*SEKIRANYA bendera dijadikan kayu ukur kecintaan terhadap negara, ternyata sebahagian besar rakyat tidak cinta kepada Malaysia. Sedikit sangat yang sudi mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis perniagaan.

Memang, bendera kebangsaan itu dikibarkan dengan cemerlang oleh beribu-ribu peserta perbarisan Hari Kebangsaan ke-59 di Dataran Merdeka Rabu lalu. Baik peserta mahupun pengunjung tidak putus-putus mengibarkan jalur merah-putih itu sepanjang persembahan.

Tetapi di luar perbarisan di venue-venue seluruh negara, lambang kedaulatan negara itu tidak dikibarkan. Hanya sebuah dua kenderaan mengibarkan bendera. Sebahagian besar rumah pun tidak berbendera.

Apakah benar kita hilang kasih terhadap negara? Pada hemat saya walaupun tidak mengibarkan bendera, sebahagian besar rakyat masih sayangkan negara merdeka ini.

Cuma ada beberapa kesilapan menyebabkan mereka enggan mengibarkan bendera. Maka betulkan kesilapan-kesilapan yang menyakitkan hati, supaya orang akan megah mengibarkan Jalur Gemilang.

*BUKAN rahsia lagi, salah satu yang menyakitkan hati rakyat ialah kontroversi 1MDB. Syarikat kerajaan ini dikaitkan dengan skandal mega yang melibatkan wang RM berbilion-bilion.

Walaupun beberapa pemimpin kerajaan memberitahu isu ini telah selesai, hakikatnya ialah ia belum selesai. Setiap hari ada sahaja cerita baharu yang dikaitkan dengan penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh 1MDB.

Setiap isu baharu didedahkan, kerajaan cuba memberi penjelasan. Tetapi penjelasan yang diberikan semakin mengeruhkan keadaan. Skandal raksasa ini – terkini mengenai MO1 – menimbulkan misteri dan penuh teka-teki.

Misteri dan teka-teki ini perlu diselesaikan supaya orang kembali yakin terhadap negara. Keyakinan akan menimbulkan kecintaan. Misteri dan teka-teki akan menimbulkan benci.

*APA pun teka-teki mengenai siapakah gerangan Malaysia Official 1 (MO1) sudah terjawab. Dan yang memecahkan teka-teki tersebut adalah seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu MO1 yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya telah kata secara terbuka. Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri,” katanya seperti yang dipetik BBC.

Tambah menteri itu: “Tetapi saya juga berkata, mengapa DOJ tidak menamakannya dengan nama yang betul. Ini kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan ini...”

*WALAUPUN mengesahkan Najib sebagai orang yang disebut sebagai MO1, menteri di JPM itu menolak kemungkinan PM terlibat dalam skandal mega yang mencetuskan kontroversi baik di dalam mahu pun luar negara itu.

Kata Rahman: “Beliau (PM) bukan sebahagian daripada siasatan ini...” Maka orang bertanya balik: “Kalau tidak terlibat, mengapa disebut sebanyak 36 kali dalam saman?”

Rasanya penjelasan Rahman itu tentu lebih mantap lagi sekiranya PM sendiri memberi kenyataan berhubung perkara berkenaan. Ada sesiapa menteri berani bertanya kepada yang empunya diri?

Selagi tidak ada yang berani bertanya, dan PM tidak menjelaskan, maka MO1 masih menjadi teka-teki.

*KETIKA umum masih berteka-teki mengenai MO1 yang didakwa memperoleh AS$731 juta dari dana 1MDB, polis telah pun bertindak pantas.

Setakat semalam kurang-kurangnya tujuh orang, termasuk ahli  Parlimen Rasah (DAP) Teo Kok Seong, telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung isu MO1.

Mereka disiasat kerana menyertai perhimpunan #TangkapMO1 yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu. Seperti yang dilaporkan media, Teo disiasat di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah   (CPC).

Tentu tidak salah polis menyiasat Teo dan lain-lain kerana menyertai perhimpunan tersebut. Itu memang tugas polis. Tetapi lebih bagus lagi sekiranya polis juga menyiasat siapa MO1.

*AKHIR kalam, walaupun telah diingatkan berkali-kali, masih ramai yang terjerumus dalam perangkap ‘African Scam’ dan ‘Love Scam’ di media sosial. Seperti biasa mangsanya adalah wanita.

Terkini dua mangsa di Melaka tertipu oleh sindiket di alam maya. Seperti yang dilaporkan media, seorang suri rumah berusia 43 tahun kerugian RM721,000 pada 11 Ogos lepas dan seorang pensyarah kolej berusia 43 tahun kerugian RM402,000 pada 12 Ogos lepas.

Kata Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din, sasaran utama sindiket ini adalah wanita yang kesunyian. “Modus operandi sindiket itu adalah berkenalan dengan mangsa melalui Facebook sebelum memperdaya mereka untuk mendapatkan wang.”

Malang bagi sesetengah wanita, sanggup membayar RM ratus-ratus ribu untuk membeli cinta palsu...

TOK PERAK