*WALAUPUN belum tiba hari penamaan calon, kempen PRU14 sudah semakin terasa di seluruh negara, macam esok atau lusa kita hendak mengundi!

Setiap malam di mana sahaja ada ceramah politik dibuat oleh parti-parti bertanding. Biasalah dalam ceramah ada usik-mengusik, sindir-menyindir, hentam-menghentam, singkap-menyingkap.

Ramai yang hadir setiap ceramah, sesetengahnya diasak beribu-ribu hadirin. Semua bersemangat, bersorak, menjerit, macam pesta rakyat.

Dalam pada itu bendera parti-parti yang akan bertanding, mula berkibar dan memeriah – juga menyesakkan – laluan dan tempat-tempat tertentu.

Kalau ikut kehadiran ceramah dan kemeriahan kibaran bendera, kita sudah boleh membuat andaian parti mana yang akan menang di kawasan mana.

Tetapi kehadiran yang beribu-ribu, belum tentu diterjemah dalam bentuk undi. Malah, ramai yang bersemangat dan bersorak menghadiri ceramah itu belum tentu sudah mendaftar sebagai pemilih...

*ADA berita sedap: Datuk Seri Najib Razak Rabu lalu (11 April), mengisytiharkan Hari Wartawan Nasional (Hawana) sebagai menghargai pengamal media di negara ini.

Setiap tahun Hawana akan disambut pada 29 Mei, sempena penerbitan edisi sulung akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Secara peribadi, saya terharu juga dengan perisytiharan tersebut. Hampir empat dekat menjadi orang surat khabar baru kali ini ada hari khas untuk wartawan.

Sejak mula menjadi pemberita pelatih saya kerap sangat membuat liputan mengenai pelbagai hari istimewa – Hari Kebangsaan, Hari Angkatan Tentera, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Hutan Sedunia, Hari Ibu, Hari Kekasih...

Pendek kata macam-macam hari, hatta Hari Melawat Kamdar pun ada. Tetapi baru sekarang ada Hari Wartawan. Terasa sedap di sanubari.

*ADA berita tidak berapa sedap: Pada hari yang sama Najib mengisytiharkan Hari Wartawan Nasional, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar telah diwartakan.

Maka ramai, terutama mereka yang selama ini menjadi ‘wartawan’ tidak berdaftar, mengandaikan undang-undang ini bertujuan untuk menyekat penyebaran maklumat.

Kalau selama ini portal berita, blog, WhatsApp, FB, Twitter dan sebagainya boleh menyebarkan apa sahaja maklumat dan gambar, sekarang mereka kena lebih berhati-hati.

Almaklumlah, sekiranya yang disebarkan itu adalah berita atau maklumat palsu, mereka boleh diambil tindakan di bawah undang-undang ini. Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan denda sehingga RM500,000, atau dipenjara sehingga enam tahun. Maka, siarkanlah hanya fakta, bukan auta.

*ANTARA orang yang segera terkesan dengan penguatkuasaan undang-undang baharu itu ialah Datuk Seri Ahmad Maslan. Beliau memberitahu telah berkurangan menerima berita palsu menerusi 992 grup WhatsApp sebaik sahaja rang undang-undang berkenaan diluluskan Parlimen pada 2 April.

Ternyata beliau begitu aktif – pasti juga popular! – di alam maya sebab mempunyai geng WhatsApp yang begitu banyak, hampir 1,000 grup.

Kalau katakan satu grup hantar hanya tiga mesej sehari, macam mana agaknya beliau hendak tidur? Pasti telefon bimbit beliau berdecit-decit setiap saat.

*MEMANG tuah rakyat, pengunjung di pusat beli-belah AEON Johor Baru petang Rabu baru-baru ini tiba-tiba mendapat durian runtuh. Tunku Ismail Sultan Ibrahim muncul di pusat beli-belah berkenaan jam 6.45 petang, dan mengumumkan akan belanja setiap mereka yang membeli barang keperluan harian.

Setiap seorang boleh mengambil apa sahaja barang keperluan semaksimum RM3,000. Dikatakan dalam masa sejam sahaja rakyat berbelanja, dan Tengku Mahkota membayar RM1 juta.

Syabas, inilah yang dikatakan raja berjiwa rakyat, lebih tepat lagi, raja membelanjakan rakyat. Dengan sifat pemurah itu bertambahlah kasih rakyat jelata terhadap TMJ. Pendek kata sekiranya Tunku bertanding pada PRU14, pasti boleh menang.

*AKHIR kalam, baik penceramah atau penyokong, jangan lepas cakap hanya untuk menarik hadirin ketika berada di pentas politik. Boleh saja marah-marah dan sindir-menyindir. Malah, boleh juga buka dan dedahkan benda-benda dalam kain, termasuk yang sulit.

Tetapi waspada, baik yang sulit atau yang tidak sulit, apa yang didedahkan hendaklah berdasarkan fakta, bukan rekaan, bukan fitnah. Sayugia diingat, Undang-Undang Antiberita Tidak Benar telah dikuatkuasakan...

TOK PERAK