasatan ke atas 1MDB.

Malah dua bank - BSI dan Falcon Private Bank Ltd – telah diperintahkan menghentikan operasi di republik tersebut, berikutan siasatan dan pembongkaran penyelewengan yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tetapi di Malaysia, negara tuan punya 1MDB yang penuh kontroversi itu, setakat ini nampak tenang-tenang sahaja, macam tidak ada apa-apa. Semua masih boleh senyum-senyum.

Walaupun Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bertindak ke atas kita, dan seorang menteri telah dengan sengaja mengesahkan siapa yang dimaksudkan ‘MO1’, semua macam buat ‘dhek’.

Pagi-petang, siang-malam seluruh alam orang bercakap mengenai apa yang disebut skandal terbesar – dan beberapa negara telah dilibatkan – di sini semua okey sahaja.

Dan, ramai kata apa didakwa DOJ itu hanyalah mengarut sebab tiada sebarang bukti kukuh. Malah, ada yang yakin semua ini adalah satu konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak. Harap-harap DOJ betul-betul mengarut...

*AKHIR kalam, tiada hari berlalu tanpa berita rasuah. Terkini SPRM menyiasat beberapa individu berikutan tangkapan dua beranak yang juga pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdec).

Seperti dilaporkan media, dua beranak tersebut disyaki memin-dahkan RM4 juta wang milik pusat itu ke akaun syarikat milik mereka.

Antara yang dipanggil memberi keterangan setakat ini ialah anggota lembaga pengarah Misdec, pegawai Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) Melaka dan saksi dalam kalangan orang awam.

Sesetengah orang mudah betul buat duit. Sakau duit dari mana-mana pertubuhan atau agensi dan masukkan dalam akaun peribadi, jadi duit sendiri.