* SEHARI dua ini ada pau paling hangat di KL. Bukan pau kaya, bukan pau daging, tidak juga pau kacang, tetapi PAU 2016. Itulah Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung di PWTC.

Seperti yang dijangka, persidangan kali ini meniupkan siren atau pukulan gendang Pilihan Raya Umum Ke-14. Maka PAU PRU14 tentulah lebih diminati daripada pau kacang, pau kaya, atau pau-pau lain.

Ada orang suka pau, tetapi lebih ramai yang suka pada ‘ang pau’ @ sampul surat berisi duit. Tahun ini tidak ada pemilihan PAU, maka tidaklah ada ang pau...

* SEPANJANG lima hari, baik siren yang ditiup atau gendang perang yang dipalu betul-betul menggamatkan Dewan Merdeka PWTC, gelanggang para pemimpin Melayu berucap dan berdebat.

Ketika membuka PAU, Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak bergendang hebat dengan menakutkan pengundi, khasnya Melayu, supaya jangan memangkah calon DAP.

Kata beliau, banyak hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera akan pupus sekiranya DAP berkuasa.

Tambah beliau: “Kalaulah orang Melayu dan Bumiputera mengetahui mimpi ngeri yang bakal melanda hidup mereka, saya yakin mereka akan berpaut seteguh-teguhnya kepada Umno.”

Itulah harapan Presiden pada PRU14 nanti.

* TIDAK sahaja daripada Presiden, kalau dengar siren dan gendang daripada perwakilan, semuanya hebat-hebat dan penuh semangat, seolah-olah PRU14 akan diadakan esok atau lusa.

Antara perkara dibangkitkan seiring dengan gendang perang itu termasuklah permintaan supaya bilangan calon wanita ditambah, sebab wanita berperanan besar dalam mana-mana pilihan raya.

Turut juga diingatkan ialah calon-calon bidan terjun tidak diambil, sebab ramai lagi calon yang layak diberi peluang baik pada peringkat bahagian mahu pun cawangan.

Seperti biasa, ketika berucap ramai perwakilan bernada melobi - menerusi puji-pujian, sanjung-sanjungan, bodek-bodekan untuk menonjolkan diri sebagai calon boleh menang. Ramai betul winnable candidate.

* KETUA Pemuda, Khairy Jamaluddin turut bergendang. Tetapi bunyi gendangnya sedikit berbeza. Anggota Parlimen Rembau itu mengingatkan ahli parti supaya jangan memandang rendah terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mendedahkan cerita-cerita yang berkumandang mengenai pimpinan Bersatu yang mengarahkan penyokongnya dalam Umno untuk kekal bersama parti itu bagi mengejutkan Umno dengan serangan hendap apabila pilihan raya umum diadakan.

“Umno dan Bersatu mungkin berkongsi penyokong, justeru, kesetiaan yang terbahagi itu adalah sesuatu yang membimbangkan,” tambah beliau.

Menurut KJ, Bersatu tidak akan bertanding di kawasan-kawasan seperti Lembah Pantai, Kuantan atau Seremban. Mereka akan menyerang kawasan deposit tetap Umno seperti Muar, Langkawi, mungkin juga Rembau.

Selama ini semua orang Umno, termasuk kepimpinan tertinggi, memperlekeh Bersatu dan menganggap parti baharu itu tidak langsung memberi kesan kepada Umno. Cuma KJ yang sedar Bersatu bukan sembarangan parti.

* SEPERTI dilaporkan, sebanyak 2,643 perwakilan dari seluruh negara menghadiri perhimpunan agung kali ini. Ada yang datang untuk betul-betul mendengar pembahas dengan isi-isi bernas.

Ada yang datang hanya untuk bersuka-suka dapat penginapan percuma, makan percuma. Ada juga mengambil kesempatan untuk membeli beraneka barangan yang dijual sepanjang PAU.

Di dewan persidangan, ada perwakilan yang tidur kerana bosan gelagat sesetengah pendebat bercakap entah apa-apa. Asyik saling memuji dan mendewa-dewakan pucuk pimpinan, macam tidak ada benda lain yang lebih baik hendak dicakapkan.

Ada juga pembahas yang sudah berkali-kali hadir PAU tetapi masih bercakap merapu dan berlawak bodoh untuk membuat perwakilan ketawa. Ada yang berpantun seloka, macam tidak ada apa-apa yang berlaku.

Ketika orang Melayu merintih dengan pelbagai tekanan hidup, perwakilan parti terus bodek-membodek pemimpin, berpantun seloka dan berlawak bodoh. Sedarlah kita dalam bahaya, parti kita semakin lemah...

* AKHIR kalam, seperti dilaporkan media, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli meneruskan tradisi tahunan mengisytiharkan hartanya, baru-baru ini.

Beliau memberitahu jumlah aset bersihnya menurun lebih RM600,000 sejak kali terakhir perisytiharan dibuatnya pada tahun 2015. Jumlah aset bersihnya pada tahun 2015 adalah RM1,564,407 yang turun kepada RM953,021 tahun ini.

Katanya kepada media, penyumbang terbesar penurunan ketara ini, apabila beliau mengeluarkan sebahagian besar wang dari akaun Lembaga Tabung Haji, yang dilakukan secara berperingkat mulai April tahun ini.

Ada sesiapa lagi yang hendak isytiharkan harta, dan mengumumkannya kepada media? Rakyat hendak tahu siapa antara wakil mereka yang paling banyak harta!