SETAKAT kelmarin – Khamis – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ternyata tidak sebulu dengan Presiden AS, Donald Trump.

Perhimpunan pertubuhan tersebut di New York mendesak Trump menarik balik keputusan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pada pengundian yang dijalankan, 128 negara anggota – termasuk Malaysia – menyokong desakan tersebut, sembilan menentang, dan 35 tidak mengundi.

Jika Trump menghormati pendirian PBB, beliau sepatutnya mengalah dengan apa yang telah diputuskan oleh badan dunia itu.

TETAPI, seluruh dunia tahu Trump bukan jenis manusia yang mudah mengalah. Semua orang tahu dia ego, bongkak, kepala batu, kaki busuk, haprak.

Orang tolak, orang caci, maki-hamun, sumpah-seranah, dia tetap buat muka toya, selamba, buat ‘dhek’. Pendek kata, apa pun orang kata, dia tetap dengan ‘muka sposen’.

Sebenarnya, lagi dia bermuka sposen, lagi orang seluruh dunia, khasnya umat Islam, marah berapi terhadapnya. Lagi orang marah berapi, lagi Trump suka.

Memang, di atas kertas PBB telah menyatakan rasa tidak sebulu @ meluat terhadap Trump. Tetapi, percayalah, si bongkak itu tidak akan berganjak dari keputusannya.

Maka adakah mana-mana bomoh, dukun, pakar santau, ahli tuju-tuju dan lain-lain pengamal ilmu hitam di tempat kita yang boleh mengajar Trump? Sumpah, ini bukan satu gurauan.

WALAUPUN ada ugutan untuk menghentikan bantuan kepada negara-negara yang menentang usaha AS, Malaysia tegas dengan pendirian protes terhadap Trump berhubung isu Baitulmaqdis.

Selain menyertai bersama 128 negara anggota yang tidak setuju di PBB, rakyat Malaysia tanpa mengira agama, suku kamu dan pegangan politik secara terbuka mengadakan protes di dalam negara.

Minggu lalu beribu orang menyertai tunjuk perasaan di hada-pan Kedutaan AS di Kuala Lumpur. Semalam beribu-ribu lagi berkumpul di Masjid Putera, Putrajaya dalam ‘Perhimpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis’.

Kalau tidak mendengar PBB, harap-harap Trump dan konco-konconya di seluruh dunia melihat, mendengar dan memberi perhatian terhadap tentangan negara kecil seperti Malaysia!

KATA Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Malaysia tidak akan terjejas dengan ‘ugutan’ AS untuk menghentikan bantuan kepada negara-negara yang menentang berhubung isu Baitulmaqdis.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini kerana kita tidak disifatkan sebagai penerima bantuan penuh daripada AS, sebaliknya “kita juga memberi.”

Seperti yang diketahui Malaysia merupakan antara pihak yang sering menghulurkan pertolongan kepada negara-negara luar yang memerlukan.

Tegas Zahid, seperti yang dilaporkan media: “Pendirian Malaysia tidak akan berganjak daripada terus menyokong hak Palestin terhadap Baitulmaqdis!”  Trump jangan buat-buat tak dengar pula!

KETEPIKAN isu Baitulmaqdis, kita cakap pula isu RM90.10. Bagi sesetengah orang RM90 bukanlah besar sangat, tak sampai pun RM100.

Tetapi bagi sesetengah orang, RM90 itu besar. Boleh makan sekeluarga selama seminggu, lauk ikan kembung dan sayur kangkung.

Dan kalau seorang bayar RM90, kalau seribu orang, jadi RM90,000. Kalau 100,000 orang? Kalau 500,000 orang? Kira sendiri, berjuta lemon!

Adapun bayaran RM90.10 seorang itu hendak dikenakan ke atas umat Islam yang berhasrat menunaikan umrah di bawah Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (Imams).

Atas kepekaan dan keprihatinan kerajaan, Imams yang belum sempat beroperasi, telah dibatalkan serta-merta. Tetapi, tetap jadi buah mulut, dan mencetus kontroversi. Antaranya:

Mengapa urusan umrah hendak dikendalikan oleh Imams di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan? Kenapa perlu ada Imams? Dan, kenapa ada caj tambahan RM90.10?

Aneh, penubuhan Imams pun macam dalam samar-samar: Ada pihak kata perkara telah dibentangkan dalam Kabinet. Ada pula kata Kabinet tidak diberitahu secara terperinci.

Benda yang samar-samar tentu boleh menimbulkan kekeliruan, fitnah, macam-macam. Maka sebelum yang samar-samar menjadi gelap, elok sangatlah dibatalkan.

AKHIR kalam masih mengenai Imams yang penuh kesa-maran. Ada pun perihal Imams ditubuhkan antara matlamatnya ialah untuk melindungi kepentingan jemaah umrah yang selalu dimanipulasi syarikat pelancongan.

Kerap terjadi pemergian jemaah dibatalkan sebab syarikat pelancongan gagal mendapatkan visa. Penerbangan tergendala tetapi duit tidak dapat dituntut balik. Setelah kebas duit jemaah, syarikat pelancong tutup kedai dan cabut!

Kenapa perlu ada Imams untuk melindungi bakal umrah? Apakah sekian banyak agensi, dan dengan segala kecanggihan yang ada sekarang, kita masih tidak boleh mengesan penipu dan penyangak? Lemah sangatkah agensi-agensi kita?