*ADA orang mudah sangat buat duit. Mereka berani secara terang-terangan – dan tanpa sedikit pun rasa malu – 'sakau' duit rakyat, bukan RM puluh ribu, tetapi puluh juta.

Dalam kes terkini, SPRM menahan empat individu kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Seperti yang dilaporkan media, mereka yang ditahan ialah Ketua Eksekutif PTPK, Setiausaha PTPK, Penolong Pegawai Kewangan PTPK dan seorang pengarah sebuah syarikat.

Cara si penyangak kebas duit: peruntukan kerajaan yang disalurkan bagi program latihan dimasukkan dalam akaun beberapa syarikat, untuk dikongsi.

Program tidak dijalankan, tetapi peruntukan RM40 juta lesap begitu sahaja.

*SEMUA orang tahu PTPK hanyalah satu dari sekian banyak kes. Sebelum ini kita telah membaca sekian banyak kes serupa melibatkan ketua dan pegawai yang diamanahkan mengendali projek kementerian.

Ada duit yang diperuntukkan membantu rakyat miskin, tidak sampai kepada orang miskin, sebaliknya masuk saku pegawai terlibat.

Orang miskin tidak dapat duit, sebaliknya pegawai berkenaan pula beli kereta-kereta mewah menggunakan duit haram. Orang miskin terus kebulur, si penyangak bertambah buncit.

Ada agensi yang sepatutnya bantu peniaga kecil mendapat modal. Peniaga hendak dapat RM10,000 bukan main susah, tetapi pegawai agensi 'sakau' RM juta-juta-juta.

*PARA penyangak seperti inilah yang menggagalkan hasrat murni kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukan, dan menambah kemarahan rakyat terhadap pemerintah.

Mereka yang betul-betul memerlukan – orang miskin, peniaga kecil, ibu tunggal, dan sebagainya – selalu dinafikan hak, sebab peruntukan dikebas oleh penyangak.

Semua orang tahu penyangak dan kaki-kaki busuk ini ada di mana-mana agensi. Mereka ingat duit agensi tersebut opah dan kepala bapak mereka punya.

'Sakau' dan kebas duit secara ekstrem ini sudah menjadi budaya, maka sesetengah pihak sudah tidak hirau. Ekstrem curi duit mereka buat ‘dhek’, mereka sibuk pula menegur ekstrem-ekstrem lain yang sebenarnya bukanlah ekstrem pun!

*PELIK, dan sekali gus kelakar, curi duit awam RM berjuta dan RM berbilion yang jelas ekstrem, kita tidak serius untuk mencegahnya.

Sebaliknya orang buka kedai dobi Islam pula dianggap ekstrem dan dihentam pagi-petang, siang-malam. Dianggap ekstrem hanya kerana buka kedai dobi khusus orang Islam. Malah ada yang menuduh dobi seperti ini sebagai tertutup minda.

Bagi saya lebih baik tertutup minda untuk memurnikan Islam daripada terlalu terbuka minda hingga berani kebas duit rakyat. Para penyangak tentulah jauh lebih teruk daripada – pemilik dobi Islam.

*ALKISAH, kedai dobi khusus untuk orang Islam di Muar, Johor yang menjadi tular, rupa-rupanya bukanlah satu-satunya kedai dobi berkonsep Islam.

Hanya beberapa hari setelah dobi di bandar Maharani itu dihebohkan – ada akhbar bahasa Inggeris yang menjadikan sebagai tajuk utama – diberitakan pula sebuah dobi seperti itu di Negeri Perlis Indera Kayangan.

Kedai dobi yang diiklankan sebagai berkonsep Islam di Jalan Kampung Bakau, Kangar itu, meletakkan kenyataan “kedai dobi ini hanya untuk orang Islam.”

Tidak perlu hendak dibisingkan – dan ditentang – mengenai kedai dobi Islam. Ini tidak ekstrem. Ada pun yang ekstrem dan patut ditentang ialah amoy dan nyonya yang memakai skirt singkat dan seluar pendek nampak pusat yang masuk ke pejabat pos, JPJ dan lain-lain kaunter kerajaan.

Sejak sekian lama sudah diletakkan pemberitahuan di pejabat-pejabat kerajaan mengenai kod berpakaian. Dinyatakan skirt singkat dan seluar pendek tidak dibenarkan.

Tetapi, masih ramai yang degil yang sengaja menayang paha, pusat, hatta seluar dalam dengan memakai pakaian yang dilarang. Bila ditegur, mereka berkata: “Ini hak saya sebagai individu, saya tidak ganggu orang lain!”

Kita marah orang buka dobi Islam, tetapi benarkan orang tunjuk 'spenda' di tempat awam.

*AKHIR kalam, PKR Sarawak membantah tindakan membawa penghulu atau ketua kampung ke ibu negara untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan menggunakan pe-sawat tentera.

Gambar yang tular di media sosial, menjadikan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian 'terkejut' dengan jenis pengangkutan yang digunakan.

“Saya benar-benar kesian (pengundi) penghulu terpaksa diangkut sedemikian, pesawat tentera. Jika benar bahawa pesawat tentera digunakan, ini adalah penyalahgunaan kuasa,” katanya seperti yang dilaporkan media. Agaknya ini pun boleh dikira ekstrem.