*MULANYA disangka hanya RM juta-juta, rupanya bilion. Lebih tepat lagi RM1.1 bilion!

Itu adalah nilai jumlah barang-barang yang dirampas pihak berkuasa dari beberapa kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperti yang diberitahu pihak polis antara barang yang dirampas dan dinilai itu ialah 12,000 barang kemas termasuk 2,200 cincin, 1,400 gelang, 2,100 bracelets, 2,800 pasang anting-anting, 1,600 kerongsang dan 14 tiara.

Menurut polis item paling mahal ialah seutas rantai permata coklat yang nilainya RM6.4 juta.

Menjadi tanda tanya semua pihak sekarang, milik siapakah sekian banyak barangan mewah itu, dan mengapa ditinggalkan dalam kediaman yang dikaitkan dengan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor?

Maka semua berharap dalam waktu terdekat ini dapat diketahui sama ada semua itu diperoleh secara sah dan halal, atau secara haram?

Dan, yang lebih penting, apa tindakan selanjutnya daripaada penemuan harta karun itu?

*SEPERTI yang diberitahu polis, barang-barang yang dirampas itu semua dari jenama-jenama terkenal antarabangsa, yang sesetengahnya tidak pernah didengar oleh orang biasa.

Ada 423 utas jam tangan, termasuk yang paling mahal, RM3.5 juta seutas, dari jenama Rolex Paul Newman Daytona. Ada beg tangan jenama Hermes, Prada, Chanel, Judith Leiber, Versace, nilainya puluh-puluh juta RM.

Hatta, ada beg tangan jenama Bijan. Ramai orang selama ini tahu bijan sejenis bijirin untuk buat biskut bijan. Ada juga minyak bijan.

Rupanya selain bijirin makanan Bijan adalah jenama terkenal paling mahal, yang produknya dibeli hanya melalui tempahan.

Konon hendak masuk ke butik produk ini pun tidak boleh sembarangan, tidak macam masuk ke kedai biskut. Bukan semua orang boleh masuk butik Bijan, mesti dengan undangan khas.

Begitulah hebatnya Bijan, atau jika dieja terbalik namanya memang terkenal seluruh dunia...

*SELAIN siasatan dan pembongkaran Bijan, pentadbiran baru Putrajaya memberitahu banyak lagi siasatan terhadap individu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Antara yang akan disiasat ialah pemimpin dan anggota Umno yang disyaki ada kaitan dengan skandal mega 1MDB yang melibatkan pemberian dan penerimaan dedak berjumlah berbilion RM.

Akan disiasat juga individu termasuk dari parti selain Umno yang disyaki terlibat dengan duit haram 1MDB. Maka sesiapa yang ada menerima dedak haram, pasti mula gelisah, tidak lena tidur, tidak lalu makan.

Rakyat biasa yang tidak terlibat dengan dedak pun menunggu siapa agaknya selepas ini yang akan memakai baju warna jingga SPRM, dan diheret dengan muka tertutup, untuk memberi keterangan.

*TERKINI, akaun bank ibu pejabat Umno, termasuk akaun bank parti berkenaan di peringkat negeri, telah dibekukan, untuk siasatan.

Ini tentu berita tidak baik untuk parti terbesar orang Melayu itu yang kini sedang sibuk memilih pucuk pimpinan parti.

Dalam kempen, ada calon yang berjanji akan meneruskan peruntukan kewangan kepada semua bahagian dan cawangan Umno, yang baru-baru ini telah dihentikan, berikutan parti berkenaan kantoi pada PRU14.

Ketua bahagian dan cawangan bertanya, macam mana hendak teruskan peruntukan sekiranya akaun parti terus dibekukan?

Dulu Umno memerintah, banyak pihak yang sedia memberi sumbangan politik. Sekarang sebagai pembangkang, susah hendak dapat sumbangan, parti kena cari sumber sendiri.

Semua mengakui – sesetengahnya mula sedar – Umno sekarang dalam era getir, tidak mewah seperti dulu-dulu. Sebab itu seorang demi seorang keluar parti mencari dahan baharu untuk bergantung.

Hatta komponen BN yang selama ini bersekongkol dan mengaku bersetia sehidup-semati dengan Umno pun semua – kecuali MCA dan MIC – telah meninggalkan kapal yang dilihat akan karam.

Inilah ujian untuk Umno!

*PEMILIHAN Umno kali ini berbeza. Semua jawatan, termasuk presiden, timbalan presiden, dan naib presiden dipertandingkan. Tidak ada yang menang percuma seperti dulu-dulu.

Dulu ada andaian sekiranya ada pertandingan, parti akan berpecah. Andaian itu tidak sesuai lagi sekarang. Apa guna parti padu sekiranya ditolak rakyat dalam pilihan raya.

Lagi pun pertandingan yang sihat tidak semestinya mewujudkan perpecahan, malah boleh lebih mengeratkan parti. Yang berpecah ialah sekiranya pertandingan tidak sihat.

Salah satu kriteria pertandingan sihat ialah tiada politik wang seperti sebelum ini. Selagi ada politik wang, Umno tidak akan berubah, dan akan terus kalah. Wang boleh melingkupkan parti.

Majoriti orang Melayu masih sayangkan Umno. Yang tidak mereka sayangi ialah pemimpin-pemimpin yang masih main duit, korup, angkuh, kaki busuk. Pemimpin seperti ini mesti dinyahkan.

*AKHIR kalam, pilihlah pemimpin yang baik untuk menghidupkan semula Umno. Mudah-mudahan parti Melayu ini akan dapat mengelakkan motonya: Dulu, Kini, dan Selamanya!

TOK PERAK