“KALAU ikut suara kerajaan, tidak ada apa yang perlu ditakutkan mengenai Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar yang kini dibawa ke Parlimen.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said: “RUU ini tidak menyekat kebebasan bersuara rakyat sebaliknya bertindak untuk menyekat kebebasan penularan berita tidak benar.

Tambah beliau: “RUU ini memberikan mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara.”

Kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, RUU berkenaan jika diluluskan nanti tidak menghalang sesiapa melaporkan apa sahaja, asalkan berdasarkan kebenaran.

“Kalau hendak bercakap dan tulis fasal 1MDB dan DoJ pun boleh...Isu yang lebih besar di sini ialah untuk menangani penyebaran berita dan fakta palsu yang tidak bertanggungjawab.”

Pendek kata akta berkenaan tidak menyekat kebenaran, tetapi menghalang kepalsuan.

*TETAPI lain pula pandangan orang bukan kerajaan, termasuk Datuk Seri Nazir Abdul Razak, adinda kepada Perdana Menteri sendiri.

Ahli perbankan terkemuka itu menggesa supaya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar, ditangguhkan dulu.

Menulis dalam Instagram, Nazir berkata rang undang-undang itu perlu dibahaskan dengan teliti, secara komprehensif, sebelum ia dilaksanakan.

Tegas beliau: “Ini adalah  mengenai hak-hak asas ekspresi individu, dan menanamkan rasa takut akan hukuman yang keras berasaskan kepada takrifan yang samar-samar, akan merencatkan masyarakat...”

Pendek kata, lain pihak lain pula persepsi terhadap RUU tersebut.

*SEPERTI diketahui, sejak awal memang begitu banyak suara sumbang dan pandangan negatif menyatakan tentangan terhadap persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Bukan sahaja parti pembangkang, sesetengah parti kerajaan pun tidak setuju dengan apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ada yang menuduh SPR berat sebelah, dan sengaja membuat persempadanan semula ini untuk memudahkan BN memenangi PRU14. Malah ada yang membawa isu ini ke mahkamah.

Bagaimanapun setelah dibentang dan dibahaskan, Dewan Rakyat akhirnya meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya, dengan 129 anggota menyokong, 80 menolaknya. Maka kita akan mengundi pada PRU14, menggunakan kawasan baharu. Jangan merajuk dan tak mengundi pulak!

*GARA-GARA usul persempadanan semula, Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada hari Rabu telah menggantung Lim Kit Siang selama enam bulan.

Tetapi pada hari Khamis wakil Gelang Patah itu selamba sahaja masuk Dewan seperti biasa, jelas mengingkari arahan.

Ada anggota Dewan yang meminta speaker bertindak terhadap Lim, tetapi Pandikar hanya menjawab selamba: “Saya tidak nampak dia...”.

Arahan telah dikeluarkan, tetapi jelas diingkari, dan Pandikar buat tak nampak, sebelum menangguhkan Dewan selama 30 minit dengan harapan YB Gelang Patah berundur.Tidakkah itu bererti Lim – juga si Pandikar – telah bertindak tidak mulia di Dewan yang mulia?

*SEORANG suri rumah yang mulanya terlepas daripada hukuman penjara, akhirnya dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman selama lapan tahun.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mulanya mengenakan hukuman bon berkelakuan baik ke atas suri rumah berkenaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan parah kepada pembantu rumah warga Indonesia.

Bagaimanapun di Mahkamah Tinggi Shah Alam Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah memutuskan alasan hukuman bon berkenaan adalah tidak wajar.

Sebelum ini puluhan ribu warga siber kecewa dengan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dan meminta hukuman lebih berat dikenakan ke atas pendera pembantu rumah warga asing itu.

Demikianlah, gara-gara penderaan yang tidak berperikemanusiaan itu, suri rumah berkenaan menjadi banduan...

 *AKHIR kalam, rumah ada tetapi hanya mampu lihat, tidak mampu milik!

Menurut laporan Bank Negara Malaysia bilangan rumah tidak terjual – baik oleh pemaju kerajaan atau swasta – meningkat pada tahun lalu.

Jumlah rumah tidak terjual setakat September 2017 ialah 129,052 unit; lebih 80 peratus darinya ialah rumah berharga RM250,000 ke atas.

Memang ramai orang tidak ada rumah, tetapi bagi sebahagian besar rakyat adalah di luar kemampuan untuk membeli rumah pada harga RM250,000.

Jangankan yang berpendapatan rendah, mereka yang berpendapatan sederhana pun tidak cukup duit untuk memiliki rumah kediaman pada harga tersebut.

Ini bukan soal tidak cukup rumah. Ini soal tidak cukup duit...

TOK PERAK